CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
بسم الله الرحمن الرحيم

Hari Jumaat yang mulia

Hari ini hari Jumaat di mana pagi-pagi lagi tadi saya telah bergegas ke stesen keretapi untuk menjemput anak sulung saya yang pulang bercuti selama 2 minggu dari sesi persekolahannya di Kedah. Ada satu tulisan yang saya baca baru-baru ini yang membuat hati saya tertarik untuk menulisnya di blog ini dan ia khusus ditujukan buat anakku ini.


Anakku Amir...

Ketahuilah...bahawasanya Hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari. Ia mempunyai keutamaan yang istimewa di sisi Allah swt. Padanyalah Allah telah menciptakan Nabi Adam a.s. Padanya juga Hari Kiamat akan jatuh dan ia malah merupakan hari di mana Allah akan mengizinkan ahli syurga untuk mengunjungi syurga. Para Malaikat menamakan Hari Jumaat itu sebagai Hari Penambahan kerana banyaknya pintu-pintu rahmat dibuka pada hari itu. Pada hari itu juga Allah akan melimpahkan kurniaNya dan menabur kebaikanNya.

Pada hari itu pula ada sesaat yang mulia, di mana segala doa akan dikabulkan. Tetapi saat yang mulia itu dirahsiakan. Oleh itu hendaklah melazimkan diri berbuat amalan2 yang soleh pada hari itu. Jadikanlah Hari Jumaat sebagai hari yang banyak diisikan dengan ilmu2 yang bermanafaat jua ibadat2 untuk hari akhirat sahaja. Memadailah menggunakan hari2 yang lain untuk bertungkus-lumus dalam kerja-kerja dunia yang dikira sebagai sia-sia dan tidak menguntungkan jika bukan diniatkan semata-mata kerana Allah swt.

Ketahuilah.. perkara yang sunnat dilakukan pada siang dan malam Jumaat ialah membaca surah Al-Kahfi, kemudian memperbanyakkan selawat ke atas Rasulallah saw. Hendaklah sunat ini dipelihara baik-baik. Dan hendaklah menyegerakan pergi ke masjid awal-awal lagi. Jangan melengah-lengahkan diri untuk pergi menunaikan solat Jumaat kerana solat itu adalah wajib ke atasmu. Di waktu Imam berkhutbah, hendaklah memasang telinga baik-baik untuk mendengar segala yang disampaikan oleh Imam yang berupa tunjuk-ajar dan nasihat. Kemudian hendaklah menurut apa yang dikatakan di dalam khutbah itu. Anggaplah dirimu itu sebagai orang yang ditujukan segala nasihat itu.

Semoga apa yang mama sampaikan dari apa yang mama baca ini (dari karangan Imam Habib Abdullah Haddad) mendapat perhatianmu. Semoga sedikit sebanyak dapat menjadikan diri kita hari ini lebih baik dari semalam..Insyaallah.


Faedah Membaca dan Mentela'ah.


  1. Mengusir perasaan was-was, cemas dan sedih.
  2. Menghindarkan diri agar tidak tenggelam dalam hal-hal yang karut dan sesat.
  3. Menjauhkan kemungkinan kita berhubungan dengan orang-orang yang menganggur dan tidak ada aktiviti.
  4. Melatih lidah untuk bercakap dengan baik, menjauhkan kesilapan dalam ucapan malah dapat menghiasi ucapan kita dengan hikmah.
  5. Mengembangkan akal, mencerahkan fikiran dan membersihkan hati nurani.
  6. Meningkatkan pengetahuan dan mengembangkan daya ingatan serta pemahaman dalam satu-satu perkara.
  7. Dapat mengambil faedah dari pengalaman-pengalaman manusia, hikmah orang-orang yang bijak dan mendapatkan hukum & fatwa dari para ulama'.
  8. Mematangkan kemampuan kita untuk mencari pengetahuan, mempelajarinya lalu menerapkan pengetahuan tersebut dalam gaya kehidupan sehari-hari..
  9. Meningkatkan keimanan khususnya ketika membaca buku-buku tulisan ilmuwan Islam. Buku adalah pemberi nasihat dan pendorong jiwa serta penyuruh kepada kebaikan yang paling bijaksana.
  10. Membantu fikiran agar lebih tenang, membuat hati agar lebih terarah dan mampu memanafaatkan masa agar tidak terbuang dengan sia-sia.
  11. Dapat mengasah pemahaman kita dalam memahami makna sesuatu perkataan dan maksud ungkapan tertentu.

