CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
بسم الله الرحمن الرحيم

Bual Bicara Bermakna

Assalamualaikum.

Makan tengahari pada hari ini saya rasakan begitu bermakna dan lain dari hari-hari minggu sebelumnya. Sebabnya kami bertiga iaitu saya, suami dan kakak(anak kami yang no.2) berbual mengenai seseorang yang 'public figure'. Mulanya kami hanya makan sambil borak pasal kakak dan kerja sekolahnya..bila tiba-tiba saya membuka cerita pasal Tuan Guru Nik Aziz. Selepas kerja memasak selesai, saya dan suami sebenarnya sempat meluangkan masa menonton biografi tok guru melalui video klip yang baru saya slotkan dalam blog pagi tadi. Jadi adalah bahan untuk saya ceritakan balik pada kakak mengenai apa yang saya tengok dalam paparan video tersebut.

Mengenali tok guru memang membuat saya merasa kecilnya diri ini..bila melihat perjalanan hidup tok guru yang berilmu tinggi dan zuhud pada dunia. Benarlah kata-kata yang mengatakan tok guru memang seorang yang 'brilliant'. Saya mengesyorkan kepada kakak malah sesiapa saja yang terbaca cerita saya ini supaya melihat video di bawah untuk mengenali personaliti dan ketinggian peribadi tok guru.

Suami saya mencelah mengingatkan saya pada satu peristiwa masa kami balik ke Kelantan satu ketika dulu. Ada seorang anak kepada saudara kami merangkap jiran di taman perumahan yang sama, pernah menceritakan betapa dia yang baru menimang seorang cahaya-mata akan ke Kampung Pulau Melaka untuk meminta tok guru mencukur jambul anaknya. Maknanya, dia secara peribadi mahu mendapatkan khidmat seorang menteri besar untuk menyempurnakan cukur jambul anaknya.

Saya rasa kita belum pernah mendengar mana-mana peminpin negeri yang berfungsi sepertimana tok guru yang mana bukan saja di pandang sebagai seorang peminpin negeri oleh rakyat malah melihat tok guru sebagai 'seorang tok guru'. Contohnya saudara kami tadi yang menganggap tangan tok guru yang akan menyuapkan kurma kepada bayinya InsyaAllah mendatangkan berkat dari Allah swt. Ini adalah kualiti peminpin yang di cari dan diperlukan oleh rakyat khususnya rakyat Kelantan. Dengan ilmu agama yang padat, dengan personaliti yang merendah diri dan dengan ucapan/ceramah yang berasaskan dakwah, tok guru kekal sebagai ketua di tempat kami dan tidak pernah tewas sejak menceburkan diri dalam politik pada tahun 1967(iaitu sejak dari tahun saya dilahirkan).

Betapa saya mengharapkan lebih ramai pemimpin berhemah dan hebat seperti seorang tok guru Nik Aziz Nik Mat. Ianya perlu supaya tidak ada lagi rakyat yang terpaksa menghormati peminpin hanya kerana merasa takut padanya bukan menghormati kerana merasa selesa dan selamat di bawah payung pimpinannya. Oleh itu seorang bakal pemimpin cubalah berusaha untuk mempunyai kualiti asas agama yang tinggi dan teguh sepertimana tok guru kami sebelum mampu bergelar seorang peminpin yang diredhai Allah swt...