CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
بسم الله الرحمن الرحيم

Kisah Abrahah dalam Surah Al-Fiil

"Jika ada sifat tawadduk, kita akan menang...."

Itu jawapan Shilah masa papa-nya ajukan soalan, "Apa point yang Shilah dapat dekat kuliah maghrib tadi? Sebut kat papa, satu!"

Alhamdulillah, terkesan hati dengar majlis ilmu di Masjid As-Salam malam tadi. Kuliah maghrib telah disampaikan oleh yang berbahagia Ustaz Fauzi Al-Yamani yang menyampaikan kuliah yang begitu menarik, berkisar tentang satu cerita yang terkandung dalam al-Quran. *syukur alhamdulillah, hati begitu teruja kerana pihak masjid baru-baru ini telah letakkan speaker baru di ruang solat wanita, jadi suara Imam dan para penceramah jemputan dapat didengar dengan amat jelas berbanding sebelum ini, alhamdulillah*

Kami para audion mendengar dengan penuh minat bilamana ustaz menceritakan kisah Abrahah yang telah Allah sebutkan didalam al-Quran di 105 Surah Al-Fiil.


SURAH AL-FIIL

[1]
Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
[2]
Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?
[3]
Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, -
[4]
Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, -
[5]
Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.
_____________________

Sedutan cerita Abrahah dari penceritaan ustaz:

Tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW disebut sebagai tahun Gajah kerana pada tahun itu telah datang pasukan tentera bergajah menyerang Kota Mekah. Selepas terjadinya peristiwa tersebut, junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabiul-Awal tahun Gajah.

Tentera bergajah diketuai oleh Abrahah yang berasal dari Habasyah(Ethiopia). Abrahah sangat ditakuti oleh orang-orang Arab disebabkan kebengisan beliau. Beliau mempunyai sifat yang sungguh angkuh. Disebabkan dengkinya dengan Kaabah, beliau telah membina satu gereja yang begitu tinggi di Yaman yang dinamakan Qullais. Keinginan beliau tidak lain hanya ingin menarik perhatian manusia supaya beralih pergi ke Yaman.

Abrahah berharap Qullais dapat mengalahkan pengaruh Kaabah yang menjadi tumpuan di waktu itu. Seorang di antara kabilah Bani Fuqaim tidak dapat menahan amarahnya terhadap Abrahah. Dia telah mengambil langkah memakan julap. Secara diam-diam dia kemudiannya masuk ke dalam Qullais lalu membuang air besar di dalamnya dan mengotori bahagian penting bangunan itu dengan najis. Ketika Abrahah mendengar peristiwa itu dia menjadi amat marah di mana perasaan dendamnya terhadap Kaabah jadi semakin menebal. Abrahah lalu bersumpah akan menghancurkan Kaabah.

Beliau terus menyiapkan sebuah pasukan besar dengan membawa ratusan ekor gajah lalu berangkat sendiri memimpin pasukannya menuju ke Mekah. Sepanjang laluan ke Mekah, Abrahah telah bertindak memusnahkankan setiap perkampungan yang ditempuhi. Seluruh masyarakat Arab jadi takut dan cuba melarikan diri dari terserempak dengan laluan Abrahah yang sedang mara ke Kota Mekah. Jelas betapa jahatnya Abrahah ketika itu.

Ada soalan yang timbul:
"Kenapa Abrahah bawa gajah, bukan bawa kuda untuk serang Kota Mekah?"
Jawapannya, Abrahah ini jenis orang yang bersikap takabbur dan angkuh. Beliau ingin tunjukkan kepada masyarakat Arab tentang konon betapa kuat dan hebatnya beliau.

Apabila sampai ke satu tempat di luar kota Mekah, ketika beliau sedang berehat disuruhnya beberapa orang pergi ke Kota Mekah untuk memberitahu penduduk Mekah akan kemaraan mereka ke sana. Tapi sebahagian dari orang2 tersebut tidak mendengar kata sebaliknya bila sampai di Mekah telah mencuri dan merompak harta orang-orang Mekah termasuklah kambing kepunyaan Abdul Mutalib salah seorang darinya.

