CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
بسم الله الرحمن الرحيم

Selingkar kisah

Terjawabnya tanda tanya
Seorang kanak-kanak berusia sepuluh tahun bertanya kepada ayahnya tentang penyebab meletusnya perang.
Ayahnya menjawab: "Dengarkan anakku, sekiranya Amerika bermusuhan dengan Britain..."
Ibunya yang ada di samping langsung mencelah: "Amerika dan Britain tidak mungkin berperang."
Suaminya menjawab: "Saya hanya mengatakan sekiranya mereka bermusuhan...Saya tidak katakan bahawa mereka akan berperang..."
Isterinya berkata: "Aneh sekali, awak menanamkan ke dalam otak budak ini berbagai kemungkinan buruk yang boleh rosakkan fikirannya."
Si suami marah mendengar kata-kata isterinya lalu menjawab: "Apakah awak hanya mahu otaknya diisi dengan fikiran-fikiran yang tak berguna saja?!"
Akhirnya berlakulah pertengkaran di antara pasangan suami-isteri itu yang semakin lama semakin sengit.
Si anak kemudian berkata: Terimakasih ayah, terimakasih ibu, kini saya tak perlu bertanya lagi tentang penyebab meletusnya perang..."


Kawan yang setia
Satu ketika dahulu, ada seorang hartawan telah meninggal dunia sedangkan beliau tidak mempunyai ahli waris. Kepada peguamnya, beliau meninggalkan dua pucuk surat yang ke dua-duanya diletakkan di dalam sampul surat. Surat yang pertama berisi permintaan agar mayatnya dikuburkan pada pukul 4 waktu dinihari. Surat yang kedua belum diketahui isinya kerana di sampulnya tertulis pesanan supaya ianya dibuka hanya selepas pengkebumian jenazahnya.

Sesuai dengan wasiat, jenazah itu dikebumikan pada pukul 4 waktu dinihari(sebelum subuh). Oleh kerana waktu pengkebumian pada jam tersebut jarang dilakukan, maka yang turut menghantar jenazahnya hanyalah empat orang kawannya yang paling setia.

Selepas selamat semuanya, maka surat wasiat yang kedua pun dibuka. Betapa terkejutnya peguam ketika membaca isinya, iaitu wasiat tersebut mengatakan bahawa seluruh harta warisan(yang bernilai lebih 800,000 pound) di bahagi sama rata kepada orang-orang yang menghantarkan jenazahnya ke kubur. Dengan demikian, yang berhak memperolehi harta yang banyak itu hanya empat orang, sebagai imbalan bagi kesetiaan mereka.


Orang buta dan lampu
Seorang buta berjalan membawa baldi di atas bahu sambil membawa lampu menuju ke sungai untuk mengisi air ke dalam baldi tersebut.

Seseorang yang melihatnya datang menghampiri dan berkata: "Wahai orang buta, malam hari dan siang hari sama saja bagimu. Apakah manfaatnya kau membawa lampu itu?"

Orang buta itu lalu menjawab: "Hai orang yang suka mencampuri urusan orang lain! Lampu ini ku peruntukkan kepada orang yang buta hatinya agar ia tahu akan keadaan ku yang tidak nampak agar nanti ia tidak melanggarku sehingga aku jatuh dan baldiku pecah."


Bentuk Tubuh Belalang



Ada tujuh macam ciptaan belalang:

  1. kepalanya seperti kepada kuda
  2. lehernya seperti leher seladang
  3. dadanya seperti dada singa
  4. sayapnya seperti sayap burung rajawali
  5. kakinya seperti kaki unta
  6. ekornya seperti ekor ular
  7. perutnya seperti perut kala jengking.

Subhanallah Yang Maha Pencipta!


Perihal Misteri Solat Subuh.

"Petang itu, dia berceramah. Bicaranya berapi-api tentang mimpinya selama ini iaitu tertegaknya agama Allah di muka bumi. Dia begitu bersemangat menghuraikan cita-citanya untuk menyaksikan syariat Allah meminpin peradaban di seluruh alam semesta. Lalu dibentangkan pandangannya dengan panjang lebar, seumpama memberi keyakinan pada sidang hadirin. Kemudian setelah mengemukakan penyelesaian dan kesimpulan, dia pun mengakhiri ceramahnya.
Sehari selepas itu, saya mencari-cari penceramah itu di antara saf-saf jemaah solat Subuh. Hairan, saya tidak melihatnya. Saya berkata di dalam hati, "Mungkin penceramah itu berhalangan atau ada urusan.'

Hari berikutnya, waktu yang sama, saya cuba mencarinya semula di antara deretan saf-saf jemaah solat Subuh dengan harapan dapat bertemunya. Namun, saya kecewa lagi kerana beliau masih tiada. Saya memutuskan untuk mencari di mana penceramah itu berada yang mana akhirnya dapat juga saya bertemu dengannya. Saya bertanya: "Apa yang terjadi tuan? Mudah-mudahan apa yang menghalangmu adalah sesuatu yang baik. Saya tidak bertemu dengan tuan di waktu solat Subuh!"
Dengan selamba di menjawab tanpa rasa malu: "Maafkan saya. Semoga Allah mengampuni saya dan mengampuni kamu. Keadaan saya tidak mengizinkan. Pagi-pagi lagi saya sudah mula bekerja dan pada waktu malam pula saya tidur agak lambat. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Saya terdiam dan bingung mendengar jawapan beliau. Benar-benar bingung. Saya bertanya di dalam hati, 'Mungkinkah agama Allah akan tegak kukuh di atas muka bumi ini di tangan mereka yang melalaikan kewajipannya kepada Allah?'
Hati saya bergejolak, jiwa terasa sempit dan kerongkong terasa tersumbat..."

Begitulah ceritanya oleh Dr Raghib as-Sirjani yang mana rentetan dari berlakunya peristiwa itu telah mendorong beliau menulis buku bertajuk "Misteri Solat Subuh" terbitan Darul Nu'man yang saya rasa begitu hebat sekali isi kandungannya. (Terimakasih buat teman merangkap guru tazkirah saya iaitu kak Asmah yang telah menghadiahkan buku tersebut beserta sebuah lagi buku bertajuk "Travelog Haji" oleh Prof. Dr Md Kamil terbitan PTS Islamika).

Sesungguhnya Solat Subuh merupakan satu ujian yang sukar, namun ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan. Nilai tertinggi dalam ujian ini bagi seorang lelaki adalah solat Subuh berjemaah di masjid. Apabila Rasulallah saw meragui keimanan seseorang, baginda akan memerhatikan solat Subuhnya. Apabila baginda dapati orang tadi tidak menunaikan solat Subuh, maka benarlah apa yang baginda ragui itu.

