CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
بسم الله الرحمن الرحيم

Suka Duka Zainab Puteri Rasulallah saw

Dalam peperangan Badar, Nabi saw sangat gembira kerana tentera Muslimin telah berjaya mencapai kemenangan. Tetapi dalam kegembiraan itu terdapat pula kesulitan yang dihadapi oleh baginda kerana di antara tawanan perang itu terdapat menantu baginda sendiri iaitu Abul Ash. Beliau itu ialah suami kepada puteri baginda yang bernama Zainab.

Zainab adalah seorang wanita yang beriman dan taat dengan perintah Allah dan Rasulnya. Tetapi suaminya Abul Ash tetap musyrik. Waktu itu belum ada larangan bersuamikan orang musyrik. Bila peperangan Badar berlaku, Abul Ash telah ikut serta bertempur menentang kaum Muslimin. Dalam pertempuran itu Abul Ash telah dapat ditawan oleh pihak tentera Muslimin. Dan telah menjadi syarat bahawa setiap tawanan perang hendaklah ditebus oleh anggota keluarganya sendiri.

Hal ini telah disampaikan kepada Zainab yang berada di Mekah. Zainab sangat sayang kepada suaminya dan dia mahu menebus suaminya walaupun dia ditawan oleh kaum Muslimin yang dipimpin oleh ayah kandungnya sendiri. Tetapi dia tidak mempunyai apa-apa harta untuk menebus suaminya yang telah ditawan itu.

Memandangkan keadaan semakin terdesak, Zainab menanggalkan kalung pemberian ibunya Khadijah sewaktu dia berkahwin dengan Abul Ash dahulu. Kemudian dia mengirim kalung itu ke Madinah sebagai penebus suaminya. Setelah kalung itu sampai ke tangan Rasulallah saw, baginda berasa amat terharu melihat kalung itu kerana ia mengingatkan kenangan-kenangan baginda bersama Khadijah. Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan baginda ketika itu.

Peristiwa perang Badar menyebabkan kalung Zainab tersimpan bertahun-tahun lamanya. Dalam pada itu turun pula ayat yang menyeru Zainab dan suaminya harus bercerai walaupun kedua-duanya sayang-menyayangi di antara satu sama lain.
"Wahai orang mukmin, bila datang kepadamu wanita beriman yang ikut hijrah maka ujilah (keimanan) mereka. Allah lebih tahu dengan keimanan mereka. Maka jika kamu tahu mereka beriman maka tidak boleh lagi mereka kembali kepada (suami mereka) orang kafir. Mereka(orang kafir) tidak halal lagi bagi mereka(orang beriman)".

Setelah mendapat wahyu tersebut, Nabi saw segera memberitahu Abu Ash betapapun pahitnya. Abu Ash sedaya upaya tidak mahu berpisah dengan isterinya Zainab, tetapi Nabi saw tidak mahu hukum Allah dipermain-mainkan. Hukum Allah tidak boleh ditawar-tawar, maka baginda saw harus berlaku adil walaupun terhadap anak kandungnya sendiri.

Setelah mendapat berita itu Abu Ash kembali ke Mekah disertai oleh dua orang Ansar, salah seorang daripadanya ialah Zaid bin Harith. Sampai di Mekah, Abu Ash terus memberitahu pesanan Nabi saw kepada Zainab bahawa mereka harus berpisah. Sebagai seorang wanita mukmin yang taat kepada perintah Allah dan Rasulnya dia menerima berita itu dengan hati yang tenang meskipun pahit untuk menerima kenyataan.

Setelah itu, Zainab pun bersiap-siaplah untuk berangkat pulang ke Madinah dan tinggal bersama dengan Rasulallah saw. kepulangan Zainab telah diiringi oleh Zaid dan adik suaminya Kananan bin Rabi di atas permintaan Abul Ash. Dalam perjalanan mereka menuju ke Mekah mereka telah dikejar dan diserang oleh orang Quraisy. Dalam serangan itu Zainab telah dihentak dengan tombak oleh Habar bin Aswad. Zainab telah terjatuh di atas batu sehingga kandungannya gugur.

Alangkah menderitanya Zainab ketika itu di mana badannya terasa sakit-sakit akibat dipukul dengan tombak dan keguguran kandungannya. Kananan cuba hendak membela Zainab tetapi Abu Sufian dari pihak Quraisy membisikkan kepadanya jalan keluar yang baik. Kata Abu Sufian: "Keluar pada waktu siang hari adalah kebencian kepada orang Quraisy kerana ia merupakan satu kehinaaan. Tetapi pergilah pada waktu malam tanpa diketahui orang'. Pada mulanya Kananan tidak mahu menerima nasihat Abu Sufian itu kerana ia mungkin satu muslihat, tetapi apabila melihatkan keadaan Zainab yang sakit maka Kananan pun mencari tempat untuk beristirehat sementara menunggu hari malam.