Abdul Mutalib lalu pergi berjumpa Abrahah untuk meminta dipulangkan kembali kambingnya. Sebaliknya Abrahah dengan bongkaknya telah bertanya balik apakah Abdul Mutalib tidak merasa gerun dan takut terhadap keinginannya yang akan cuba membinasakan kaabah. Abdul Mutalib menjawab, "...kambing itu memang kepunyaanku tetapi Kaabah itu ada tuannya... Pemiliknya ialah Allah..." Jelas menunjukkan betapa kuatnya hati Abdul Mutalib yang berani mengatakan ini kepada Abrahah yang terkenal bengis.

Abrahah dengan angkuhnya lalu meneruskan misi menyerang kota Mekah dengan tentera bergajahnya. Dia merasakan dia lah yang paling kuat tetapi Allah telah mengatakan pada orang yang baca surah Al-Fiil:

Allah telah datangkan kepada mereka burung2 yang berpuak-puak. Kalau kita fikir logik, tentu lah Allah akan hantar haiwan yang lebih besar dari gajah sebagai contoh: Dinasour umpamanya...

Sebaliknya Allah utuskan berpuak2 burung untuk tewaskan tentera bergajah. Ini pengajaran terhadap sifat bongkak Abrahah bila Allah hantar burung-burung untuk tewaskan gajah yang bersaiz besar.
Jelas bahawa barangsiapa yang tawadduk, maka dia akan ditinggikan oleh Allah, sebaliknya barangsiapa yang merasa dirinya takabbur, maka mereka akan direndahkan oleh Allah Taala.

Setiap burung itu membawa tiga biji batu. Dibalingnya ke atas mereka batu2 itu yang berasal dari neraka. Burung itupun semestinya bukan sebarang jenis burung. Tidak ada seorangpun yang tersisa dari buruan burung-burung tersebut. Apabila dilontar batu pada tentera bergajah maka menjadilah mereka seperti daun2 yang dimakan ulat.

Pengajaran dari cerita Abrahah:
  • Apabila Allah hendak letakkan kemuliaan pada sesuatu kaum maka akan diangkatkan-Nya azab dari kampung/kaum tersebut.
  • Orang yang bertawadduk di atas mukabumi ini, maka mereka tidak akan kalah tetapi akan sentiasa menang....InsyaAllah



___________________
Ustaz selitkan selingan cerita tentang dua orang hambaAllah yang satunya berbangsa Arab dan seorang lagi orang Indonesia, untuk menjelaskan lagi sifat tawadduk ini.

Dikatakan di satu ketika... Tiba-tiba seorang Arab telah menepuk kepala seorang Indon. Orang Indon merasa sangat marah lalu menumbuk dengan kuat pipi kiri orang Arab tadi. Orang Arab yang sedang kesakitan merasa hairan, lalu beliau bertanya:

Orang Arab: Mengapa tuan kelihatannya begitu marah? Saya tepuk kepala tadi sebab ianya memang adat kami dalam berkawan.. tepuk-tepuk kepala tanda mesra dalam berkawan...

Orang Indon: Ohh, dalam adat saya, pantang orang tepuk tepuk kepala semacam itu.

Orang Arab: Oh iya ke.... kalau begitu, memang salah saya lah yang tidak tahu adat tuan. Jadi pukullah pipi saya yang sebelah kanan pula.. sebab memang saya yang salah...maafkanlah saya.....

Orang Indon jadi terpampan tidak terkata mendengar penjelasan serta permintaan dari orang Arab. Beliau jadi sangat insaf dan menyedari beliau juga salah dalam hal itu.. kejadian itu hanya merupakan salah faham antara mereka, ke dua2nya tidak tahu akan adat masing2. Maka orang Indon dengan rasa malu dengan perbuatannya terus meminta maaf dari orang Arab dan amat menyesal akan perbuatannya.

Kesimpulan: Jika ada sifat tawadduk atau rendah hati, InsyaAllah kita akan selalu menang dan berada di kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
Wallahu'alam.