CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
بسم الله الرحمن الرحيم

Keutamaan Solat Dhuha

Semalam saya telah dikunjungi oleh Kak Asmah, seorang sahabat merangkap guru tazkirah yang pada satu ketika saban minggu saya hadiri kelas usrah di rumah beliau.
Dah agak lama tak jumpa, jadi ada la peluang kami saling bertukar khabar.  Sementelah dalam beberapa bulan ini, hubungan silaturrahim hanya melalui sms atau e-mail sahaja.  Jadi bila berpeluang jumpa tu, banyaklah kata2 nasihat yang kak asmah berikan buat panduan.

Antaranya ialah... keutamaan dalam kita menyempurnakan Solat Dhuha.

Saya akui kebelakangan ini Solat Dhuha yang memang jadi salah-satu rutin di waktu pagi saya kadang ter'miss' juga. Biasalah kita manusia ini ada saja alasan untuk tidak istiqamah dalam perkara2 ibadat.  Alasannya... sibuk... tak sempat.... dan sebagainya.

Kata kak Asmah, kalau kita tunaikan Solat Dhuha terlebih dulu sebelum mulakan urusan lain di pagi hari, Insyaallah dengan sendirinya urusan kita yang lain ikut dipermudahkan oleh Allah swt. Selain itu, rezeki yang tidak disangka-sangka pun InsyaAllah akan datang tanpa diduga.

Contoh: 2 orang individu....... yang satunya struggled dalam mencari rezeki tetapi banyak abaikan urusan agama dan seorang lagi banyak berserah diri pada Allah swt, tetap bekerja tetapi bekerja hanya seadanya. Kedua2nya InsyaAllah sama-sama dikurniakan rezeki oleh Allah namum rezeki orang yang kedua lebih murah malah lebih berkat lagi kerana sesudah kita melakukan apa yang disuruh-Nya maka selebihnya terserahlah kepada-Nya untuk memudahkan urusan dunia kita.

Hati kecil merasa kesal kerana lalai dan tidak begitu konsisten dalam menunaikan Solat Dhuha ini walhal ia adalah satu solat sunat yang harus diperlihara.



*******
Sepertimana yang diketahui, sekurang-kurangnya mendirikan solat Dhuha ialah 2 rakaat dan sebanyak-banyaknya ialah 8 rakaat, dan ada setengah ulama mengatakan hingga 12 rakaat yang mana kelebihannya amatlah besar.

Merujuk kitab Riyadhus Shalihin oleh Imam Nawawi, ada satu hadis Rasulallah saw yang menyebut:
Dari Abu Zar r.a dari Nabi saw sabdanya:
"Setiap ruas tulang dari seseorang di antara engkau semua itu harus ada sedekahnya pada saban pagi harinya, maka
  • setiap sekali tasbih - bacaan Subhanallah - adalah sedekah,
  • setiap sekali tahmid - bacaan Alhamdulillah - adalah sedekah,
  • setiap sekali tahlil - bacaan La ilaha illallah - adalah sedekah,
  • setiap sekali takbir -bacaan Allahu Akbar - adalah sedekah,
  • menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah,
  • melarang kepada kemungkaran adalah sedekah
  • dan yang sedemikian itu dapat dicukupi oleh dua rakaat yang dilakukan oleh seseorang dari Solat Dhuha." (Riwayat Muslim)

Dari buku Nasihat Agama dan Wasiat Iman, menurut Imam Habib Abdullah Haddad:  

...sembahyang di waktu ini(waktu solat Dhuha) dinamakan juga dengan sembahyang Awwabiin, dan kelebihannya sama seperti sembahyang di antara waktu Maghrib dan Isya'. Maksud Awwabiin ialah kembali kepada Allah Ta'ala pada masa-masa lalai. Kedua waktu untuk sembahyang Dhuha dan sembahyang antara Maghrib dan Isya' termasuk waktu-waktu yang sentiasa manusia lalai.
Waktu yang pertama ialah kerana manusia terlalu bertungkus-lumus mencari sara hidup dan keuntungan dunia. Manakala waktu yang ke2 ialah kerana kesibukan manusia hendak kembali ke rumah masing-masing dan untuk menjamu selera.

