Amalan kerap memakan pegaga boleh menjadikan seseorang itu awet muda dan tubuh badan tidak gemuk. Pada masa lampau ada gerai yang menjual jus pegaga sebagai tonik untuk menyihatkan badan dan mengurangkan panas badan. Dimakan, dibuat jus minuman atau direbus untuk diminum sebagai penawar alahan, antikanser, menghentikan pendarahan dan menyembuhkan luka, melawaskan buang air kecil, meransang peredaran darah, merawat cirit-birit, merawat sakit keronkong, penawar kencing berdarah, penawar batu karang, penawar demam panas, penawar ulser, sebagai minuman tonik dan menurunkan tekanan darah tinggi. (petikan dari artikel saya yang terdahulu iaitu Makan Sayur Setiap Hari - sila klik di sini)
Hari ini tergerak hati saya untuk bercerita lebih lanjut tentang amalan memakan pegaga ini samada di makan sebagai ulam atau dibuat jus minuman. Kedua-dua pendekatan itu memang ternyata berkesan kerana hasilnya masalah sakit-sakit badan maupun keletihan dapat di kurangkan berbanding sebelumnya.
Ceritanya bermula beberapa tahun lalu di mana rumah lama kami telah menerima kunjungan seseorang yang kalau tidak silap agak2 saya berumur dalam linkungan 70-an. Beliau merupakan saudara 'bau-bau bacang' kami. Yang buat saya terpegunnya ialah bila tiapkali pandang wajahnya yang putih bersih berseri-seri dan tampak cantik walaupun dalam usia emas.
Semasa di dapur ketika membasuh pinggan, saya ambil peluang bertanya rahsia awet muda beliau. Alhamdulillah beliau nampaknya dengan senang hati memberitahu saya rahsia yang diamalkannya sejak dari usia muda remaja lagi.
Caranya tidak lain dari menumbuk segenggam pegaga setiap pagi, ditapis patinya lalu dicampur dengan air masak setengah gelas untuk diminum. Hampas pegaga tadi jangan dibuang, lumurkan pula di muka dan biarkan ia selama kita memasak di dapur.
Bagi saya, ini merupakan satu alternatif rawatan penjagaan kesihatan yang baik dan berkesan jika diamalkan setiap hari. Selain untuk rawatan diri sendiri, saya juga cuba memanafaatkan khasiat sayur ini untuk suami dan anak-anak. Tapi budak2 biasa lah, mereka hanya makan sebagai ulam dan tak berapa gemar minum jus nya(mungkin bagi mereka rasanya tidak sesedap jus carrot/belimbing).
Alhamdulillah sehingga sekarang, saya menanam sendiri pegaga di laman dapur. Rasa2nya tanam sendiri lebih baik dari beli pegaga di pasar kerana jika ditanam sendiri, insyaAllah kedapatan bahan-bahan kimia pada ulam/sayur dari sebab baja/racun serangga boleh dielakkan. Saya lebih suka gunakan kaedah orang-orang tua dulu yang menyiram sayur-sayuran dengan air dari basuhan beras atau ikan. Hasilnya sayur kita akan lebih cantik, subur dan selamat untuk dimakan melalui penggunaan baja yang semulajadi.
Selamat mencuba, wassalam.