Renungan: "Buku adalah teman sejati yang tidak akan memujimu dengan berlebihan, sahabat yang tidak akan menipumu, dan teman yang tidak membuatmu bosan. Dia adalah teman yang sangat bertimbang-rasa yang tidak akan menghalaumu, dia adalah jiran yang tidak akan menyakitimu dan dia adalah teman yang tidak akan memaksamu mengeluarkan apa yang kamu miliki. Dia tidak akan memperlakukanmu dengan tipu daya, tidak akan menipumu dengan kemunafikan dan jelasnya tidak akan berbohong."

Suka Duka Zainab Puteri Rasulallah saw

Dalam peperangan Badar, Nabi saw sangat gembira kerana tentera Muslimin telah berjaya mencapai kemenangan. Tetapi dalam kegembiraan itu terdapat pula kesulitan yang dihadapi oleh baginda kerana di antara tawanan perang itu terdapat menantu baginda sendiri iaitu Abul Ash. Beliau itu ialah suami kepada puteri baginda yang bernama Zainab.

Zainab adalah seorang wanita yang beriman dan taat dengan perintah Allah dan Rasulnya. Tetapi suaminya Abul Ash tetap musyrik. Waktu itu belum ada larangan bersuamikan orang musyrik. Bila peperangan Badar berlaku, Abul Ash telah ikut serta bertempur menentang kaum Muslimin. Dalam pertempuran itu Abul Ash telah dapat ditawan oleh pihak tentera Muslimin. Dan telah menjadi syarat bahawa setiap tawanan perang hendaklah ditebus oleh anggota keluarganya sendiri.

Hal ini telah disampaikan kepada Zainab yang berada di Mekah. Zainab sangat sayang kepada suaminya dan dia mahu menebus suaminya walaupun dia ditawan oleh kaum Muslimin yang dipimpin oleh ayah kandungnya sendiri. Tetapi dia tidak mempunyai apa-apa harta untuk menebus suaminya yang telah ditawan itu.

Memandangkan keadaan semakin terdesak, Zainab menanggalkan kalung pemberian ibunya Khadijah sewaktu dia berkahwin dengan Abul Ash dahulu. Kemudian dia mengirim kalung itu ke Madinah sebagai penebus suaminya. Setelah kalung itu sampai ke tangan Rasulallah saw, baginda berasa amat terharu melihat kalung itu kerana ia mengingatkan kenangan-kenangan baginda bersama Khadijah. Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan baginda ketika itu.

Peristiwa perang Badar menyebabkan kalung Zainab tersimpan bertahun-tahun lamanya. Dalam pada itu turun pula ayat yang menyeru Zainab dan suaminya harus bercerai walaupun kedua-duanya sayang-menyayangi di antara satu sama lain.
"Wahai orang mukmin, bila datang kepadamu wanita beriman yang ikut hijrah maka ujilah (keimanan) mereka. Allah lebih tahu dengan keimanan mereka. Maka jika kamu tahu mereka beriman maka tidak boleh lagi mereka kembali kepada (suami mereka) orang kafir. Mereka(orang kafir) tidak halal lagi bagi mereka(orang beriman)".

Setelah mendapat wahyu tersebut, Nabi saw segera memberitahu Abu Ash betapapun pahitnya. Abu Ash sedaya upaya tidak mahu berpisah dengan isterinya Zainab, tetapi Nabi saw tidak mahu hukum Allah dipermain-mainkan. Hukum Allah tidak boleh ditawar-tawar, maka baginda saw harus berlaku adil walaupun terhadap anak kandungnya sendiri.