Oleh itu maka barangsiapa yang kembali kepada Tuhan dan menyediakan diri untuk beribadat dan taat kepadaNya pada waktu-waktu tersebut, niscaya akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisiNya.

Wallahu'alam.


Peribadi Teman Yang Soleh

Telah berkata Hujjatul-Islam, Iman Ghazali rahimullah....
"Jika anda ingin memilih sahabat, hendaklah anda periksa 5 perkara berikut:
  1. akal fikiran
  2. baik budiperkerti
  3. lurus perjalanan
  4. tidak terlampau menggantungkan diri kepada dunia semata-mata
  5. tidak bercakap dusta
Setelah menjadikan seseorang sebagai sahabat atau teman dan sesudah terjalin persahabatan dan ramah-mesra, maka ketika itu ada pula beberapa hak dan kewajipan yang seharusnya kita laksanakan, di antaranya:
  1. hendaklah mengharapkan sesuatu yang baik baginya sebagaimana kita mengharapkan bagi diri sendiri.
  2. Membenci sesuatu yang tidak baik baginya sebagaimana kita membencinya bagi diri sendiri.
  3. hendaklah mengambil berat tentang urusannya, mengingat kebaikannya serta gembira ketika ia gembira dan bermuram ketika ia merasa sedih.
  4. hendaklah berusaha untuk menimbulkan kegembiraan di dalam hatinya.
  5. hendaklah memelihara namanya di waktu ia masih hidup mahupun sudah meninggal dunia.
  6. hendaklah membantu keluarganya walaupun sesudah ia meninggal dunia.
  7. hendaklah membantunya ketika ia dalam keperluan/kesulitan".
Bercakap mengenai teman atau kawan ni.. alhamdulillah ramai sudah bilangan kawan yang bertamu di hati saya sehingga ke hari ini. Selari dengan perjalanan hidup dalam melalui berbagai peringkat usia, kawan datang dan bertukar silih berganti. Namun sehingga kini, syukurlah kerana masih ada bilangan kawan yang tetap menjadi sahabat biarpun masa beredar dan suasana bertukar.
Sahabat yang baik itu dapat kita kenal bila sudah lama kita bersahabat dengannya, bila sudah melalui bermacam perkara atau pengalaman bersama-sama yang dari situ kita dengan sendirinya boleh menilai apakah seorang sahabat kita itu merupakan intan atau kaca.

Hidup kita ibarat roda yang berputar, ada masa kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Semasa kita di atas kita biasanya tidak kisah dan tidak begitu memandang berat siapa sahabat sejati kerana kita punya banyak kemampuan untuk tidak merasa perlunya bergantung kepada seseorang sahabat.
Namun bila kita berada di bawah, tiada kelebihan dalam urusan agama maupun urusan dunia untuk dimuliakan, agak kesempitan dalam harta duniawi maka dengan sendirinya akan terasa kerenggangan persahabatan dengan orang yang kita anggap kawan di masa kesenangan kita dulu.

Itu lah adat dunia dan itulah hakikat manusia. Semuanya bermula dari hati di mana hati itu ialah penghulu segala anggota. Padanya tersimpan semua asas akidah, akhlak dan budipekerti, niat yang baik dan niat yang tidak baik. Tiada kebahagiaan di dunia mahupun akhirat selagi hati itu belum dibersihkan dari sifat-sifat buruk yang tercela untuk kita segera menyerikannya pula dengan sifat-sifat yang terpuji.

Saya seringkali teringat akan firman Allah iaitu: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling banyak taqwanya kepada Allah" (Al-Hujarat:13)

Moga Allah swt menggolongkan kita sekelian ke dalam kumpulan orang-orang yang lurus dan bersih hatinya lahir dan batin... InsyaAllah.

Pandangan Mata - H...

