CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
بسم الله الرحمن الرحيم

Hari Jumaat yang mulia

Hari ini hari Jumaat di mana pagi-pagi lagi tadi saya telah bergegas ke stesen keretapi untuk menjemput anak sulung saya yang pulang bercuti selama 2 minggu dari sesi persekolahannya di Kedah. Ada satu tulisan yang saya baca baru-baru ini yang membuat hati saya tertarik untuk menulisnya di blog ini dan ia khusus ditujukan buat anakku ini.


Anakku Amir...

Ketahuilah...bahawasanya Hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari. Ia mempunyai keutamaan yang istimewa di sisi Allah swt. Padanyalah Allah telah menciptakan Nabi Adam a.s. Padanya juga Hari Kiamat akan jatuh dan ia malah merupakan hari di mana Allah akan mengizinkan ahli syurga untuk mengunjungi syurga. Para Malaikat menamakan Hari Jumaat itu sebagai Hari Penambahan kerana banyaknya pintu-pintu rahmat dibuka pada hari itu. Pada hari itu juga Allah akan melimpahkan kurniaNya dan menabur kebaikanNya.

Pada hari itu pula ada sesaat yang mulia, di mana segala doa akan dikabulkan. Tetapi saat yang mulia itu dirahsiakan. Oleh itu hendaklah melazimkan diri berbuat amalan2 yang soleh pada hari itu. Jadikanlah Hari Jumaat sebagai hari yang banyak diisikan dengan ilmu2 yang bermanafaat jua ibadat2 untuk hari akhirat sahaja. Memadailah menggunakan hari2 yang lain untuk bertungkus-lumus dalam kerja-kerja dunia yang dikira sebagai sia-sia dan tidak menguntungkan jika bukan diniatkan semata-mata kerana Allah swt.

Ketahuilah.. perkara yang sunnat dilakukan pada siang dan malam Jumaat ialah membaca surah Al-Kahfi, kemudian memperbanyakkan selawat ke atas Rasulallah saw. Hendaklah sunat ini dipelihara baik-baik. Dan hendaklah menyegerakan pergi ke masjid awal-awal lagi. Jangan melengah-lengahkan diri untuk pergi menunaikan solat Jumaat kerana solat itu adalah wajib ke atasmu. Di waktu Imam berkhutbah, hendaklah memasang telinga baik-baik untuk mendengar segala yang disampaikan oleh Imam yang berupa tunjuk-ajar dan nasihat. Kemudian hendaklah menurut apa yang dikatakan di dalam khutbah itu. Anggaplah dirimu itu sebagai orang yang ditujukan segala nasihat itu.

Semoga apa yang mama sampaikan dari apa yang mama baca ini (dari karangan Imam Habib Abdullah Haddad) mendapat perhatianmu. Semoga sedikit sebanyak dapat menjadikan diri kita hari ini lebih baik dari semalam..Insyaallah.