Setelah mendapat berita itu Abu Ash kembali ke Mekah disertai oleh dua orang Ansar, salah seorang daripadanya ialah Zaid bin Harith. Sampai di Mekah, Abu Ash terus memberitahu pesanan Nabi saw kepada Zainab bahawa mereka harus berpisah. Sebagai seorang wanita mukmin yang taat kepada perintah Allah dan Rasulnya dia menerima berita itu dengan hati yang tenang meskipun pahit untuk menerima kenyataan.

Setelah itu, Zainab pun bersiap-siaplah untuk berangkat pulang ke Madinah dan tinggal bersama dengan Rasulallah saw. kepulangan Zainab telah diiringi oleh Zaid dan adik suaminya Kananan bin Rabi di atas permintaan Abul Ash. Dalam perjalanan mereka menuju ke Mekah mereka telah dikejar dan diserang oleh orang Quraisy. Dalam serangan itu Zainab telah dihentak dengan tombak oleh Habar bin Aswad. Zainab telah terjatuh di atas batu sehingga kandungannya gugur.

Alangkah menderitanya Zainab ketika itu di mana badannya terasa sakit-sakit akibat dipukul dengan tombak dan keguguran kandungannya. Kananan cuba hendak membela Zainab tetapi Abu Sufian dari pihak Quraisy membisikkan kepadanya jalan keluar yang baik. Kata Abu Sufian: "Keluar pada waktu siang hari adalah kebencian kepada orang Quraisy kerana ia merupakan satu kehinaaan. Tetapi pergilah pada waktu malam tanpa diketahui orang'. Pada mulanya Kananan tidak mahu menerima nasihat Abu Sufian itu kerana ia mungkin satu muslihat, tetapi apabila melihatkan keadaan Zainab yang sakit maka Kananan pun mencari tempat untuk beristirehat sementara menunggu hari malam.

Apabila malam menjelang, Zainab dan rombongannya pun mula berangkat menuju ke Madinah. (Ada riwayat yang menceritakan mereka kembali semula ke Mekah dan berangkat ke Madinah setelah Zainab dirawat dan kembali sihat). Setelah sekian lama berjalan akhirnya mereka pun sampai ke Madinah dan terus berjumpa dengan Rasulallah saw. Zainab menceritakan peristiwa yang mereka alami ketika dalam perjalanan tadi. Nabi saw berasa amat marah terhadap orang Quraisy yang menyebabkan kejadian itu sehingga kandungan anaknya gugur. Walaupun begitu Nabi berasa amat gembira kerana hukum Allah telah terlaksana dan kini Zainab telah berada di Madinah dalam suasana Islam yang dikelilingi oleh saudara-mara serta ayah kandungnya Nabi saw.

Pada suatu ketika, rombongan Abul Ash telah berdagang melalui kota Madinah. Abul Ash telah masuk ke Madinah pada waktu malam tanpa diketahui oleh Nabi saw kecuali Zainab. Keesokan harinya tersebar berita mengatakan Abul Ash telah masuk ke kota Madinah lalu baginda mengesyaki Zainablah yang memberitahu cara-cara untuk masuk ke kota itu kepada bekas suaminya. Sikap Zainab telah dicela oleh Nabi saw kerana bertindak tanpa berunding terlebih dahulu dengan baginda. Baginda khuatir perbuatan Zainab itu akan menimbulkan desas-desus yang bukan-bukan di dalam masyarakat. "Wahai puteriku, muliakan tempatnya(sambut dengan baik) akan tetapi engkau tidak halal lagi baginya malah dia tidak boleh mendekati engkau", nasihat Nabi saw kepada Zainab.