Ubai bin Ka'ab ra berkata, Rasulallah saw solat Subuh kemudian bersabda, "Apakah kamu menyaksikan bahawa si fulan solat?' Mereka menjawab,"Tidak." Baginda bersabda lagi, "Si fulan?" Mereka menjawab, "Tidak." Maka, bagindapun bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya dua solat ini(Suboh dan Isyak) adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak." (HR Ahmad dan an-Nasa'i)

Bagi perempuan pula, solat Subuh di awal waktu di rumah tika mana para lelaki sedang solat di masjid merupakan tanda seorang wanita itu mukminah dan kukuh imannya. Ummu Hamid as-Sa'idiyyah ra mendatangi Rasulallah saw dan berkata, "Wahai Rasulallah, sesungguhnya aku sangat suka menunaikan solat bersamamu." Rasulallah saw bersabda yang bermaksud: "Engkau telah mengetahui solatmu di bilik lebih baik daripada solatmu di kamar. Solatmu di kamar lebih baik daripada solatmu di (ruang yang lebih luas) di rumah. Solatmu d(ruang yang lebih luas) di rumah itu lebih baik daripada solatmu di masjid. Solatmu di masjid lebih baik daripada solatmu di masjid Jamek. Dan besarnya pahala solat seorang wanita di rumahnya, merupakan rahmat Allah baginya dan bagi masyarakat." (HR Ahmad dengan sanad hasan dan Ath-Thabarani)

Besarnya pahala solat di rumah merupakan rahmat Allah swt bagi kaum wanita dan juga kepada masyarakat. Tujuannya untuk menghindarkan fitnah, menjaga kaum wanita dan ia lebih melindungi mereka. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjaga anak-anak di rumah, orang-orang tua serta banyak lagi manfaat lainnya. Maha Suci Allah yang telah menurunkan syariat yang penuh hikmah ini.

Kita akan mendapat keyakinan diri apabila memulakan hari dengan Solat Subuh. Kita akan merasa lebih kuat dan tabah menghadapi ujian kerana kita berada dalam lindungan Raja semua raja yang mencipta segala kehidupan. Semua ini diperolehi hanya dengan 'dua rakaat' yang menguatkan hati dan mengukuhkan iman. Jam-jam pertama di pagi hari(setelah solat Subuh) merupakan waktu yang paling barakah. Di riwayatkan dari Shakhr al-Ghamidi, dia berkata bahawa Rasulallah saw bersabda, "Ya Allah berkatilah umatku di waktu pagi." (HR At-Tairmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)

Ikhlas merupakan tips yang terpenting untuk membantu kita bangun solat Subuh. Tanpa keikhlasan, seseorang tidak akan mampu melaksanakan solat Suboh secara teratur. Tekad yang kuat juga perlu di miliki supaya mereka mempersiapkan diri dengan keinginan yang kuat untuk bangun solat Suboh berjemaah di masjid. Janganlah membiarkan diri kita terpengaruh dengan orang-orang yang meninggalkan Solat Subuh. Banyakkanlah berdoa memohon agar Allah memberi kesempatan kepada kita untuk melaksanakannya dan menjauhkan kita dari ditimpa sifat malas, kurang iman dan lemah. Hendaklah juga bersahabat dengan orang-orang yang soleh yang boleh mendorong diri kita dan cubalah kita sedaya upaya mengelakkan diri dari melakukan sebarang maksiat.

Yakinlah, Allah tentu membantu kita jika kita mempunyai kemahuan yang kuat untuk istiqamah dalam Solat Subuh. Mulakanlah dari keluarga, anak-anak, isteri dan saudara-saudara serta kedua orang tua. Apabila kita merasa berat menunaikan solat Subuh, maka jangan kita harapkan orang-orang yang kita cintai dapat menunaikan latihan yang sukar ini. Seperti yang dinyatakan tadi, walaupun ia ujian yang sukar, namun bukan sesuatu yang mustahil. Seorang mukmin mestilah cuba untuk lulus dalam semua ujian untuk membuktikan kebenaran imannya dan untuk menyelaraskan antara lisan dan hatinya.  


Wallahu'alam.

Waktu, keadaan dan tempat untuk berdoa yang (InsyaAllah) diterima oleh Allah

  1. malam qadar pada bulan Ramadhan(Lailatul Qadr). Ianya setahun sekali, maka rebutlah peluang itu.
  2. penghujung tengah malam(sekitar pukul 3 atau 4 pagi)
  3. selepas sembahyang fardhu
  4. di antara azan dan iqamah
  5. mana-mana waktu di sepanjang malam
  6. ketika seruan untuk solat fardhu(ketika azan)
  7. ketika turun hujan lebat
  8. ketika gerombolan pergi berperang(bergerak ke medan peperangan)
  9. ketika mana-mana waktu pada hari Jumaat. Pendapat yang paling tepat padanya ialah di penghujung waktu Asar hari Jumaat
  10. ketika khutbah Jumaat
  11. ketika minum air zam-zam(beserta niat yang betul)
  12. ketika sujud
  13. ketika tersedar/terbangun daripada tidur di waktu malam(doa apa-apa sahaja termasuk doa dari al-quran dan sebagainya)
  14. doa selepas terbangun di malam hari di mana sebelum tidurnya tadi kita berwudhuk
  15. ketika kita baca doa 'Lailahaillallah' kita iringkan doa-doa lain. Contohnya: La ilaha illa anta. Subhanaka, inni kuntu minazzhalimin… "Tiada Tuhan melainkan Allah Maha Suci Engkau ya Allah sesungguhnya aku adalah di kalangan orang yang menzalimi diri sendiri"(doa nabi Yunus)
  16. selepas kematian seseorang
  17. berdoa selepas kita memuji Allah, berselawat ke atas Nabi di tahayat yang akhir(ini kena lafazkan dalam bahasa Arab)
  18. ketika berdoa kepada Allah dengan namaNya yang besar.(berdoa dengan menyebut nama-nama Allah)
  19. doa seorang Islam kepada saudara Islamnya yang lain dalam keadaan dia tidak ada di sisinya(semasa ketiadaannya)
  20. doa hari Arafaah ketika di Padang Arafah.
  21. berdoa di bulan Ramadhan.
  22. ketika berhimpun orang Islam dalam majlis-majlis zikir/ilmu. Jangan campur-adukkan amalan baik dengan yang tidak baik. kalau kita pergi ke satu-satu majlis tetapi ada unsur-unsur yang tak baik, kita kena balik. Cuba seboleh-bolehnya menghindari diri dari terlibat dalam majlis-majlis yang tidak baik.
  23. ketika kita berdoa semasa ditimpa musibah, kita bacalah doa ini.."Innalillahi wainna ilaihirajiun" yang bermaksud "Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah kita dikembalikan".
  24. Berdoa dalam keadaan hati kita betul-betul mengharapkan Allah(hati kita bulat kepada Allah dan menyerah kepada Allah sepenuh hati), iaitu ikhlas.
  25. doa orang-orang yang dizalimi ke atas orang yang menzalimi
  26. doa ibubapa kepada anak (samada doa yang baik/tidak baik)
  27. doa 0rang yang bermusafir
  28. doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka
  29. doa orang yang berpuasa ketika dia berbuka

sambungan dari buku kecil 'Doa Mustajab' bertulis dalam bahasa arab, buahtangan dari Mekah. Terimakasih buat Ustazah Jamilah yang sudi tolong terjemahkan buat kami semasa sesi belajar Bahasa Arab di rumah kak Rupi.


