CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
بسم الله الرحمن الرحيم

Adab-adab makan

"Baca doa dulu", pesan saya mahupun suami kepada anak2 setiapkali kami sekeluarga hendak mula makan.

Lalu Shilah(anak yang ke tiga dan paling kecil yang masih setia bersama kami kerana yang 2 nya lagi sebahagian besar masa mereka berada di asrama sekolah masing2) segera menadah tangan membaca "Bismilahirrahmanirrahim" seterusnya berdoa 'Allahumabariklana fima rozaktana waqina azabannar.........", baca sehingga habis tapi sebutan tak berapa jelas kedengaran sebab baca laju sangat.

"Cepatnya baca, tak clear lah, tak baik tu nanti Allah tak terima doa kita", selalunya begitulah saya merungut setiapkali dengar Shilah membaca doa yang 'ekspres rakyat' tu...

Cepat2 Shilah cover dengan baca balik secara lebih slow motion untuk redakan wajah 'tak puas hati' mamanya..hehehe

Semalam saya ada dapat satu forwarded e-mail dari seorang hamba Allah yang agak menarik kisahnya. E-mail itu bersifat santai dan diceritakan oleh tuan punya cerita secara humor namun memberi mesej yang sangat jelas. Cerita beliau itu secara spontan terus melekat di kepala saya. Kadang-kala mesej yang kita terima panjang berjela2 lansung tidak berhasil memaut hati kita sebaliknya ada waktu di mana dengan hanya mesej yang santai dan bersahaja mampu memberi impak dalam jiwa. Ianya mengenai Sunnah Rasulallah saw bilamana hendak menjamah makanan.

Lantas, saya segera membelek dua tiga buku/kitab yang ada dalam koleksi kami untuk mencari perincian dari Hadis nabi saw dalam bab2 makan minum ini. Sesungguhnya makanan adalah nikmat besar dari Ilahi. Oleh itu, penting untuk kita memerhatikan adab2 makan minum terpelihara supaya dapat meyakinkan kita tentang berkat/tidaknya makanan yang dimakan.


Anak2ku, jom kita tengok adab-adab makan yang mama dapat dari buku yang tajuknya 'Adab dan Sopan Dalam Islam '. Buku ini ditulis oleh Ustaz Muhammad Khair Fatimah yang dalam bahasa Arabnya bertajuk 'Adab al-Islamiyyah Li al-Nasyia ah'. Mungkin anak2 ku masih ingat buku tersebut mama beli di kedai buku Jaafar Rawas dengan mendapat diskaun 70% sebab covernya agak kehitaman sedikit dek insiden kebakaran kedai tersebut satu ketika dulu. Namun alhamdulillah, isi buku keseluruhannya masih elok dan boleh diambil manafaat oleh kita semua..syukurlah.


Adab-Adab Makan:


  1. Mencuci tangan sebelum dan sesudah makan. "Daripada Salman al-Farisi r.a katanya: Rasulallah saw bersabda: 'Makanan yang berkat itu ialah berwuduk sebelum dan sesudah memakannya'. (Riwayat Tirmizi)

  2. Membaca Bismillah ketika hendak mulai makan, kemudian hadirkan niat untuk makan lalu berdoa (dengan doa makan yang selalu kita amalkan)

  3. Makanlah makanan yang halal dan bagus, hati-hati dari makanan yang haram, seperti makanan yang dicuri, syubhat dan lain2 seumpamanya. Allah swt berfirman yang bermaksud: " Maka, makanlah dari apa yang Allah beri kamu rezeki yang halal dan baik, dan bersyukurlah atas nikmat Allah jika kamu (benar-benar) menyembahNya." (al-Nahl:114) "Daripada Ka'ab bin 'Ajrah ra bahawa Rasulallah saw bersabda: "Tiap-tiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka nerakalah yang paling patut tempatnya". (Riwayat Tirmizi)

  4. Makan makanan yang segar dan bersih, dilarang makan makanan yang kotor dan terdedah. Makan buah2an sesudah dibasuh bersih.

  5. Makan guna tangan kanan dan dengan tiga jari, dan digalakkan menjilat jari sesudah selesai makan(Ingat tak dulu abang selalu praktikkan masa masih menuntut di Samt, sekarang camne bang, masih amalkan lagi?!?!!*%) Daripada Ka'ab bin Malik ra, katanya: Aku melihat Rasulallah saw makan menggunakan tiga jari. Setelah selesai makan, beliau menjilat jari-jarinya". (Riwayat Muslim)

  6. Makan makanan yang dari sebelah kita, jangan ambil makanan yang ada di samping orang lain dan jangan pula ambil makanan dari tengah bejana(bekas/pinggan). "Daripada Umar bin Abu Salamah ra katanya : Aku adalah seorang kanak-kanak yang turut di samping Rasulallah saw. Tanganku mengambil makanan dalam bejana, lalu Nabi saw berkata kepadaku: "Wahai anak, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan ambillah makanan yang dekat denganmu". (Riwayat Bukhari & Muslim)

  7. Mengecilkan suapan, mengunyah makanan hingga lumat, jangan menyuap makanan ke mulut sebelum menelan makanan yang ada di dalamnya.