Tujuan baginda menasihati Zainab adalah untuk menyedarkan bahawa dia tidak lagi halal bagi Abu Ash. Pergaulan mereka harus dibatasi. Nabi saw memperingatkan mereka kerana baginda sedar mereka tempohari berpisah dalam keadaan sayang-menyayang di antara satu sama lain. Malah mereka masih ada hubungan kekeluargaan.

Akhirnya Nabi saw pun memberitahu kepada orang ramai bahawa kedatangan Abul Ash sebenarnya adalah untuk berdagang. Walaubagaimanapun barang dagangannya telah dirampas oleh kaum muslimin kerana beliau masuk secara tidak terhormat. Tetapi demi menghormati Zainab dan Rasulallah saw maka rampasan kafilah itu telah dikembalikan kepada Abul Ash yang ternyata gembira kerana mendapat semula barangan dagangannya.

Sebaik saja kaum muslimin menyerahkan barang itu kepada Abul Ash mereka telah mengajak Abul Ash memeluk agama Islam namun beliau enggan. Beliau kemudiannya kembali semula ke Mekah lalu mengembalikan barang-barang yang dibawanya itu kepada pemilik-pemiliknya.
"Adakah lagi yang masih belum menerimanya?" tanya Abul Ash.
"Tidak ada" jawab mereka.
"Dengarlah baik-baik. Saksikanlah olehmu bahawa tidak ada Tuhan yang aku sembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu adalah Pesuruh Allah", kata Abul Ash kepada orang-orang yang berada di situ. Mereka terpinga-pinga dengan perubahan mendadak Abul Ash.

Setelah menyatakan keislamannya, Abul Ash lantas berangkat menuju ke Madinah bersama keimanannya. Sebaik saja beliau tiba di Madinah, penduduk di situ kehairanan melihat kemunculan beliau yang datang tanpa membawa barang dagangan bersamanya. Dengan tersenyum Abul Ash memberitahu orang ramai di situ bahawa beliau telah memeluk agama Islam. Dan kedatangannya kini adalah untuk beriman kepada Allah dan menemui Rasulallah saw.

Dalam pada itu Rasulallah saw muncul di tengah-tengah orang ramai sambil tersenyum lalu baginda mengucap syukur ke hadrat Allah swt. Akhirnya Nabi saw mengembalikan semula Zainab kepada suaminya dengan pernikahan secara Islam. Inilah salah satu daripada suka duka keluarga Rasulallah saw dalam menghadapi dugaan mematuhi perintah Allah dan Rasulnya.

Wallahualam.



Kisah Sheikh Abdul Kadir Jailani Semasa Kecil


Kisahnya bermula seperti berikut:

" Pada suatu hari saya telah berangkat dari rumah menuju ke kota Baghdad kerana hendak menuntut ilmu. Kota Baghdad itu sangat jauh dari tempat kediaman saya. Disebabkan itulah maka sebelum berangkat ibu saya telah membekalkan saya sedikit wang iaitu sebanyak 40 dinar sebagai perbelanjaan pergi dan balik. Sebelum bertolak, ibu saya telah berpesan agar saya sentiasa bercakap dan berlaku benar dalam segala hal. Apalagi tujuan saya ke Baghdad ialah dengan tujuan yang mulia di sisi agama.

Dalam perjalanan itu saya menumpang sebuah rombongan kafilah kerana perkara itu adalah biasa bagi orang yang hendak berjalan jauh, apatah lagi ketika itu umur saya masih muda. Dalam perjalanan itu kafilah yang saya ikuti terpaksa melalui daerah Hamadan sebelum sampai ke tempat yang dituju. Kebetulan ketika kami sampai di daerah itu tiba-tiba satu kumpulan orang-orang jahat telah menahan kami. Perompak-perompak itu telah menangkap saya dan menjadikan saya orang tawanan mereka.

