Pada yang belum berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah suci Mekkah, rasanya ramai yang berhajat dan menyimpan impian untuk ke sana bagi mengerjakan rukun Islam ke 5 iaitu menunaikan fardhu haji. Sebagaimana mereka, saya yang sedang meniti usia 40-an ini tidak terkecuali teruja untuk merasai nikmat mengelilingi Kaabah di tanah suci. Ramai di antara kawan-kawan maupun saudara-mara yang telah ke sana menasihatkan saya supaya 'pasang niat' terlebih dahulu untuk mengubah impian menjadi realiti. Selepas pasang niat baru lah disusuli dengan usaha serta doa yang bersungguh2 supaya diberi ruang oleh Allah swt menjadi tetamuNya di sana.
Satu ketika dulu sewaktu membelek buku-buku di MPH One Utama, saya ada terjumpa satu buku yang ditulis oleh Ustaz Hj Daud Che Ngah bertajuk Seruan Dari Kaabah yang memaparkan kisah-kisah benar pengalaman jemaah haji sewaktu berada di Tanah Suci. Berdetik hati saya untuk memiliki buku tersebut supaya mendapat gambaran kejadian yang berlaku agar boleh saya jadikan iktibar sebelum melalui pengalaman sendiri nanti. Alhamdulillah setelah membaca dari awal hingga akhir, banyak yang dapat saya ambil pengajaran dari setiap kisah dan ragam manusia. Sesungguhnya jika niat, kata-kata dan perbuatan kita baik, Allah akan membalasnya dengan kebaikan dan rahmat. Semua yang berlaku adalah dengan izin Allah di mana kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan. Yang pasti hendaklah yakin bahawa setiap perkara yang terjadi itu ada hikmah di sebaliknya maka eloklah ianya dijadikan sebab untuk kita bermuhasabah diri.
Hati saya kembali berbunga terhadap Baitullah bila tiba-tiba sahaja semalam saya mendapat hadiah berupa 2 buah buku dan sekeping CD nasyid kumpulan Raihan dari seorang teman yang saya kasihi. Kedua-dua buku tersebut bertajuk Misteri Solat Subuh tulisan Dr Raghib As-Sirjani dan satu lagi bertajuk Travelog Haji oleh Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim. Perasaan saya tersentuh dengan pemberian hadiah yang berharga ini dan saya terus menadah tangan berdoa kepada Allah supaya membalas kebaikan teman saya itu dengan berlipat-kali ganda..Amiinn.
Selesai sahaja makan malam, saya terus mengambil buku Travelog Haji terlebih dahulu kerana dari waktu sebelum 'dinner' lagi hati saya dah tak sabar-sabar untuk menjengah isinya lebih-lebih lagi bila melihat tajuknya yang 'interesting'. Buku yang mempunyai cover yang menarik itu adalah dari terbitan PTS Islamika yang saya lihat sepintas lalu (sebagai mukadimah)memaparkan rentetan pengalaman penulis merakamkan detik-detik bersejarah sebelum, semasa dan selepas menunaikan haji. InsyaAllah melalui pembacaan buku ini, dapat saya rasakan ia bakal memberi manafaat dan dorongan untuk saya memahami dengan lebih jelas maksud menjadi tetamu Allah.
Rezeki terletak di tangan Allah. Saya amat yakin sekali dengan ketentuan itu malah menganggap akan ada rezeki kami nanti untuk mengerjakan rukun Islam ke 5 ini. Niat untuk menunaikan haji mestilah bermula dengan keyakinan yang tidak berbelah-bahagi bahawa rasa cinta dan takut kita kepada Allah swt melebihi segala sesuatu di dalam dunia ini. Membuat keputusan untuk mengerjakan haji(dengan izin Allah) bermakna kita sudah bersedia untuk menjalani ibadah ini dengan sepenuh hati bagi menunjukkan kecintaan kita kepada Allah semata-mata bukan pergi untuk tujuan lain. Semoga Allah mengurniakan kami kesihatan yang baik dan keluasan rezeki untuk kami mampu sampai ke sana...Semoga Allah makbulkan doa saya...Insyaallah.
بسم الله الرحمن الرحيم