Sebelum Terlambat

Hari ini 16 Syaaban, maka telah berlalunya nisfu syaaban semalam yang merupakan malam paling mustajabnya berdoa, malam pengampunan dan rahmat sebagaimana hadis Nabi saw;

Dari Abi Musa Al-Asyari bahawasanya Rasulallah saw bersabda: Sesungguhnya rahmat Allah swt datang pada malam nisfu syaaban lalu Dia mengampunkan kesalahan kesemua makhluknya melainkan orang musyrik atau orang yang bermusuhan. (HR Ibnu Majah)

Bulan Syaaban datang hanya sekali dalam setahun dan selepas ini kita akan bertemu pula dengan bulan Ramadhan bulan yang mulia. Mesej terutamanya buat diriku sendiri, suami dan anak2 marilah lah kita sering mengulang-ulangkan tekad di hati untuk sentiasa bermuhasabah, memperbaiki diri dan tingkatkan amal untuk kita sama2 cuba dapatkan redha Allah swt.

Berkata Iman Ghazali rahimullah di dalam kitabnya Al-Bidayah: "Hendaklah anda sentiasa renungkan umurmu yang pendek itu, meskipun anda rasa boleh hidup selama 100 tahun, jika dibandingkan dengan tempat tinggalmu di negeri akhirat yang kekal sepanjang masa.

Renungkan juga betapa susah-payah dan hinanya anda ketika mengejar dunia, sebulankah atau setahunkah, dengan harapan agar anda boleh hidup senang-lenang selama 20 tahun misalnya.

Tetapi mengapa tidak anda menanggung susah sedikit masa ketika hidup di dunia., agar anda merasakan kerehatannya di akhirat kelak sepanjang abad.

Oleh itu hendaklah anda tidak memanjangkan harapan untuk hidup lama di dunia, sehingga anda merasa dirimu berat untuk beramal. Malah hendaklah anda mengira-ngira bahawa maut itu sudah hampir tiba dan bisikkan ke dalam dirimu: Biarlah aku menanggung susah hari ini, kerana mungkin aku akan mati malam nanti! Kalau tidak malam ini, mungkin esok! Sebab maut itu tidak akan meregut nyawaku pada masa yang tertentu atau pada keadaan yang tertentu atau pada umur yang tertentu.

Maut itu akan tiba dan tidak ditentukan masanya.

Maka lebih baiklah aku bersedia untuknya daripada menyediakan diri untuk dunia. Aku mengerti bahawa hidupku di dunia ini hanya sementara saja dan mungkin saja sisa dari hidupku itu hanya untuk menyedut 1 nafas saja ataupun hanya tinggal 1 hari saja".

Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulallah saw bersabda: "Bersegeralah kamu melakukan amalan kebaikan sebelum menemui 7 perkara. Kamu sebenarnya tidak menanti melainkan tibanya

  1. kefakiran yang melalaikan
  2. atau kekayaan yang menyebabkan kezaliman

  3. atau sakit yang merosakkan

  4. atau usia tua yang menggagapkan percakapan

  5. atau kematian yang melenyapkan segala sesuatu

  6. atau tibanya Dajjal, maka ia adalah sejahat-jahat makhluk ghaib yang dinantikan

  7. atau tibanya hari kiamat, maka hari kiamat itu adalah lebih dahsyat dan lebih pahit lagi". (HR Tirmizi)


Maka... bersegeralah kita sebelum terlambat.
Wallahua'lam.



Operasi Cookies bermula

operasi bermula seawal 8.30 pagi

Produk Nestum Crispy yang rangup dan berkhasiat

finishing product

Kebersihan diutamakan untuk produksi yang sihat dan bermutu


Jagalah Hati

Sebelum keluar untuk memenuhi jemputan kenduri kawin anak jiran sebelah yang diadakan semalam di sebuah kelab golf berhampiran, saya dan suami meluangkan masa sekejap di sebelah paginya dengan mendengar ceramah seorang adik kecil berumur 9 tahun yang didatangkan khas dari Indonesia ke negeri Kelantan iaitu Adik Habiburrahman.

