"Petang itu, dia berceramah. Bicaranya berapi-api tentang mimpinya selama ini iaitu tertegaknya agama Allah di muka bumi. Dia begitu bersemangat menghuraikan cita-citanya untuk menyaksikan syariat Allah meminpin peradaban di seluruh alam semesta. Lalu dibentangkan pandangannya dengan panjang lebar, seumpama memberi keyakinan pada sidang hadirin. Kemudian setelah mengemukakan penyelesaian dan kesimpulan, dia pun mengakhiri ceramahnya.
Sehari selepas itu, saya mencari-cari penceramah itu di antara saf-saf jemaah solat Subuh. Hairan, saya tidak melihatnya. Saya berkata di dalam hati, "Mungkin penceramah itu berhalangan atau ada urusan.'
Hari berikutnya, waktu yang sama, saya cuba mencarinya semula di antara deretan saf-saf jemaah solat Subuh dengan harapan dapat bertemunya. Namun, saya kecewa lagi kerana beliau masih tiada. Saya memutuskan untuk mencari di mana penceramah itu berada yang mana akhirnya dapat juga saya bertemu dengannya. Saya bertanya: "Apa yang terjadi tuan? Mudah-mudahan apa yang menghalangmu adalah sesuatu yang baik. Saya tidak bertemu dengan tuan di waktu solat Subuh!"
Dengan selamba di menjawab tanpa rasa malu: "Maafkan saya. Semoga Allah mengampuni saya dan mengampuni kamu. Keadaan saya tidak mengizinkan. Pagi-pagi lagi saya sudah mula bekerja dan pada waktu malam pula saya tidur agak lambat. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Saya terdiam dan bingung mendengar jawapan beliau. Benar-benar bingung. Saya bertanya di dalam hati, 'Mungkinkah agama Allah akan tegak kukuh di atas muka bumi ini di tangan mereka yang melalaikan kewajipannya kepada Allah?'
Hati saya bergejolak, jiwa terasa sempit dan kerongkong terasa tersumbat..."
Begitulah ceritanya oleh Dr Raghib as-Sirjani yang mana rentetan dari berlakunya peristiwa itu telah mendorong beliau menulis buku bertajuk "Misteri Solat Subuh" terbitan Darul Nu'man yang saya rasa begitu hebat sekali isi kandungannya. (Terimakasih buat teman merangkap guru tazkirah saya iaitu kak Asmah yang telah menghadiahkan buku tersebut beserta sebuah lagi buku bertajuk "Travelog Haji" oleh Prof. Dr Md Kamil terbitan PTS Islamika).
Sesungguhnya Solat Subuh merupakan satu ujian yang sukar, namun ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan. Nilai tertinggi dalam ujian ini bagi seorang lelaki adalah solat Subuh berjemaah di masjid. Apabila Rasulallah saw meragui keimanan seseorang, baginda akan memerhatikan solat Subuhnya. Apabila baginda dapati orang tadi tidak menunaikan solat Subuh, maka benarlah apa yang baginda ragui itu.
Ubai bin Ka'ab ra berkata, Rasulallah saw solat Subuh kemudian bersabda, "Apakah kamu menyaksikan bahawa si fulan solat?' Mereka menjawab,"Tidak." Baginda bersabda lagi, "Si fulan?" Mereka menjawab, "Tidak." Maka, bagindapun bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya dua solat ini(Suboh dan Isyak) adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak." (HR Ahmad dan an-Nasa'i)
Bagi perempuan pula, solat Subuh di awal waktu di rumah tika mana para lelaki sedang solat di masjid merupakan tanda seorang wanita itu mukminah dan kukuh imannya. Ummu Hamid as-Sa'idiyyah ra mendatangi Rasulallah saw dan berkata, "Wahai Rasulallah, sesungguhnya aku sangat suka menunaikan solat bersamamu." Rasulallah saw bersabda yang bermaksud: "Engkau telah mengetahui solatmu di bilik lebih baik daripada solatmu di kamar. Solatmu di kamar lebih baik daripada solatmu di (ruang yang lebih luas) di rumah. Solatmu d(ruang yang lebih luas) di rumah itu lebih baik daripada solatmu di masjid. Solatmu di masjid lebih baik daripada solatmu di masjid Jamek. Dan besarnya pahala solat seorang wanita di rumahnya, merupakan rahmat Allah baginya dan bagi masyarakat." (HR Ahmad dengan sanad hasan dan Ath-Thabarani)
Besarnya pahala solat di rumah merupakan rahmat Allah swt bagi kaum wanita dan juga kepada masyarakat. Tujuannya untuk menghindarkan fitnah, menjaga kaum wanita dan ia lebih melindungi mereka. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjaga anak-anak di rumah, orang-orang tua serta banyak lagi manfaat lainnya. Maha Suci Allah yang telah menurunkan syariat yang penuh hikmah ini.
Kita akan mendapat keyakinan diri apabila memulakan hari dengan Solat Subuh. Kita akan merasa lebih kuat dan tabah menghadapi ujian kerana kita berada dalam lindungan Raja semua raja yang mencipta segala kehidupan. Semua ini diperolehi hanya dengan 'dua rakaat' yang menguatkan hati dan mengukuhkan iman. Jam-jam pertama di pagi hari(setelah solat Subuh) merupakan waktu yang paling barakah. Di riwayatkan dari Shakhr al-Ghamidi, dia berkata bahawa Rasulallah saw bersabda, "Ya Allah berkatilah umatku di waktu pagi." (HR At-Tairmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)
Ikhlas merupakan tips yang terpenting untuk membantu kita bangun solat Subuh. Tanpa keikhlasan, seseorang tidak akan mampu melaksanakan solat Suboh secara teratur. Tekad yang kuat juga perlu di miliki supaya mereka mempersiapkan diri dengan keinginan yang kuat untuk bangun solat Suboh berjemaah di masjid. Janganlah membiarkan diri kita terpengaruh dengan orang-orang yang meninggalkan Solat Subuh. Banyakkanlah berdoa memohon agar Allah memberi kesempatan kepada kita untuk melaksanakannya dan menjauhkan kita dari ditimpa sifat malas, kurang iman dan lemah. Hendaklah juga bersahabat dengan orang-orang yang soleh yang boleh mendorong diri kita dan cubalah kita sedaya upaya mengelakkan diri dari melakukan sebarang maksiat.
Yakinlah, Allah tentu membantu kita jika kita mempunyai kemahuan yang kuat untuk istiqamah dalam Solat Subuh. Mulakanlah dari keluarga, anak-anak, isteri dan saudara-saudara serta kedua orang tua. Apabila kita merasa berat menunaikan solat Subuh, maka jangan kita harapkan orang-orang yang kita cintai dapat menunaikan latihan yang sukar ini. Seperti yang dinyatakan tadi, walaupun ia ujian yang sukar, namun bukan sesuatu yang mustahil. Seorang mukmin mestilah cuba untuk lulus dalam semua ujian untuk membuktikan kebenaran imannya dan untuk menyelaraskan antara lisan dan hatinya.
Wallahu'alam.