  8. Jangan meniup(hembus) makanan yang panas.

  9. Jangan dekatkan mulut ke bejana, kerana dikhuatiri sesuatu jatuh dari mulut ke dalam bejana tersebut.

  10. Duduklah dengan lurus di depan makanan, jangan makan sambil bersandar, miring, berdiri, berbaring atau berjalan. "Daripada Wahab bin Abdullah ra katanya: Rasulullah saw bersabda: "Aku tidak pernah makan sambil bersandar". (Riwayat Bukhari)

  11. Jangan sekali-kali mencaci makanan kerana ia adalah nikmat yang dianugerahkan oleh Allah. "Daripada Abu Hurairah ra katanya: Rasulullah saw tidak pernah mencaci makanan, jika suka beliau makan dan jika tidak suka beliau tinggalkan". (Riwayat Bukhari & Muslim)

  12. Jangan memperkecil-kecilkan makanan yang sedikit dan jangan pula cepat-cepat membuang sisa makanan sebaik sahaja selesai makan kerana tidak boleh samakan sisa makanan dengan sampah sarap. "Daripada Jabir ra bahawa Rasulullah saw menyuruh supaya menjilat jari-jari dan pinggan, seraya beliau bersabda: "Kamu tidak tahu di bahagian mana keberkatan makanan tersebut". (Riwayat Muslim)

  13. Jangan makan terlalu banyak dan berlebihan kerana perut yang membusung menghilangkan kecerdasan dan menyebabkan pelbagai penyakit. Allah swt berfirman yang bermaksud: "Dan makan dan minumlah kamu, jangan berlebih-lebihan kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlebih-lebihan". (al-A'raf:31)

  14. Jangan bermegah-megah dengan makanan yang bermacam-macam, atau berbangga-bangga dengan bagusnya/mahalnya kerana yang demikian akan menyakiti hati si fakir, atau menyerupai orang kafir yang hanya mencari kelazatan dunia. Allah swt berfirman: "Dan orang-orang kafir bersenang-senang dan makan sebagaimana binatang ternak makan, dan nerakalah tempat (kembali) bagi mereka". (Muhammad:12) "Daripada Amrin bin Syu'aib, daripada ayahnya, dan daripada datuknya, katanya: Rasulullah saw bersabda: "Makan dan minumlah, berpakaian dan bersedekahlah dengan cara yang tidak berlebih-lebihan dan bukan pula kerana kebanggaan". (Riwayat Ahmad & Abu Daud)

  15. Percakapan ketika makan biarlah tentang hal-hal yang berfaedah seperti hikayat orang-orang Soleh, menyuruh berbuat baik dan sebagainya.

  16. Jangan ketawa terbahak-bahak ketika makan, jangan pula memperolok-olok seseorang atau mengumpatnya atau merenung wajah orang-orang yang hadir(yang sama-sama makan) di majlis itu.

  17. Sebaik sahaja selesai makan, jangan terus tidur, mandi atau bangun untuk mulai bekerja tetapi beristirehatlah untuk beberapa ketika.

  18. Jangan guna pinggan yang dibuat daripada emas/perak kerana ia adalah haram digunakan.

  19. Jangan mula menyuap makanan jika dimajlis itu masih ada orang yang lehih tua, lebih berilmu dan lebih dihormati. "Daripada Huzaifah ra katanya: Jika kami ikut bersama Rasulullah saw (dimajlis makan), kami tidak menjamah makanan sebelum beliau menjamahnya lebih dahulu". (Riwayat Muslim)

  20. Jangan makan seorang diri(terpencil) jika masih boleh makan secara bersama-sama (berkumpulan) kerana ia lebih berkat, memupuk rasa saling mencintai dan bersatu hati. "Daripada Jabir ra katanya: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: "Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang, makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang, dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk dimakan oleh lapan orang". (Riwayat Muslim) "Dan, daripada Wahsyi bin Harb ra bahawa para sahabat Rasulullah saw bertanya: "Ya Rasulullah, sesungguhnya kami makan tetapi tidak sampai kenyang". Nabi berkata: "Barangkali kamu bercerai-berai?" Mereka menjawab "Ya, benar". Nabi berkata: "Berhimpunlah kamu pada makanan kamu dan sebutlah nama Allah, nescaya kamu diberi berkat padanya". (Riwayat Abu Daud & Ibnu Majah)

  21. Selepas makan hendaklah memuji dan bersyukur kepada Allah swt yakni membaca doa yang dianjurkan oleh Rasulullah saw menerusi hadis: "Daripada Abu Sa'id ra bahawa Rasulullah saw apabila selesai makan, beliau membaca: (yang ertinya) "Segala puji bagi Allah yang memberi kami makan dan minum dan menjadikan kami orang-orang Islam". (Riwayat Abu Daud & Tirmizi)


Bersamalah kita mengambil berat dalam adab-adab Islam supaya gerak geri, kebiasaan dan pergaulan yang mulia menjadi tabiat yang mendarah daging dalam pembentukan peribadi setiap dari kita.
Moga anak2ku mampu amalkan sedikit demi sedikit Sunnah Nabi saw yang jika ditunaikan akan menjadi kebaikan, berkah dan keselamatan...InsyaAllah.