Semasa saya dibawa pergi, salah seorang daripada perompak itu bertanya: 'Apakah yang kamu bawa bersama-samamu wahai budak?' 'Saya cuma bawa 40 dinar tuan', ujar saya tegas. Sebaik saja mendengar kata-kata saya itu, mereka meninggalkan saya kerana mereka menyangka saya cuba mempermain-mainkan mereka. Selepas itu datang pula seorang perompak yang lain lalu bertanya. 'Apa yang kamu bawa bersama-samamu wahai budak?'

Maka saya pun menjawab dengan jawapan yang serupa seperti yang saya ucapkan kepada kawan-kawannya tadi. Sebaik-baik saja dia mendengar kata-kata saya itu, dia terus membawa saya berjumpa dengan ketua mereka. Kemudian ketua mereka itu bertanya sebagaimana pertanyaan pengikut-pengikutnya tadi. Dengan tegas saya sekali lagi menjawab dengan jawapan itu juga tanpa berubah sedikitpun. Mendengarkan jawapan saya itu ketua perompak menjadi hairan seraya berkata, 'Hai budak, kenapakah engkau begitu berani sekali berkata benar, sedangkan engkau membawa wang'.

Saya lantas menjawab. 'Tuan sejak kecil lagi ibu saya telah mengajar saya supaya selalu bercakap benar. Hingga sebelum berangkat untuk menuntut ilmu ke Baghdad ini pun, ibu saya berpesan supaya saya jangan bercakap bohong. Saya tidak sampai hati hendak mengkhianati nasihat dan pesanan ibu saya. Apalah harganya wang 40 dinar saya ini tuan, bagi seorang yang mahu menuntut ilmu kerana Allah'.

Demi mendengar jawapan saya itu, maka dengan kuasa Allah swt ketua perompak itu lantas menangis tersedu-sedu di hadapan saya sambil berkata, 'Alangkah mulianya budi pekerti mu hai budak, dan alangkah beruntungnya ibu yang melahirkan engkau. Sedangkan masih kecil begini engkau sudah takut berbuat dosa, tetapi aku pula tanpa segan silu berbuat jahat dan mengkhianati janji dan amanah Allah. Demi Allah swt, mulai hari ini aku bersumpah akan bertaubat dan kembali ke jalan yang suci dan benar.'

Kemudian ketua perompak itupun memerintahkan orang-orangnya supaya memulangkan harta rampasan kafilah saya. Setelah itu kami pun meneruskan perjalanan ke kota Baghdad. Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana bukan saja saya terlindung dari segala musibah bahkan sekelian perompak itu telah bertaubat pula berkat dari sikap saya yang bercakap benar itu."


(Nama Sheikh Abdul Kadir Jailani ra memang sudah terkenal di kalangan umat Islam sehingga hari ini. Beliau adalah seorang alim dan wali yang termasyhur. Sebagai seorang yang soleh dan warak beliau telah meninggalkan suatu kisah hidup mengenai dirinya yang elok dijadikan tauladan dalam hidup kita di hari ini. Kisah ini diceritakan sendiri oleh Sheikh Abdul Kadir Jailani yang telah diriwayatkan oleh Luqman Haqim). Wallahualam.

Mutiara Hikmah

Orang yang berilmu itu selalu menang dalam pergaulan kerana dia membiasakan:

  • caci disambut dengan senyuman
  • penghinaan ditangkis dengan lemah lembut
  • kemarahan dibalas dengan diam
  • kejahatan dibalas dengan kebaikan


Salah satu hal yang mesti kita pohon dari Allah ialah:

  • dijauhkan dari perasaan sudah cukup sempurna sebab pada saat seseorang telah merasa sempurna, di situlah sebenarnya kekurangannya.


Bicara yang baik adalah bicara yang tidak disertai rasa tinggi diri.