Adab-adab Berdoa

  1. Ikhlas - perasaan ini tidak boleh orang lain muhasabah, kena diri sendiri tahu.
  2. Hendaklah dimulakan dengan memuji Allah(memuji dan bersyukur kepada Allah), kemudian berselawatlah ke atas Nabi saw. Ditamatkan pula doa itu dengan memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi saw.
  3. bersungguh-sungguh dalam berdoa dan yakin dengan jawapan (yakin Allah akan bagi).
  4. berdoa dalam keadaan tidak tergopoh-gapah atau kelam-kabut(jangan terlalu cepat sampai tidak tahu apa yang disebut).
  5. Hati kita hadir/hati kita hidup, bukan dalam keadaan hati kita lalai. Kalau nak cepat, jangan berdoa di waktu itu kerana tidak sepenuh hati mahu meminta dari Allah.
  6. kita berdoa dalam keadaan kita senang dan susah, bukan di waktu susah sahaja. Kita kena buat secara berterusan(istiqamah), baru lah kita akan redha dengan apa yang bakal terjadi.
  7. tidak meminta kecuali kepada Allah(berdoa ke hadrat Allah adalah hubungan yang direct dengan Allah, tiada perantaraan, oleh itu meminta/mengadu hanya kepadaNya).
  8. tidak berdoa ke arah keburukan kepada diri, keluarga, harta-benda, anak dan sebagainya.
  9. merendah-rendahkan suara ketika berdoa(antara dengar dan tidak), jangan meninggikan suara.
  10. mengakui dosa yang kita buat dan memohon keampunan dosa-dosa tersebut kepada Allah. Mengakui nikmat-nikmat Allah dan bersyukur dengan nikmat tersebut.
  11. tidak melampau-lampau bersajak/berpuisi(seni bahasanya) dalam berdoa.
  12. kena merendah diri dan kusyuk dalam keadaan kita berkehendak dan takut kepada Allah.
  13. menolak benda-benda yang menzalimi kita/menolak dosa yang kita lakukan dengan bertaubat.
  14. digalakkan mengulang doa sebanyak 3 kali.
  15. mengadap kiblat.
  16. mengangkat kedua tangan ketika berdoa.
  17. berwudhuk sebelum berdoa sekiranya mudah/boleh(tempat dan keadaan mengizinkan). Seelok-eloknya berwudhuk.
  18. jangan kita bermusuh dalam kita berdoa, maksudnya perasaan dan keadaan kita baik.
  19. hendaklah dimulakan dengan berdoa untuk diri sendiri dahulu sebelum berdoa untuk orang lain.
  20. meminta kepada Allah dengan menyebut nama-nama Allah contohnya Ya Karim, Ya Latiff dan sebagainya. Juga boleh bertawasul iaitu menyebut kebaikan-kebaikan yang kita lakukan supaya Allah makbulkan. Juga boleh bertawasul keberkatan dari mana-mana tok guru untuk tolong berdoa untuk kita.
  21. makanan , minuman, pakaian, rezeki kita hendaklah dari sumber yang halal.
  22. hendaklah tidak berdoa dengan dosa/kejahatan contohnya berdoa untuk memutuskan kasih-sayang/memutuskan silaturrahim.
  23. hendaklah menyuruh kepada kebaikan dan melarang kepada keburukan.
  24. menjauhkan diri kita dari segala maksiat. Kalau mahu doa kita dimakbulkan Allah, jangan buat maksiat. Contohnya kita masih buat maksiat-maksiat kecil sedangkan selepas itu kita berdoa pada Allah. Cuba kurangkan dari masa ke semasa, InsyaAllah.

Diterjemahkan oleh Ustazah Jamilah dari buku kecil 'Doa Mustajab' bertulis dalam bahasa Arab (buku doa ini merupakan hadiah dari ustazah buat kami sepulangnya beliau dari mengerjakan umrah)


Memulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini saya ingin berkongsi ilmu yang diperolehi dari seorang ustaz yang bila disebut sahaja namanya, hati ini pasti teruja...mungkin kerana cara penyampaian beliau yang agak sedikit berbeza dari lain2 ilmuwan yang menyebarkan dakwah dan ilmu pengetahuan. Beliau ialah Ustaz NurSalam dari tanah seberang. Saya dan suami alhamdulillah telah berpeluang mengikuti tazkirah beliau di Surau Muhajirin berhampiran dengan rumah kami. Moga kita sama2 beroleh manafaat...InsyaAllah.

Dengan membaca Basmallah iaitu Bismillahirrahmanirrahim, maknanya seseorang itu kemana-mana sahaja dengannya menyebut nama Allah. Sebutlah nama Allah ke mana sahaja pergi. Tanpa menyebut nama Allah maka sesuatu pekerjaan itu menjadi sia-sia. Hendaklah berusaha menjadi manusia yang Ulul Albab yang mana sentiasa teringat pada Allah samada di kala duduk, berdiri dan baring. Allah menjadikan hidup ini tidak sia-sia. Perbanyakkanlah zikir dan sentiasa mendahulukan zikir(hati) dari fikir(kepala).

Pendidikan anak yang Soleh bermula dari dalam perut ibunya lagi. Pemakanan oleh ibu dari sumber yang baik dan halal menyumbang kepada pembentukan ruhani anaknya. Untuk mendidik anak menjadi pintar boleh memakan masa lebih kurang 20 tahun. Tetapi untuk menjadikan anak itu seorang yang Soleh memerlukan masa lebih daripada itu. Anak soleh sudah tentu merupakan seorang anak pintar. Tetapi anak pintar tak semestinya dapat menjadi seorang anak yang soleh.

Berbuat baik itu biarlah banyak-banyak hingga boleh menjadi seorang mukmin yang baik. Seorang mukmin yang baik bermula dengan yang mempunyai hati(kalbu) yang baik. Biar hati bergetar bila setiapkali mendengar ayat-ayat Allah, biar bergetar bila sebut nama Allah. Hendaklah sentiasa bertawakkal kepada Allah. Kerjakanlah Solat kerana itu adalah ibadah yang paling utama. Dermakanlah sedikit rezeki yang diperolehi untuk mendapatkan rahmat dan keberkatan dari Allah swt.

