CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
بسم الله الرحمن الرحيم

Solat Malam

Dari Jabir r.a katanya:
"Saya mendengar Rasulallah saw bersabda: "Sesungguhnya pada setiap malam ada suatu saat yang mana tiada seseorang hamba Muslim berada di saat itu, lalu ia memohon sesuatu yang baik dari urusan dunia dan akhirat, melainkan akan ditunaikan Allah permohonannya.'' (HR Muslim)

Perkara itu tetap pada setiap malam. Andaikata tiada Hadis lain yang menyebut tentang kelebihan bangun malam dan beribadat di waktu malam kecuali Hadis ini saja, nescaya telah memadai.

Namun, dari sehari ke sehari azam saya untuk kembali bangun malam belum terlaksana lagi di bulan Ramadhan ini. Azamnya ada, keinginannya kuat cuma kekuatan untuk merealisasikannya saja belum cukup.

Bermulanya sesuatu ibadah itu adalah dengan niat. Maka nawaitunya ialah untuk bangun dan mendirikan solat malam. InsyaAllah tidak malam ini, malam esok. Niat itu tetap ada. Dah ada niat yang baik itu pun dah kira dapat satu kebajikan. Jadi kiranya terlaksana hasrat dalam menzahirkan niat itu maka akan berganda lah lagi ganjaran pahala dari Allah swt, InsyaAllah.


Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud:
"Tuhan kita turun ke langit dunia, ketika tinggal 1/3 yang akhir dari waktu malam, lalu menyeru:
  • Adakah siapa yang mahu memohon supaya Aku mengabulkannya?
  • Adakah siapa yang mahu meminta supaya Aku memberi kepadanya?
  • Adakah siapa yang mahu meminta keampunan supaya Aku mengampuninya?"

Mari kita renungkanlah hadis ini mudah-mudahan akan terbuka hati kita untuk bangun beribadat di tengah malam. Semoga akan hilang perasaan malas dan lalai, dan akan hilang daripadanya keinginan suka banyak tidur yang menyebabkan hilangnya keberkatan umur dan habisnya masa dengan sia-sia.

Apakata malam ini kita kunci jam pukul 4:30 pagi menggantikan kebiasaan pukul 4:45 pagi dan kita dirikan Solat Tahajjud 2 rakaat sekurang-kurangnya sebagai permulaan sebelum masuk dapur dan bersiap-siap untuk sahur.
Teringat kata2 suami saya tentang pesan seorang ustaz satu ketika;
"Jangan bertangguh nak buat kebaikan."


Ayuh kawan, jom kita mulakan...


FZ Homemade Cookies up-date

Alhamdulillah syukur... berjaya siapkan 157 balang FZ Homemade Cookies setakat ini 10hb Sept 2008.

Dalam masa yang sama sempat sediakan beberapa balang kecil cookies sebagai compliment buat customer yang order melebihi kadar biasa.

Penat memang lah penat tapi misi tempahan tahun ini mesti disiapkan. Semoga Allah kurniakan daya dan kekuatan untuk terus menyempurnakannya. Hati merasa berbunga dengan bantuan dan sokongan padu papa, kakak dan shilah. Semua tolong mama.... Abang pula insyaAllah akan balik 23hb ini dan dah janji akan full time assist mama... terima kasih.... moga usaha bermusim ini mendapat keberkatan dari Allah swt... Amiin

Hari Keluarga

Dah dua tiga kali remind anak2 untuk buat posting pasal hari keluarga syarikat papa diaorang yang berlansung di Desa Water Park sebelum bermula puasa hari tu. Tapi tunggu punya tunggu takde seorang pun yang rajin merakam peristiwa tersebut dalam blog masing-masing.

Jadi hari ni saya tulis lah sedikit detik2 manis kami sekeluarga(tanpa kehadiran anak yang sulong, Amir yang tak dapat balik pada cuti kali ini) meraikan hari tersebut bersama hampir 500 keluarga yang hadir, supaya kenangan hari itu tidak hanya tinggal dalam kotak fikiran saja.

Kami bertolak agak lewat dari rumah lebih kurang jam 8 pagi dan alhamdulillah sampai on time dalam pukul 8.36 pagi di Desa Waterpark di mana waktu itu program belum bermula. Setelah mendaftar dan mengambil door gift masing2, kami di hidangkan dengan sarapan pagi berupa nasi lemak dan teh tarik sebagai permulaan sesi.

happy

Selesai taklimat perasmian oleh MD syarikat, program bermula dengan acara sukaneka untuk anak-anak peringkat primary. So, anak-anak saya jadi tukang tengok je lah, sebab banyak acara tu hanya untuk budak-budak kecik saja. Acara demi acara berlalu, maka mulalah anak2 saya merungut sebab hanya asyik melihat dan bertepuk tangan je. Shilah lantas mengajak kakaknya untuk mulakan program bebas mereka.... hehehe... Jadi setelah mendapat green light dari papa, mereka terus menyewa pelampung untuk 2 orang(bayaran sewanya rm7 beserta deposit rm5) dan apalagi... terus jump into the pool.

detik keluar dari gelunsur air

Bila dah anak2 semua dalam air, kami suami-isteri pun tumpang sekaki memeriahkan suasana. Ramai yang dah lencun sebelum kami walhal acara bebas sepatutnya bermula selepas makan tengahari. So semua terlepas le hari tu... hehe...

Kami turut ke pool air berombak yang bolehlah dibayangkan ala2 beach gitu... Wajah masing-masih dah jadi kemerah-merahan dek pancaran matahari di waktu itu yang mencecah jam 12 tengahari.

Shilah dan papanya semasa merentasi titian pelampung

Suami sempat mengambil bahagian dalam acara lelaki dewasa iaitu acara berlumba berkumpulan dalam air dan mendapat tempat ke 4. Dapat le juga hadiah saguhati sebagai kenangan...jadi lah..