Apabila malam menjelang, Zainab dan rombongannya pun mula berangkat menuju ke Madinah. (Ada riwayat yang menceritakan mereka kembali semula ke Mekah dan berangkat ke Madinah setelah Zainab dirawat dan kembali sihat). Setelah sekian lama berjalan akhirnya mereka pun sampai ke Madinah dan terus berjumpa dengan Rasulallah saw. Zainab menceritakan peristiwa yang mereka alami ketika dalam perjalanan tadi. Nabi saw berasa amat marah terhadap orang Quraisy yang menyebabkan kejadian itu sehingga kandungan anaknya gugur. Walaupun begitu Nabi berasa amat gembira kerana hukum Allah telah terlaksana dan kini Zainab telah berada di Madinah dalam suasana Islam yang dikelilingi oleh saudara-mara serta ayah kandungnya Nabi saw.

Pada suatu ketika, rombongan Abul Ash telah berdagang melalui kota Madinah. Abul Ash telah masuk ke Madinah pada waktu malam tanpa diketahui oleh Nabi saw kecuali Zainab. Keesokan harinya tersebar berita mengatakan Abul Ash telah masuk ke kota Madinah lalu baginda mengesyaki Zainablah yang memberitahu cara-cara untuk masuk ke kota itu kepada bekas suaminya. Sikap Zainab telah dicela oleh Nabi saw kerana bertindak tanpa berunding terlebih dahulu dengan baginda. Baginda khuatir perbuatan Zainab itu akan menimbulkan desas-desus yang bukan-bukan di dalam masyarakat. "Wahai puteriku, muliakan tempatnya(sambut dengan baik) akan tetapi engkau tidak halal lagi baginya malah dia tidak boleh mendekati engkau", nasihat Nabi saw kepada Zainab.

Tujuan baginda menasihati Zainab adalah untuk menyedarkan bahawa dia tidak lagi halal bagi Abu Ash. Pergaulan mereka harus dibatasi. Nabi saw memperingatkan mereka kerana baginda sedar mereka tempohari berpisah dalam keadaan sayang-menyayang di antara satu sama lain. Malah mereka masih ada hubungan kekeluargaan.

Akhirnya Nabi saw pun memberitahu kepada orang ramai bahawa kedatangan Abul Ash sebenarnya adalah untuk berdagang. Walaubagaimanapun barang dagangannya telah dirampas oleh kaum muslimin kerana beliau masuk secara tidak terhormat. Tetapi demi menghormati Zainab dan Rasulallah saw maka rampasan kafilah itu telah dikembalikan kepada Abul Ash yang ternyata gembira kerana mendapat semula barangan dagangannya.

Sebaik saja kaum muslimin menyerahkan barang itu kepada Abul Ash mereka telah mengajak Abul Ash memeluk agama Islam namun beliau enggan. Beliau kemudiannya kembali semula ke Mekah lalu mengembalikan barang-barang yang dibawanya itu kepada pemilik-pemiliknya.
"Adakah lagi yang masih belum menerimanya?" tanya Abul Ash.
"Tidak ada" jawab mereka.
"Dengarlah baik-baik. Saksikanlah olehmu bahawa tidak ada Tuhan yang aku sembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu adalah Pesuruh Allah", kata Abul Ash kepada orang-orang yang berada di situ. Mereka terpinga-pinga dengan perubahan mendadak Abul Ash.

Setelah menyatakan keislamannya, Abul Ash lantas berangkat menuju ke Madinah bersama keimanannya. Sebaik saja beliau tiba di Madinah, penduduk di situ kehairanan melihat kemunculan beliau yang datang tanpa membawa barang dagangan bersamanya. Dengan tersenyum Abul Ash memberitahu orang ramai di situ bahawa beliau telah memeluk agama Islam. Dan kedatangannya kini adalah untuk beriman kepada Allah dan menemui Rasulallah saw.

Dalam pada itu Rasulallah saw muncul di tengah-tengah orang ramai sambil tersenyum lalu baginda mengucap syukur ke hadrat Allah swt. Akhirnya Nabi saw mengembalikan semula Zainab kepada suaminya dengan pernikahan secara Islam. Inilah salah satu daripada suka duka keluarga Rasulallah saw dalam menghadapi dugaan mematuhi perintah Allah dan Rasulnya.

Wallahualam.