Siaran yang kami tonton menerusi Kelantan tv di internet ini teramat lah menarik hati di mana saya begitu terpegun dan merasa diri begitu kerdil bilamana melihat adik yang berilmu tinggi ini berhujah sepertimana orang yang sudah dewasa gayanya. Begitulah kebesaran Allah, sesuatu yang bagi pandangan mata kita agak mustahil adalah tidak mustahil bagi Allah untuk mempermudahkan dan memberi ilham kepada seorang kanak-kanak sekecil ini untuk terlibat dalam menyebarkan dakwah di mukabumi ini. Subahanallah!


Ceramah beliau di selitkan dengan beberapa rangkap lagu2 nasyid yang secara tak langsung memberi nasihat di samping menghiburkan di mana di antaranya ada satu yang sering berkumandang di radio iaitu lagu berjudul 'Jagalah Hati' yang membuat hati saya tertarik untuk mendapatkan liriknya bagi dimuatkan di dalam blog agar dapat diperhatikan maksudnya dengan lebih jelas.

"Perumpamaan menjaga hati samalah seperti menjaga sebuah padang yang luas", mengikut kata seorang tokoh ilmuwan. "Jika semak samun dan segala sampah-sarap tidak dibersihkan maka padang yang luas itu akan tinggal menjadi hutan belantara yang hanya akan menjadi tempat beristirehatnya haiwan-haiwan liar, hantu syaitan dan segala macam binatang merayap yang merbahaya. Hatta padang yang luas dan bersih sekalipun namun jika tanah-tanah orang lain yang bersebelahan penuh dengan semak-samun maka padang yang sedia bersih itu akan perlahan-lahan kembali menjadi semak-samun dan tetap didatangi oleh haiwan-haiwan liar dari tanah di sekelilingnya".

Begitulah ibaratnya kita di dalam menjaga hati ini di mana perlu sekali kita memastikan hati benar2 bersih dari segala sifat keji barulah kita InsyaAllah dapat istiqamah dalam beribadat serta akan berlapang dada menerima apa jua ujian dan cabaran mendatang. Malah kita juga mestilah bergaul di kalangan orang-orang yang berhati mulia, berilmu dan beramal soleh supaya kita turut sama mendapat manafaat dan kemuliaannya. Jika berkawan dengan orang-orang yang buruk akhlaknya dikhuatiri kita akan mudah terpengaruh oleh mana2 sifat negatif yang ada dalam dirinya. Seperti sabda Rasulallah saw di dalam satu hadis; "Perumpamaan berkawan dengan orang baik dan berkawan dengan orang jahat tak ubahnya seperti berkawan dengan penjual minyak wangi atau dengan tukang tiup api di bengkel tukang besi. Jika berkawan dengan penjual minyak wangi, adakalanya engkau terkena minyak wangi atau engkau membeli daripadanya atau setidak-tidaknya engkau dapat tercium bau harumnya. Dan jika berkawan dengan peniup api di bengkel tukang besi, adakalanya pakaianmu boleh terbakar atau setidak-tidaknya engkau tercium bau busuk."(HR Muslim)

Kata tokoh ilmuwan lagi, "Untuk mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat, kena lah kita menyimpan tekad di dalam hati iaitu setiap apa yang dilakukan di dunia ini adalah hanya untuk meraih syurga di akhirat nanti. Contohnya; "Aku bekerja hanya untuk mendapat syurga, aku memilih suami/isteri yang boleh membawa aku ke syurga, aku memilih kawan yang boleh membawa aku ke syurga, aku berbuat baik untuk dapatkan syurga dan pendek kata segala apa yang aku lakukan hanyalah untuk aku mendapat syurga nanti". Jika begitu tekadnya InsyaAllah kita akan menjauhi segala larangan Allah swt dan tidak akan berani melanggar perintahNya malah akan sentiasa cuba berada di jalan yang lurus dengan mengikut syariat Allah swt. Hidup di dunia ini hanyalah sementara ibarat kita masih di bangku sekolah rendah sahaja. Peringkat sekolah menengahnya ialah selepas meninggal dunia di mana kita berada di alam kubur nanti. Setelah itu kita ibaratnya akan sampai pula ke peringkat Universiti iaitu tahap di mana kita semua akan dibangkitkan di padang masyhar yang di sana nanti kita semua akan dihisab segala amal di dunia. Penghujungnya nanti hanya ada 2 ketentuan iaitu antara Syurga dan Neraka". Wallahu'alam.