Suka memang lah suka sepanjang berlansungnya hari keluarga tersebut, namun ada juga bab dukanya di mana kami telah tercicir wang semasa dalam sibuk-sibuk berkemas untuk pulang. Walaupun jumlahnya tidaklah banyak hanya rm20 sahaja namun mungkin itu sebagai isyarat supaya kami tidak terlalu leka di lain kali sebagaimana yang di lalui hari itu. Setiap kejadian ada hikmahnya yang menuntut kita berfikir dan mengambil iktibar dan pengajaran dari setiap apa yang berlaku.

Begitulah serba sedikit coretan kenangan kami yang berpeluang bersantai bersama warga syarikat. Di samping dapat berkenalan dan mengeratkan ukhuwah sesama kakitangan, dalam masa yang sama dapat juga memberi ruang buat anak-anak berehat seketika dari tekanan pelajaran masing-masing. Wassalam.


Surah Dan Ayat-ayat yang Utama

Di antara yang dituntut dan dianjurkan ialah membaca surah-surah dan ayat-ayat yang disebut oleh beberapa Hadis Nabi saw tentang keutamaannya, dan dikhususkan ganjaran yang besar terhadap orang yang melazimkan diri untuk membacanya pada setengah-setengah waktu.

Di antaranya:

  • Surah Al-Kahfi

Membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat dan malamnya. Tersebut di dalam sebuah Hadis: "Siapa yang membacanya (surah Al-Kahfi), niscaya diampunkan dosanya hingga ke hari Jumaat yang hadapan dan dipancarkan cahaya dari tumitnya menjulang ke atas langit."

  • Surah Al-Baqarah

Di dalam suatu riwayat dikatakan: "Rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah, tidak diduduki syaitan sampai 3 hari."

  • Surah Yasin

Bersabda Rasulallah saw: "Yasin itu hatinya Al-Quran, tiada seseorang yang membacanya dengan niat menujukan dirinya kepada Allah dan Hari Akhirat, melainkan diampunkan Allah dosanya."

Di dalam riwayat yang lain, Rasullallah saw bersabda: " Siapa yang membacanya(Yasin) sama seperti membaca Al-Quran sebanyak 10 kali."

  • Surah A-Mulk

Bersabda Rasulallah saw: " Ia adalah surah yang mengandungi berbagai manfaat dan menyelamatkan manusia dari azab kubur."

Riwayat yang lain lagi: Bahawasanya surah Tabarak(Al-Mulk) itu tersemat di hati setiap Mu'min dan bahawasanya ia pernah memohon syafaat kepada seorang lalu diampunkan dosanya. Diberitakan daripada Jabir r.a berbunyi: Bahawa Rasulallah saw tidak akan tidur melainkan setelah membaca surah Alif-Lam Mim Tanzilul-Kitab (As-Sajdah) dan surah Tabarak(Al-Mulk) pada setiap malam.

  • Surah Ad-Dukhan

Bersabda Rasullallah saw: "Siapa yang membaca surah Ad-Dukhan pada malam hari, niscaya ia diampunkan Tuhan pada waktu paginya."

  • Surah Al-Waqiah

Rasulallah saw bersabda: "Barangsiapa membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam tidak akan ditimpa kepapaan.

  • Surah Idza Zulzilatil Ardhu (Az-Zilzal)

Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi saw telah berkata: "Barangsiapa membaca pada malam hari surah Idza Zulzilatil-Ardhu)Az-Zilzal), maka akan diberikan pahala baginya seperti membaca setengah Al-Quran."

  • Surah Alhaakumut-Takathur

Baginda bersabda: "Siapa yang membacanya, sama seperti membaca 1000 ayat."

  • Surah Qul Huwallahu Ahad (Al-Ikhlash)

Baginda bersabda: "Sesungguhnya surah ini menyamai sepertiga Al-Quran dan siapa yang membacanya 10 kali, dibina baginya suatu istana di dalam Syurga."

Adalah dianjurkan supaya kita membaca surah Al-Ikhlash ini sebanyak 10 kali, sesudah habis tiap-tiap sembahyang. Begitu pula pada setiap pagi dan petang dan ketika hendak tidur.

  • Surah Al-Fatihah

Nabi saw bersabda pula:"Sesungguhnya ia adalah surah yang amat utama di dalam Al-Quran. Ia dikenal sebagai Sab'ul-matsani(tujuh ayat yang mengandungi rahsia utama) dan ia juga dikenal sebagai Al-Quran yang Maha Agung".

  • Ayat Kursi

Ia adalah penghulu segala ayat-ayat al-Quran dan sesiapa yang membacanya sesudah setiap sembahyang fardhu, tidak akan terhalang antaranya dengan masuk Syurga kecuali mati saja. Dan sesiapa yang membacanya sebelum tidur tidak akan diganggu oleh syaitan hingga ia bangun pagi.

  • penutup Surah Al-Baqarah

Ada sebuah riwayat yang menyebut: "Bahawa sesiapa yang membaca 2 ayat terakhir dari surah al-Baqarah pada setiap malam niscaya ia akan dicukupiNya."

Berkata nabi saw: "Ajarkanlah kedua ayat itu kepada isteri dan anak-anak kamu kerana kedua ayat itu adalah sebagai shalat, bacaan Al-Quran dan doa."

Allah swt semata2 yang boleh memberi taufiq dan bantuan, tiada Tuhan selain dari-Nya dan memadailah Allah sebagai tempat menyerah yang sebaik-baiknya.

Wallahu'alam.


**(Sumber dari buku (1)Nasihat Agama dan Wasiat Iman (2)Kumpulan Doa dan Zikir- Imam Nawawi )