Sayangilah dan cintailah apa sahaja tetapi ingat, kalau bukan kita yang tinggalkan dia, dia yang akan tinggalkan kita. Buatlah apa sahaja mengikut pertimbangan kita tetapi ingat semua nya ada balasan dari Allah swt. Hitunglah sendiri, fikirlah sendiri. Yang baik akan dibalas baik manakala yang buruk akan dibalas buruk. Maka hendaklah kita pilih jalan yang hendak dilalui samada baik atau buruk kemudian kita terimalah akibatnya.

8 alam yang akan ditempuh oleh seseorang manusia itu:

  1. Alam ruh
  2. rahim
  3. dunia
  4. kubur(barzah)
  5. akhirat(masyar)
  6. hisab
  7. mizan
  8. sirat
  • Alam ruh
  • Alam rahim: 9 bulan 10 hari(seseorang manusia itu tinggal di dalam kandungan ibunya sehingga masa yang dikehendaki Allah, kemudian lahirlah ia ke dunia).
  • Alam dunia: Dunia ini sekejap..contohnya ketawa kita sekejap sebab itu lah bila ketawa kita merasa nikmat. Yang sekejap itu biasanya nikmat. Semua ini sekejap sahaja contoh umur kita mungkin bertahan sehingga lebih kurang 70 tahun sahaja. Yang lebih dari itu mungkin sedikit sahaja bilangannya. Mati ikut sunnah 63 tahun.(Ada riwayat kata wafatnya baginda saw 60 tahun dan yang lain ada kata 65 tahun). Oleh itu beringat-ingatlah. Kalau umur kita lebih nanti hanya akan menyusahkan orang. Ianya nanti susah dan menyusahkan. (Dalam peringkat umur tua inilah akan kelihatan tanda-tanda kelemahan bagi seseorang, sehingga kekuatannya mula merosot sedikit demi sedikit lalu ia menjadi lemah selepas melalui masa muda di mana ia kuat).


Orang yang untung ialah orang yang isikan masa dengan iman dan amal soleh. Betapa ruginya manusia kerana habis masa; malam berlalu dengan tidur nyenyak, siang pula dihabiskan dengan sibuk mencari harta. Maka jangan dipendekkan malam dengan tidur nyenyak, jangan dihabiskan siang untuk memburu sesuatu yang tidak pasti.

Sabda Rasulallah saw: 'Rebutlah peluang lima sebelum lima. Masa muda sebelum tiba masa tua. Masa sihat sebelum tiba masa sakit. Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa kaya sebelum tiba masa miskin. Dan masa hidup sebelum tiba masa mati.'

Bersabda Rasulallah saw lagi: 'Kedua kaki anak Adam itu akan tetap berdiri di hadapan Tuhannya pada Hari Kiamat, sehingga selesai ditanya tentang empat perkara:

  1. tentang umurnya, untuk apa dihabiskan
  2. tentang masa mudanya, untuk apa dipergunakan
  3. tentang hartanya, dari mana diperolehi dan untuk apa dibelanjakan
  4. tentang ilmunya, apa yang sudah dibuat dengannya.


Dalam melakukan setiap pekerjaan itu pastikanlah kita mempunyai 'niat' untuk melakukannya kemudian pastikan pula 'tujuan'nya. Bacalah Bismillahirrahmanirrahim sebelum memulakan untuk mengharapkan keberkatan dan pertolonganNya. Ibadah bukannya hanya dikira pada Solat, puasa, haji dan sebagainya sahaja. Itu tidak mencukupi untuk kita mendapatkan redha Allah swt. Hidup ini jangan dibiarkan kosong. Isikanlah ilmu penuh di dada. Mulakan setiap pekerjaan dengan nama Allah maka setiap pekerjaan itu akan dikira sebagai ibadah. Lakukan pekerjaan itu dengan niat kerana Allah maka sepanjang hari apa jua yang kita lakukan akan dikira sebagai ibadah.


Umur tetap umur, tiada panjang pendek. Kalau sudah sampai ajal, maka tidak boleh dipanjangkan walau seminit dan tidak boleh dicepatkan walaupun seminit. Allah telah tetapkan ajal seseorang dan hanya Allah yang tahu bila ketetapannya terjadi. Oleh itu jangan bertangguh untuk melakukan amal.

Firman Allah yang bermaksud; 'Jika kamu syukur, nescaya kami akan tambah nikmatnya kepadamu (Surah Ibrahim,7).


Maka usah bertangguh lagi, tingkatkanlah kualiti dan kuantiti amal kita untuk mencapainya. Orang-orang yang beriman, hatinya akan tenteram kerana mengingati Allah. Ingatkan Allah maka hati akan tenteram. Amalkanlah membaca Bismillahirrahmanirrahim dan niatkannya ikhlas semata-mata kerana Allah. InsyaAllah hidup tidak akan sia-sia kerana dengan membacanya, 'niat' kita akan terpelihara dan 'tujuan' akan tercapai...

Wallahu'alam.


Mengenali nama-nama Allah yang agung

ALLAH ada nama dan nama-nama itu indah, maka berdoalah dengan menyebut nama-nama Allah, untuk memperkukuhkan tauhid dan menguatkan keimanan kita.


Firman Allah:
'Aku ada nama yang baik, panggillah nama-namaku'.

Dari Abu Hurairah ra, dari Nabi saw bersabda: 'Allah Ta'ala mempunyai 99 nama. Siapa menghafalnya masuk syurga. Dan sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Tunggal, mencintai ketunggalan.' (HR Muslim)