Berbudi Pada Tanah


Hari ini pagi2 lagi saya dah siap berada di laman rumah untuk memetik sayur-sayuran yang En Harun order. Sebenarnya saya ada supply sayuran berupa ulam pegaga, daun kesum dan juga serai untuk jualan di kedai En Harun, iaitu seorang pengusaha kedai basah. Boleh dikatakan hampir setiap 2 minggu sekali saya dapat hantar dalam lebih kurang 2kg pegaga, seikat daun kesum dan 100 batang serai (serai projek suami saya) ke kedai beliau. Semalam actually dah supply macam biasa tapi hari ini tiba-tiba sahaja ada additional demand dari beliau iaitu daun cekur manis, daun limau purut, daun kunyit dan bunga kantan.

Ulam pegaga telah mula saya tanam secara agresif sejak 3/4 tahun lepas di laman sebelah tepi rumah kami yang mengadap bahagian dapur. Disebabkan kedudukannya berdekatan dengan dapur, maka dapatlah selalu saya menyiram taman pegaga dengan air basuhan beras atau basuhan ikan. Hasilnya daun-daun pegaga ini tumbuh dengan begitu subur sekali. Kesuburannya jelas dapat dilihat dari struktur warnanya yang begitu menghijau dan saiz daunnya yang lebar. Begitu juga dengan tanaman daun kesum, cekur manis, pohon limau purut serta lemon yang ditanam berhampiran, turut mendapat bahagian daripada simbahan baja-baja semulajadi(air) tadi.

Syukurlah, saya dan suami sama-sama enjoy berkongsi minat dalam melakukan aktiviti berkebun ini. Setiap hari minggu biasanya suami menghabiskan masa dengan berkebun selepas kami selesai berjoging mengelilingi taman perumahan ini. Suami saya bertanam serai di halaman rumah kosong di hadapan rumah kami yang kebetulan masih belum didiami. Setakat ini tinggal lebih-kurang 20 rumpun serai lagi yang masih belum dituai dan hanya menunggu masa untuk dijual. Suami juga turut menanam terung bulat, cili, bendir dan kacang botol di halaman rumah tersebut. Manakala saya pula dapatlah fokus kepada sayur-sayuran yang ditanam sekitar dalam kawasan rumah kami sahaja.

Sedikit masa lagi InsyaAllah rasanya kami dapat hantar beberapa sayuran lain termasuk daun pandan, daun gajus, lengkuas, limau kasturi, lemon dan limau purut. Sekarang ini 5 rumpun daun pandan sedang saya tunggu lebar sedikit daunnya sebelum dapat dihantar ke kedai En Harun. Begitu juga dengan pohon lengkuas yang sekarang sudah agak matang dan sedia untuk diambil isinya. Dan yang paling excited ditunggu oleh beliau ialah sejenis ulam yang memang menyelerakan untuk dimakan bersama sambal belacan iaitu ulam daun gajus. Pohon limau kasturi pula sudah mula lebat berbuah manakala pohon limau nipis, limau purut dan lemon sekarang sedang dalam proses berbunga. Usaha berbudi pada tanah ini memang memberi banyak faedah kepada kami sekeluarga. Saya rasa happy sekali dapat produce berbagai jenis ulam-ulaman bukan saja dapat makan sendiri malah dapat pula dihulurkan kepada jiran maupun kawan-kawan yang datang berkunjung ke rumah. Lebih membanggakan lagi, kami memperolehi pendapatan sampingan pula hasil dari jualan sayur-sayuran yang ditanam itu. Sehingga kini hasil jualan tersebut saya simpan dalam sebuah tabung khas supaya dapat melihat jumlah yang terkumpul akhirnya satu hari nanti. Semoga usaha ini berterusan dan mendapat keberkatan dari Allah swt. Alhamdulillah syukur....

Istiqamah Beramal

Tahun berlalu silih berganti. Keperluan menuntut ilmu mesti terus dilaksanakan sebelum sampai masanya kita tidak larat lagi memenuhi tuntutan ini. Selalu terngiang-ngiang peringatan tentang perlunya memanafaatkan setiap masa yang ada supaya tidak rugi di kemudian hari. Teringat kata2: "Gunakanlah masa mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa lapangmu sebelum sibukmu, masa kaya sebelum miskinmu dan masa hidup sebelum matimu."

