Hari ini saya ingin berkongsi ilmu yang diperolehi dari seorang ustaz yang bila disebut sahaja namanya, hati ini pasti teruja...mungkin kerana cara penyampaian beliau yang agak sedikit berbeza dari lain2 ilmuwan yang menyebarkan dakwah dan ilmu pengetahuan. Beliau ialah Ustaz NurSalam dari tanah seberang. Saya dan suami alhamdulillah telah berpeluang mengikuti tazkirah beliau di Surau Muhajirin berhampiran dengan rumah kami. Moga kita sama2 beroleh manafaat...InsyaAllah.
Dengan membaca Basmallah iaitu Bismillahirrahmanirrahim, maknanya seseorang itu kemana-mana sahaja dengannya menyebut nama Allah. Sebutlah nama Allah ke mana sahaja pergi. Tanpa menyebut nama Allah maka sesuatu pekerjaan itu menjadi sia-sia. Hendaklah berusaha menjadi manusia yang Ulul Albab yang mana sentiasa teringat pada Allah samada di kala duduk, berdiri dan baring. Allah menjadikan hidup ini tidak sia-sia. Perbanyakkanlah zikir dan sentiasa mendahulukan zikir(hati) dari fikir(kepala).
Pendidikan anak yang Soleh bermula dari dalam perut ibunya lagi. Pemakanan oleh ibu dari sumber yang baik dan halal menyumbang kepada pembentukan ruhani anaknya. Untuk mendidik anak menjadi pintar boleh memakan masa lebih kurang 20 tahun. Tetapi untuk menjadikan anak itu seorang yang Soleh memerlukan masa lebih daripada itu. Anak soleh sudah tentu merupakan seorang anak pintar. Tetapi anak pintar tak semestinya dapat menjadi seorang anak yang soleh.
Berbuat baik itu biarlah banyak-banyak hingga boleh menjadi seorang mukmin yang baik. Seorang mukmin yang baik bermula dengan yang mempunyai hati(kalbu) yang baik. Biar hati bergetar bila setiapkali mendengar ayat-ayat Allah, biar bergetar bila sebut nama Allah. Hendaklah sentiasa bertawakkal kepada Allah. Kerjakanlah Solat kerana itu adalah ibadah yang paling utama. Dermakanlah sedikit rezeki yang diperolehi untuk mendapatkan rahmat dan keberkatan dari Allah swt.
Sayangilah dan cintailah apa sahaja tetapi ingat, kalau bukan kita yang tinggalkan dia, dia yang akan tinggalkan kita. Buatlah apa sahaja mengikut pertimbangan kita tetapi ingat semua nya ada balasan dari Allah swt. Hitunglah sendiri, fikirlah sendiri. Yang baik akan dibalas baik manakala yang buruk akan dibalas buruk. Maka hendaklah kita pilih jalan yang hendak dilalui samada baik atau buruk kemudian kita terimalah akibatnya.
8 alam yang akan ditempuh oleh seseorang manusia itu:
- Alam ruh
- rahim
- dunia
- kubur(barzah)
- akhirat(masyar)
- hisab
- mizan
- sirat
- Alam ruh
- Alam rahim: 9 bulan 10 hari(seseorang manusia itu tinggal di dalam kandungan ibunya sehingga masa yang dikehendaki Allah, kemudian lahirlah ia ke dunia).
- Alam dunia: Dunia ini sekejap..contohnya ketawa kita sekejap sebab itu lah bila ketawa kita merasa nikmat. Yang sekejap itu biasanya nikmat. Semua ini sekejap sahaja contoh umur kita mungkin bertahan sehingga lebih kurang 70 tahun sahaja. Yang lebih dari itu mungkin sedikit sahaja bilangannya. Mati ikut sunnah 63 tahun.(Ada riwayat kata wafatnya baginda saw 60 tahun dan yang lain ada kata 65 tahun). Oleh itu beringat-ingatlah. Kalau umur kita lebih nanti hanya akan menyusahkan orang. Ianya nanti susah dan menyusahkan. (Dalam peringkat umur tua inilah akan kelihatan tanda-tanda kelemahan bagi seseorang, sehingga kekuatannya mula merosot sedikit demi sedikit lalu ia menjadi lemah selepas melalui masa muda di mana ia kuat).
Orang yang untung ialah orang yang isikan masa dengan iman dan amal soleh. Betapa ruginya manusia kerana habis masa; malam berlalu dengan tidur nyenyak, siang pula dihabiskan dengan sibuk mencari harta. Maka jangan dipendekkan malam dengan tidur nyenyak, jangan dihabiskan siang untuk memburu sesuatu yang tidak pasti.
Sabda Rasulallah saw: 'Rebutlah peluang lima sebelum lima. Masa muda sebelum tiba masa tua. Masa sihat sebelum tiba masa sakit. Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa kaya sebelum tiba masa miskin. Dan masa hidup sebelum tiba masa mati.'
Bersabda Rasulallah saw lagi: 'Kedua kaki anak Adam itu akan tetap berdiri di hadapan Tuhannya pada Hari Kiamat, sehingga selesai ditanya tentang empat perkara:
- tentang umurnya, untuk apa dihabiskan
- tentang masa mudanya, untuk apa dipergunakan
- tentang hartanya, dari mana diperolehi dan untuk apa dibelanjakan
- tentang ilmunya, apa yang sudah dibuat dengannya.
Dalam melakukan setiap pekerjaan itu pastikanlah kita mempunyai 'niat' untuk melakukannya kemudian pastikan pula 'tujuan'nya. Bacalah Bismillahirrahmanirrahim sebelum memulakan untuk mengharapkan keberkatan dan pertolonganNya. Ibadah bukannya hanya dikira pada Solat, puasa, haji dan sebagainya sahaja. Itu tidak mencukupi untuk kita mendapatkan redha Allah swt. Hidup ini jangan dibiarkan kosong. Isikanlah ilmu penuh di dada. Mulakan setiap pekerjaan dengan nama Allah maka setiap pekerjaan itu akan dikira sebagai ibadah. Lakukan pekerjaan itu dengan niat kerana Allah maka sepanjang hari apa jua yang kita lakukan akan dikira sebagai ibadah.
Umur tetap umur, tiada panjang pendek. Kalau sudah sampai ajal, maka tidak boleh dipanjangkan walau seminit dan tidak boleh dicepatkan walaupun seminit. Allah telah tetapkan ajal seseorang dan hanya Allah yang tahu bila ketetapannya terjadi. Oleh itu jangan bertangguh untuk melakukan amal.
Firman Allah yang bermaksud; 'Jika kamu syukur, nescaya kami akan tambah nikmatnya kepadamu (Surah Ibrahim,7).
Maka usah bertangguh lagi, tingkatkanlah kualiti dan kuantiti amal kita untuk mencapainya. Orang-orang yang beriman, hatinya akan tenteram kerana mengingati Allah. Ingatkan Allah maka hati akan tenteram. Amalkanlah membaca Bismillahirrahmanirrahim dan niatkannya ikhlas semata-mata kerana Allah. InsyaAllah hidup tidak akan sia-sia kerana dengan membacanya, 'niat' kita akan terpelihara dan 'tujuan' akan tercapai...
Wallahu'alam.