1. Allah
2. ar-Rahman - Maha Pemurah
3. ar-Rahiim - Maha Penyayang
4. al-Malik - Maha Merajai/Pemerintah
5. al-Quddus - Maha Suci
6. As-Salaam - Maha Penyelamat
7. al-Mukmin - Maha Pengaman
8. al-Muhaimin - Maha Pelindung/Penjaga
9. al-‘Aziz - Maha Mulia/Maha Perkasa
10. al-Jabbaar - Maha Memaksa
11. al-Mutakabbir - Maha Besar
12. al-Khaaliq - Maha Pencipta/Maha Pembuat
13. al-Baari’ - Maha Perancang
14. al-Musawwir - Maha Menjadikan Rupabentuk
15. al-Ghaffaar - Maha Pengampun
16. al-Qahhaar - Maha Pemaksa/ Maha Menundukkan
17. al-Wahhaab - Maha Pemberi
18. al-Razzaaq - Maha Pemberi Rezeki
19. al-Fattaah - Maha Pembuka
20. al-‘Aliim - Maha Mengetahui
21. al-Qaabidh - Maha Penyempit Hidup
22. al-Baasit - Maha Pelapang Hidup
23. al-Khaafidh - Maha Penghina
24. ar-Raafik - Maha Tinggi
25. al-Mu’izz - Maha Pemberi Kemuliaan /Kemenangan
26. al-Mudzill - Maha Merendahkan
27. as-Samiik - Maha Mendengar
28. al-Basiir - Maha Melihat
29. al-Hakam - Maha Menghukum
30. al- Adl - Maha Adil
31. al- Latiif - Maha Halusi
32. al-Khabiir - Maha Waspada
33. al-Haliim - Maha Penghiba/Penyantun
34. al-‘Aziim - Maha Agung
35. al-Ghofuur - Maha Pengampun
36. as-Syakuur - Maha Penerima Syukur
37. al-‘Aliy - Maha Tinggi Martabat-Nya
38. al-Kabiir - Maha Besar
39. al-Hafiiz - Maha Pelindung/Pemelihara
40. al-Muqiit - Maha Pemberi Keperluan/Pembuat Waktu
41. al-Hasiib - Maha Mencukupi
42. al-Jaliil - Maha Luhur
43. al-Kariim - Maha Mulia
44. ar-Raqiib - Maha Pengawas
45. al-Mujiib - Maha Mengabulkan
46. al-Waasik - Maha Luas Pemberiannya
47. al-Hakiim - Maha Bijaksana
48. al-Waduud - Maha Pencinta
49. al-Majiid - Maha Mulia/Agung
50. al-Baa’iht - Yang Maha Membangkitkan
51. as-Syahiid - Maha Mengetahui dan Menyaksikan
52. al-Haqq - Maha Benar
53. al-Wakiil - Maha Berserah
54. al-Qawi - Maha Memiliki Kekuatan
55. al-Matiin - Maha Sempurna Kekuatan-Nya
56. al-Wali - Maha Melindungi
57. al-Hamiid - Maha Terpuji
58. al-Muhsi - Maha Menghitung
59. al-Mubdik - Maha Memulai/Pemula
60. al-Mu’iid - Maha Mengembalikan
61. al-Muhyi - Maha Menghidupkan
62. al-Mumiit - Maha Mematikan
63. al-Hayy - Maha Hidup
64. al-Qayyuum - Maha Tetap
65. al-Waajid - Maha Menemukan
66. al-Maajid - MahaMulia
67. al-Waahid - Maha Esa
68. as-Samad - Maha Diminta
69. al-Qaadir - Maha Kuasa
70. al-Muqtadir - Maha Menentukan
71. al-Muqaddim - Maha Mendahulukan
72. al-Muakhkhir - Maha Melambat-lambatkan
73. al-Awwal - Maha Permulaan
74. al-Aakhir - Maha Penghabisan
75. az-Zohiir - Maha Menyatakan (Bukti)
76. al-Baatin - Maha Tersembunyi
77. al-Waali - Maha Menguasai Urusan
78. al-Muta’aali - Maha Suci/Tinggi
79. al-Barr - Maha Bagus (Sumber segala Kelebihan)
80. al-Tawwaab - Maha Penerima Taubat
81. al-Muntaqim - Maha Penyeksa
82. al-‘Afuww - Maha Pemaaf
83. ar-Raauuf - Maha Mengasihi
84. Maalikul-Mulk -Maha Pemilik Kekuasaan
85. Dzul-Jalaal-Wal-Ikram- Maha Pemilik Keagungan dan Kemuliaan
86. al-Muqsit - Maha Mengadili
87. al-Jaamik - Maha Mengumpulkan
88. al-Ghoni - Maha kaya-raya
89. al-Mughni - Maha Pemberi Kekayaan
90. al-Maanik - Maha Membela/Menolak
91. ad-Dhaar - Maha Pembuat Bahaya
92. an-Naafi’ - Maha Pemberi Manfaat
93. an-Nuur - Maha Cahaya
94. al-Haadi - Maha Pemberi Petunjuk
95. al-Badii’ - Maha Indah/Tidak ada Bandingan
96. al-Baaqi - Maha Kekal
97. al-Waaris - Maha Membahagi/ Mewarisi
98. ar-Rasyiid - Maha Pandai
99. as-Sabuur - Maha Penyabar

Alhamdulillah saya ada menuliskan nama-nama Allah mengikut irama zikir untuk memudahkan kita menghafalnya. Salinan ini ada saya print dulu dan edarkan kepada beberapa orang kawan untuk senang diikuti semasa memasang cd/kaset Asma ul Husna samada dari kumpulan nasyid Hijjaz atau lain2. Jika ada kesilapan dari segi ejaan dan sebagainya harap dapat dimaafkan. Tujuan saya tidak lain hanyalah untuk menyenangkan khusus buat diri sendiri dalam usaha menghafal nama-nama Allah.

********

Nas a lu ka, yaa man hu wallah hul ladzi la i la ha illa hu war Rahman nur Rahim al Malik kul Quddus sus Salaam mul Mukmin nul Muhaimin nul Aziiz zul Jabaar…#

Al Mutakabbir rul Kholiq qul Baari’ ul Musawwir rul Ghoffaar, Al Qahhar rul Wahaab bul Razzaaq#

qul Fattaah hul “Aliim…#

Al Qaabidh dul Baasit tul Khofidh Al Rofiik ul Mu’izz zul Mudzill lus Samiik ul Basiir rul Hakam mul Adl#

Al Latiff ful Khobiir al Haliim mul “Aziim al Ghofuur rush Syakuur al Aliy yul Kabiir rul Hafiiz zul Muqiit#

Al Hasiib bul Jaliil al Kariim mul Raqiib bul Mujiib bul Waasik ul Hakiim mul Waduud dul Majiid dul Baa’iht sus Syahiid#

Al Haqq qul Wakil al Qawi yul Matiin al Wali yul Hamid al Muhsi Mubdik ul Mu’iid al Muhyi Mumitt tul Hayy yul Qayyum#

Al Waajid al Maajid dul Waahid dus Somad dul Qaadir rul Muqtadir rul Muqaddim mul Mu'akhir rul#

Awwal lul Aakhir az Zohiir rul Baatin nul Waali Muta’aali Barr rut Tawwab bul Muntaqim mul ‘Afuww Raauuf ful Maalikul-Mulk kil Dzul-Jalaal li Wal-Ikram#


Al Muqsit al Jaamik ul Ghoni yul Mughni yul Maanik Ud-Dhoor…un-Naafi’ un-Nuur Haadi Badii’ ul-Baaqi#

Al Waaris sur-Rasyiid dus Sabuur rul lazi la za kamis li hi syai un wawas sa mi ul ba sir
Allah hum mas so li ‘af do las solah ti ‘a la as a dil mah lu. Kho ti ka sai yi dina Muhammadin wa ‘a la a li hi wasoh bi hi wa sol lim a la da ma lu, ma ti ka wa mida, da ka li ma ti ka kul la ma, zaka ro kaza kiru na waro fala ‘a zikri hil gho fi luu..……..