Bermula dari hubungan kita dengan Allah, membawa kepada hubungan kita sesama manusia. Mari kita cuba untuk konsisten:

  1. Solat di awal waktu.
  2. Sentiasa berada di dalam wudhuk.
  3. Melatih diri berselawat keatas nabi saw/berzikrullah/membaca surah2 lazim yang pendek di kala memandu ke mana-mana, takkala memasak di dapur atau sedang melakukan gardening di luar rumah.
  4. Solat Dhuha sekurang-kurangnya 2 rakaat kemudian membaca ayat Seribu Dinar dan surah al-Waqiah selepasnya.
  5. Berusaha mengaji al-quran setiap hari sekurang-kurangnya 2 m/s setiapkali selepas Solat Zohor dan Asar. Jika lapang selepas Maghrib dapatlah sambung ngaji sementara menunggu masuknya Isyak. Alhamdulillah, penggunaan Musyaf Tajwid beserta terjemahan(terbitan Darul Fikir) begitu membantu, dapat semak terjemahan ayat2 yang dibaca serta cuba memahami maksudnya.
  6. Sujud syukur setiap kali selepas solat fardhu/sunat.
  7. Membaca surah al-Mulk selepas solat Isyak.
  8. Membaca 4 Qul & ayat Kudsi sebelum tidur.
  9. Kuatkan hati untuk dapat bangun malam - solat tahajjud dan witir.
  10. Berusaha mempelajari Hadis Rasulallah saw dan cuba mengamalkannya. Boleh gunakan kitab Riyadhus Shalihin(Taman Orang-orang Soleh) oleh Imam Nawawi(terbitan Pustaka Nasional) untuk belajar memahami, merenungkan dan cuba mengamalkan yang termampu hadis2 Nabi saw. Berazam untuk khatam kedua-dua jilid Riyadhus Shalihin selagi hayat masih ada dengan memohon pertolongan Allah swt dalam memberi kefahaman ilmu mengenainya.
  11. Meluangkan masa membaca Sirah Nabi saw untuk lebih mengenal dan mencintai Rasulallah saw. Buku-buku yang menceritakan perihal sirah Rasulallah saw yang menjadi rujukan ialah Ensiklopedia Sirah oleh Afzalur Rahman (DBP), Sirah Nabawiyyah oleh Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri(YADIM), Sirah Nabawiyyah oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat(Nufair Street) dan Rumahtangga Nabi Muhammad saw oleh HMH Al Hamid Al Husaini(Pustaka Nasional).
  12. Meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam setiap hari mendengar kuliah/tazkirah dari mana2 majlis ilmu melalui internet yang disampaikan oleh Tuan Guru Nik Aziz, Ustaz Ismail Kamus, Ustaz Hj Zahazan, Dr Asri(Mufti Perlis), Ustaz Shamsuri dan Ustaz Khairuddin Aman Razali dll.
  13. Membiasakan telinga mendengar bacaan ayat-ayat suci al-quran takkala sedang melakukan kerja2 rumah /memasak di dapur. Suka bacaan yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Jibril yang bacaannya tidak begitu laju dan senang diikuti(terutama bagi surah-surah dalam Juz Amma).
  14. Meluangkan masa untuk ikut hadir di majlis ilmu.
  15. Memperbanyakkan bersedekah.
  16. Menyebarkan salam.