Pesanan buat anakku Amir


Anakku …
1. Apabila mendengar azan, bangunlah segera dan Solat.

2. Amalkanlah Zikrullah dan selalulah membaca Al-Quran.

3. Amalkanlah Solat Hajat selepas Solat Isyak dan jika dapat, bangunlah untuk Solat Tahajud sepertimana yang abang lakukan sewaktu akan menghadapi PMR dulu.

3. Berusahalah untuk terus belajar bahasa Arab. Kan bahasa Arab tu, bahasa Al-Quran dan bahasa di Syurga..

4. Jangan banyak bertengkar kerana ia tidak baik untuk diri abang. Jangan berdendam dengan sesiapa. Mari kita kenangkan kebaikan orang dan cuba lupakan keburukannya. Kena ingat kita juga ada kelemahan, bukan sempurna.

5. Jangan banyak ketawa, ia boleh menyusahkan diri abang dan membawa keburukan. Banyak ketawa boleh mematikan jiwa.

6. Jangan bergurau berlebihan dengan kawan2 abang.

7. Jangan bercakap terlalu kuat hingga mengganggu orang lain.

8. Jangan mengumpat di belakang kawan.

9. Berkenalanlah dengan ramai orang kerana ia boleh menggerakkan asas dakwah dan merapatkan ukhwah. (jangan berkawan dalam satu kumpulan kecil sahaja)

10. Kewajipan lebih banyak daripada masa. Oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik2nya.

Akhir sekali....'Happy Birthday' (18/4/08)..Dah 17thn umur abang.. dah dewasa anak mama.. jadi mama doakan abang insyaAllah
~ berjaya dalam SPM tak lama lagi
~ menjadi insan yang Soleh
~ dan berbudi pekerti yang mulia...



mama 15/4/08

Tazkirah pagi seorang ustaz

Setiap pagi saya biasanya memulakan hari dengan luangkan masa mencari input untuk pengisian ruhani melalui internet yang banyak menyajikan ilmu yang bermanafaat. Memang tidak dapat dinafikan banyak juga perkara yang tidak baik di sini, tetapi kita sebagai insan yang dikurniakan akal yang sihat InsyaAllah mampu memilih bahan yang baik untuk meningkatkan jati diri.

Pernah di satu ketika, ada seorang sahabat yang secara berjenaka mengusik yang saya sekarang ini lebih banyak berinteraksi dengan mesin, kurang berinteraksi dengan manusia. Beliau memberi komen, mungkin cara saya ada 'pro and kontra'nya. Yang boleh dilihat kebaikannya, kita mungkin dapat mengurangkan dosa bila kurang berinteraksi dengan jemaah/kumpulan bilamana percakapan/perbuatan kita terbatas dan possibility tersilap kata dapat dihindari. Tetapi tambah beliau saya mungkin akan ketinggalan dari segi pergaulan dan aktiviti sosial/masyarakat. Benar, tanpa ragu-ragu, saya memang mengakui hakikat itu.

Bukan sengaja mahu mencari alasan tetapi yang nyata saya bukan hanya tidak hadir di surau berhampiran malah turut terhenti 'tour' saya ke mana2 pun majlis ilmu yang berlansung di sekitar kawasan kami. Satu ketika dulu saya memang rajin ke masjid dan mana-mana surau berdekatan untuk mengikuti kuliah/usrah. Alhamdulillah dari usaha itu saya berjaya mendapat pengisian tidak kurang dari 4 kali dalam seminggu. Syukur, banyak juga lah ilmu diperolehi dari ustaz/ustazah yang sudi menyampaikan, semoga Allah merahmati mereka atas segala budi yang dicurahkan.

Semua aktiviti saya tiba-tiba terhenti bermula dari berpindahnya seorang ustaz (yang mengajar kami sejak beberapa tahun) ke tempat lain yang tidak memungkinkan beliau untuk terus mengajar di tempat kami lagi. Bila diimbas kembali, saya ketika itu berpeluang mengikuti 2 kuliah beliau dalam seminggu iaitu kelas pengajian al-quran dan kelas fardhu ain. Perpindahan beliau membuat saya agak terkilan kerana merasa kehilangan seorang ustaz yang dapat memberi saya kefahaman dan tunjuk-ajar yang berkesan. Situasi ini bukan saya seorang saja yang merasainya malah ramai kawan-kawan yang turut merasakan kehilangan Ustaz Fauzi sementelah kami baru beberapa bulan sebelum itu kehilangan Ustazah Jamilah(untuk kelas tafsir al-quran), juga kerana faktor berpindah rumah...Ohhh

Nak dijadikan cerita saya pula selepas itu mula terikat dengan jadual menghantar/mengambil anak sekolah yang agak jauh dari rumah kami setiap hari. Kelapangan masa tiba-tiba menjadi terhad bilamana saya masih dalam perjalanan di waktu yang biasanya saya ketika itu sepatutnya berada di kelas. Dalam pada itu, timbul pula rasa tawar hati untuk mengikuti kelas yang dikendalikan oleh ustaz lain yang menggantikan tempat Ustaz Fauzi.

Kesibukan saya di jalanraya makin menjejaskan jadual kelas2 lainnya seperti kelas bahasa arab oleh ustaz Hidayat di Surau Muhajirin, pengajian Feqah oleh Ustaz Wan di Surau Muhajirin, kelas tajwid oleh Dr juga di Surau Muhajirin serta kelas usrah pimpinan kak Asmah di rumah beliau. Bukan itu saja, malah rumah saya sendiri pula semakin jadi tidak terurus... mungkin oleh sebab penat dan 'berlari-lari' nya saya setiap hari.

Akhirnya, setelah bermuhasabah diri, saya akhirnya membuat keputusan untuk tidak ke mana2 kelas buat sementara. Ingin berehat seketika dan nak cuba buat adjustment dengan masa saya.

Begitulah ceritanya... bermula dari terhentinya satu kelas membawa kepada terhenti sepenuhnya komitmen saya terhadap pengisian ilmu yang lain. Jadi setelah 'berehat' untuk jangkamasa yang agak lama ini, payah pula rasanya untuk memulakan kembali. Memang hati sentiasa terbuka untuk kembali mengikuti kelas yang saya tinggalkan tetapi banyak pula urusan keduniaan yang menghalang. Namun begitu saya sentiasa berharap agar saya tetap dikurniakan Allah rahmatNya dan tidak putus asa dalam mencari ilmu. Saya bersyukur pada Allah dengan apa jua yang berlaku dan menganggap semua yang terjadi ada hikmah di sebaliknya. Dengan adanya banyak masa saya di rumah, dapat memberi ruang kepada saya untuk menumpukan lebih perhatian terhadap urusan rumahtangga di samping sempat pula membaca buku-buku ilmiah yang tak sempat dibaca sebelum ini...syukurlah.. *moga sahabat saya tadi membaca luahan saya ini bagi menjawab kesangsian beliau... :)*

_________________________________


Ada satu sesi tazkirah *dengar dari pc* oleh seorang ustaz yang dikenali ramai yang menarik hati saya di suatu pagi. Beliau ialah yang berbahagia Ustaz Hj Ismail Kamus... Semoga sama2 beroleh manafaat.

Nabi Allah saw minta buat 9 perkara:
1. Melaksanakan keikhlasan, baik secara orang tak nampak atau di khalayak ramai. Tak payah bagitau orang kita beribadat. Jangan bagitau orang keikhlasan kita. Tak payah dimaklumkan kepada orang yang kita ni ikhlas. Biar Allah saja yang tau keikhlasan kita. Kita buat amalan biar ikhlas. Tak payah nak 'ajak-ajak ayam' orang, kalau dia mahu nanti, susah kita. Cth; ajak2 tak ikhlas orang join minum kat restoran. Kalau buatnya dia kata ok, susah kita. Kalau kita nak sedekahkan sejadah, tak payah tulis-tulis nama kita. Maknanya kita macam nak disebut-sebut orang. Kalau ikhlas, syaitan pun tak ganggu. Yang boleh syaitan ganggu, yang tak ikhlas. Nak jaga bab ikhlas ni, susah.. contohnya bagi kueh di bulan Ramadhan, hantar je kueh, tak payah tunggu orang balas. Niat hantar kueh kerana Allah s.w.t. Jangan sampai terpadam pahala kita kerana tak ikhlas. Cth bila kita sembahyang orang tengok, kita pun lambat2kan pergerakan sebab orang tengok. Biasanya cepat. Kalau balik dari Mekah contohnya, jangan marah kalau orang tak panggil “Haji/Hajjah.” Kalau pegi Umrah pulak, tak payah le cerita dah berapa kali pegi. Semasa kat Mekah pukul 3 pagi biasa dah bangun, sembahyang. Tapi bila balik rumah, dah takde amalan2 begitu. Kesimpulannya, sesuatu amalan itu mestilah beserta dengan niat. Niat kerana kecintaan kepada Allah Taala semata-mata. Yang riak, sombong dan sebagainya akan ditolak pahala.

2. Hendaklah kita adil dalam melaksanakan hukuman (samada semasa kita marah atau tidak).
Itu la pasal orang perempuan tak boleh jadi imam atau hakim. Sebab orang perempuan kuat emosi. Apa2 suasana pun kita mesti adil. Waktu marah biasanya pemikiran kita tidak stabil. Cth, suami boleh berkata yang tidak sepatutnya ketika sedang marah, kemudian menyesal. Dalam hidup ini, kita tak boleh berlaku zalim kepada orang lain walau waktu apa sekalipun. Orang yang kena zalim, doanya tiada hijab dengan Allah. Pernah suatu masa, kucing tidur atas selendang nabi saw. Nabi tak kejut kucing tu, sebaliknya gunting sedikit selendang baginda saw kerana tak mahu kejutkan kucing tadi. Kesimpulannya, jangan berlaku zalim kepada binatang...kepada manusia.... Dalam mencari pahala, senyum pada orang pun dah dapat pahala. Cth lain, bila bersalam pula tengok muka orang itu. Jangan bersalam samseng, tangan hulur tapi pandang kat lain. Kalau macam tu dosa saja yang dapat.

3. Bersederhana di waktu senang atau susah.
Kalau selalu besederhana dalam hidup ini, waktu duit banyak pun tidak akan berlaku pembaziran.

4. Memaafkan kesalahan orang.
Kalau ada orang yang berhutang pada kita(yang berhutang tak bayar samada terlupa/buat2 lupa)sebaiknya halalkan saja, supaya tidak menyusahkan dia ataupun kita nanti. Cth, kita sedang meniti nak masuk syurga, malaikat tahan kita sebab ada orang cari(nak minta maaf/nak minta halalkan) Tak ke menyusahkan, tunggu-tunggu orang tu belum datang, susah orang tu nak cari kita sebab orang ramai. Oleh itu kalau tak maafkan atau halalkan semasa di dunia, tak untung apa-apa. Eloklah memberi maaf, dapat pahala dan tak menyulitkan keadaan yang dah sedia sulit masa di padang masyar nanti...

Wallahualam


**(sambungan video tak dapat dikesan, setakat 4 perkara sahaja)


Panggilan Baitullah

Pada yang belum berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah suci Mekkah, rasanya ramai yang berhajat dan menyimpan impian untuk ke sana bagi mengerjakan rukun Islam ke 5 iaitu menunaikan fardhu haji. Sebagaimana mereka, saya yang sedang meniti usia 40-an ini tidak terkecuali teruja untuk merasai nikmat mengelilingi Kaabah di tanah suci. Ramai di antara kawan-kawan maupun saudara-mara yang telah ke sana menasihatkan saya supaya 'pasang niat' terlebih dahulu untuk mengubah impian menjadi realiti. Selepas pasang niat baru lah disusuli dengan usaha serta doa yang bersungguh2 supaya diberi ruang oleh Allah swt menjadi tetamuNya di sana.

Satu ketika dulu sewaktu membelek buku-buku di MPH One Utama, saya ada terjumpa satu buku yang ditulis oleh Ustaz Hj Daud Che Ngah bertajuk Seruan Dari Kaabah yang memaparkan kisah-kisah benar pengalaman jemaah haji sewaktu berada di Tanah Suci. Berdetik hati saya untuk memiliki buku tersebut supaya mendapat gambaran kejadian yang berlaku agar boleh saya jadikan iktibar sebelum melalui pengalaman sendiri nanti. Alhamdulillah setelah membaca dari awal hingga akhir, banyak yang dapat saya ambil pengajaran dari setiap kisah dan ragam manusia. Sesungguhnya jika niat, kata-kata dan perbuatan kita baik, Allah akan membalasnya dengan kebaikan dan rahmat. Semua yang berlaku adalah dengan izin Allah di mana kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan. Yang pasti hendaklah yakin bahawa setiap perkara yang terjadi itu ada hikmah di sebaliknya maka eloklah ianya dijadikan sebab untuk kita bermuhasabah diri.