Semoga dikurniakan Allah kelapangan masa, akal yang sihat serta kesihatan yang baik agar dapat cuba melakukan garis amal tersebut(motivasi khusus buat diri sendiri) secara berterusan. Jangan putus harap pada Allah. Jika sering tak terjaga untuk bangun tahajjud, jangan putus asa. Terus cuba dan cuba lagi sambil memohon pertolongan Allah untuk beri kekuatan pada kita dalam melaksanakannya. Moga dimudahkan urusan....aminn


Belajar Menguasai Lisan


Abu Hatim Muhammad Ibn Hibban Al-Busti rahimahullah berkata:
“Wajib atas orang berakal untuk bersikap adil terhadap kedua telinganya daripada mulutnya. Hendaklah dia mengetahui bahwa sesungguhnya dijadikan untuknya 2 telinga dan 1 mulut adalah supaya dia lebih banyak mendengar daripada berbicara. Kerana apabila dia berbicara boleh membuatkan dia menyesal terhadap apa yang telah dikatakannya dan apabila tidak berbicara dia tidak menyesal apa-apa.

Lebih mudah baginya menarik kembali apa yang belum diucapkan(hanya bermain di fikiran) daripada menarik kembali apa yang telah diucapkan. Kata-kata yang telah diucapkan tidak dapat dikuasai lagi oleh orang yang telah mengucapkannya sedangkan yang belum diucapkan, maka dia lah yang menguasainya.

Sungguh menghairankan orang yang mengucapkan kata-kata yang hanya akan mengundang bahaya kepadanya, padahal jika tidak diucapkannya tidak akan membahayakannya. Mengapa tidak diam saja? Sudah berapa banyak ucapan yang menyebabkan telah tercabutnya nikmat!”.

Bicara
Berbicaralah
seadanya dengan berhikmah
berkatalah
mengikut pertimbangan akal

semua bicara
ada maksudnya
semua kata-kata
ada tafsirannya

bukan semua bicara
boleh dilontar keluar
bukan semua ungkapan
boleh diungkap melulu

kerana kadang-kala
bicara boleh disalah tafsir
kerana kadang-kala
ungkapan boleh melukakan

sehingga akan ada nanti hati yang gundah
sampai akan ada nanti jiwa yang terasa sempit

penyudahnya..
air yang jernih bertukar keruh
wajah yang ceria menjadi kelat
hari yang cerah berganti kelam
bahagia langsung bertukar nestapa


buat renungan...

Nasihat Rasulallah saw kepada Abu Zhar ra.
Baginda Rasulallah saw bersabda:

" Wahai Abu Zhar, aku nasihatkanmu,

  • kamu hendaklah bertaqwa kepada Allah kerana ianya sumber segala amalan.
  • utamakanlah bacaan al-quran dan zikrullah kerana dengan itu nama kamu akan disebut di langit dan menyebabkan nur(cahaya) di permukaan bumi.
  • berbicaralah yang baik-baik atau senyap nescaya syaitan akan terhindar darimu dan kamu akan ditolong dalam urusan-urusan agamamu.
  • janganlah sekali-kali banyak ketawa kerana dengan itu hatimu akan mati dan cahaya dari wajahmu akan terlenyap.
  • utamakanlah jihad kerana itulah kebanggaan umatku.
  • hendaklah mengasihani orang-orang miskin dan bergaul dengan mereka.
  • dan perhatikanlah keadaan mereka yang lebih rendah daripada keadaanmu.
  • janganlah sekali-kali memperhatikan keadaan mereka yang lebih tinggi daripada keaadaanmu kerana dengan ini kamu tidak dapat mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang di anugerahkan kepada kamu.
  • hendaklah mengukuhkan silaturrahim dengan kaum kerabatmu walaupun mereka memutuskan perhubungan mereka denganmu.
  • hendaklah berbicara yang benar walaupun dirasai pahit.
  • janganlah sekali-kali menghiraukan para pencela mengenai urusan-urusan agama Allah.
  • carilah keaiban dirimu sendiri, janganlah sekali-kali menghebohkan keaiban orang lain.
  • janganlah sekali-kali memurkai seseorang kerana keburukannya akan terlihat di dalam dirimu sendiri

Wahai Abu Zhar..

  • tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya
  • sebaik-baik taqwa ialah menjauhi segala larangan
  • dan tidak ada kemuliaan yang setimpal dengan akhlak yang sempurna."

Wallahu'alam