Hati saya kembali berbunga terhadap Baitullah bila tiba-tiba sahaja semalam saya mendapat hadiah berupa 2 buah buku dan sekeping CD nasyid kumpulan Raihan dari seorang teman yang saya kasihi. Kedua-dua buku tersebut bertajuk Misteri Solat Subuh tulisan Dr Raghib As-Sirjani dan satu lagi bertajuk Travelog Haji oleh Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim. Perasaan saya tersentuh dengan pemberian hadiah yang berharga ini dan saya terus menadah tangan berdoa kepada Allah supaya membalas kebaikan teman saya itu dengan berlipat-kali ganda..Amiinn.

Selesai sahaja makan malam, saya terus mengambil buku Travelog Haji terlebih dahulu kerana dari waktu sebelum 'dinner' lagi hati saya dah tak sabar-sabar untuk menjengah isinya lebih-lebih lagi bila melihat tajuknya yang 'interesting'. Buku yang mempunyai cover yang menarik itu adalah dari terbitan PTS Islamika yang saya lihat sepintas lalu (sebagai mukadimah)memaparkan rentetan pengalaman penulis merakamkan detik-detik bersejarah sebelum, semasa dan selepas menunaikan haji. InsyaAllah melalui pembacaan buku ini, dapat saya rasakan ia bakal memberi manafaat dan dorongan untuk saya memahami dengan lebih jelas maksud menjadi tetamu Allah.

Rezeki terletak di tangan Allah. Saya amat yakin sekali dengan ketentuan itu malah menganggap akan ada rezeki kami nanti untuk mengerjakan rukun Islam ke 5 ini. Niat untuk menunaikan haji mestilah bermula dengan keyakinan yang tidak berbelah-bahagi bahawa rasa cinta dan takut kita kepada Allah swt melebihi segala sesuatu di dalam dunia ini. Membuat keputusan untuk mengerjakan haji(dengan izin Allah) bermakna kita sudah bersedia untuk menjalani ibadah ini dengan sepenuh hati bagi menunjukkan kecintaan kita kepada Allah semata-mata bukan pergi untuk tujuan lain. Semoga Allah mengurniakan kami kesihatan yang baik dan keluasan rezeki untuk kami mampu sampai ke sana...Semoga Allah makbulkan doa saya...Insyaallah.


Cari Buku di Pesta Buku

7 buah buku bermutu untuk dicari di Pesta Buku Antarabangsa 2008 yang sedang berlansung:

1) Untaian Kisah Para Wali Allah
oleh Syed Ahmad Semait terbitan Pustaka Nasional/Islamiyah

2) 10 Yang Dijamin Masuk Syurga
oleh Syed Ahmad Semait terbitan Pustaka Islamiyah

3) Rumah tangga Nabi Muhammad saw
oleh H.M.H. Al Hamid Al Husaini terbitan Pustaka Nasional

4) Sirah Nabawiyah
oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terbitan Nufair Street Sdn Bhd

5) Sejenak Bersama Hidangan Al-Quran
oleh Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni terbitan Al-Hidayah

6) Jagalah Allah Allah Menjagamu
oleh Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni terbitan Al-Hidayah

7) Nashaihul Ibad(Nasihat-nasihat untuk para hamba)
oleh Imam Nawawi al-Nantani terbitan IBS, Bandung(boleh di dapati di booth Al-Hidayah)

Kebanyakan buku-buku itu telah lama berada di pasaran, namun kadang-kala kita terlepas pandang. Selamat membaca dan beroleh manafaat, seperti kata seorang ilmuwan kepada saya iaitu.. baca untuk dimengerti, baca untuk menambah ilmu...Wassalam

Khasiat Ulam Pegaga



Amalan kerap memakan pegaga boleh menjadikan seseorang itu awet muda dan tubuh badan tidak gemuk. Pada masa lampau ada gerai yang menjual jus pegaga sebagai tonik untuk menyihatkan badan dan mengurangkan panas badan. Dimakan, dibuat jus minuman atau direbus untuk diminum sebagai penawar alahan, antikanser, menghentikan pendarahan dan menyembuhkan luka, melawaskan buang air kecil, meransang peredaran darah, merawat cirit-birit, merawat sakit keronkong, penawar kencing berdarah, penawar batu karang, penawar demam panas, penawar ulser, sebagai minuman tonik dan menurunkan tekanan darah tinggi. (petikan dari artikel saya yang terdahulu iaitu Makan Sayur Setiap Hari - sila klik di sini)


Hari ini tergerak hati saya untuk bercerita lebih lanjut tentang amalan memakan pegaga ini samada di makan sebagai ulam atau dibuat jus minuman. Kedua-dua pendekatan itu memang ternyata berkesan kerana hasilnya masalah sakit-sakit badan maupun keletihan dapat di kurangkan berbanding sebelumnya.

Ceritanya bermula beberapa tahun lalu di mana rumah lama kami telah menerima kunjungan seseorang yang kalau tidak silap agak2 saya berumur dalam linkungan 70-an. Beliau merupakan saudara 'bau-bau bacang' kami. Yang buat saya terpegunnya ialah bila tiapkali pandang wajahnya yang putih bersih berseri-seri dan tampak cantik walaupun dalam usia emas

Semasa di dapur ketika membasuh pinggan, saya ambil peluang bertanya rahsia awet muda beliau. Alhamdulillah beliau nampaknya dengan senang hati memberitahu saya rahsia yang diamalkannya sejak dari usia muda remaja lagi.

Caranya tidak lain dari menumbuk segenggam pegaga setiap pagi, ditapis patinya lalu dicampur dengan air masak setengah gelas untuk diminum. Hampas pegaga tadi jangan dibuang, lumurkan pula di muka dan biarkan ia selama kita memasak di dapur. 

Bagi saya, ini merupakan satu alternatif rawatan penjagaan kesihatan yang baik dan berkesan jika diamalkan setiap hari. Selain untuk rawatan diri sendiri, saya juga cuba memanafaatkan khasiat sayur ini untuk suami dan anak-anak. Tapi budak2 biasa lah, mereka hanya makan sebagai ulam dan tak berapa gemar minum jus nya(mungkin bagi mereka rasanya tidak sesedap jus carrot/belimbing).

Alhamdulillah sehingga sekarang, saya menanam sendiri pegaga di laman dapur. Rasa2nya tanam sendiri lebih baik dari beli pegaga di pasar kerana jika ditanam sendiri, insyaAllah kedapatan bahan-bahan kimia pada ulam/sayur dari sebab baja/racun serangga boleh dielakkan. Saya lebih suka gunakan kaedah orang-orang tua dulu yang menyiram sayur-sayuran dengan air dari basuhan beras atau ikan. Hasilnya sayur kita akan lebih cantik, subur dan selamat untuk dimakan melalui penggunaan baja yang semulajadi.

Selamat mencuba, wassalam.