SN-Jagalah Hati.mp...


Jagalah Hati Jangan Kau Kotori
Jagalah Hati Lentera Hidup Ini
Jagalah Hati Jangan Kau Nodai
Jagalah Hati Cahaya Illahi

Bila Hati Kian Bersih
Fikiranpun Akan Jernih
Semangat Hidup Nan Gigih
Prestasi Mudah Diraih

Namun Bila Hati Keruh
Batin Selalu Gemuruh
Seakan Di Kejar Musuh
Dengan Allah Kian Jauh

Jagalah Hati Jangan Kau Kotori
Jagalah Hati Lentera Hidup Ini
Jagalah Hati Jangan Kau Nodai
Jagalah Hati Cahaya Illahi

Bila Hati Kian Suci
Tak Ada Yang Tersakiti
Peribadi Menawan Hati
Dirimu Disegani

Namun Bila Hati Busuk
Pikiran Jahat Merasuk
Akhlak Kian Terpuruk
Jadi Makhluk Terkutuk

Bila Hati Kian Lapang
Hidup Sempit Terasa Senang
Walau Kesulitan Datang
Dihadapi Dengan Tenang

Tapi Bila Hati Sempit
Segalanya Jadi Rumit
Terasa Terus Menghimpit
Lahir Batin Terasa Sakit

Bila Hati Kian Suci
Tak Ada Yang Tersakiti
Peribadi Menawan Hati
Dirimu Disegani

Namun Bila Hati Busuk
Pikiran Jahat Merasuk
Akhlak Kian Terburuk
Jadi Makhluk Terkutuk


Ilmu Yang Bermanafaat

Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulallah saw. bersabda:
"Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah amalnya melainkan daripada tiga sumber sahaja, iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil kemanfa'atan daripadanya dan anak yang soleh yang akan mendoakan untuknya". (HR Muslim)


Bila merenungkan hadis di atas, saya lantas teringat satu sesi tazkirah yang saya dengar semasa di dapur melalui kaset yang disampaikan oleh yang berbahagia Tok Guru. Antara kata-kata beliau..

"...
jangan ingat bila kita rasa mempunyai ilmu yang sedikit sahaja maka kita langsung mengabaikan tanggungjawab menyampaikan balik ilmu tersebut. Jika ilmu sesudu, sampaikanlah yang sesudu itu, jika sesenduk sampaikanlah sebanyak sesenduk itu dan seterusnya jika banyak dari itu teruslah menyampaikan selagi mampu. Tidak mengapa jika hanya mempunyai ilmu yang sedikit dengan syarat kita tidak jemu dan terus menuntut ilmu lalu ilmu itu kita sampaikan pula kepada keluarga maupun sahabat supaya ianya berkembang. Selebihnya serahkan sahaja kepada orang yang banyak ilmu atau ilmuwan islam yang lain untuk menyampaikannya dengan lebih banyak dan terperinci. Bercakap pasal agama ini atau dengan kata lain berdakwah sesama kawan/sahabat jangan 'bellit' (berkisar) di atas surau/masjid sahaja. Berdakwah perlu dilakukan di mana sahaja tidak terhad hanya di tempat ibadat sahaja"....

Saya suka dengar kuliah yang disampaikan Tok Guru kerana bagi saya ia bersifat objektif dan jelas. Gaya bahasa beliau mudah dan senang difahami jalan cerita/pengajaran yang disampaikan. Sebab itu lah saya suka memanafaatkan masa saya di dapur dengan sesekali mendengar kuliah yang disampaikan Tok Guru. Ia berfungsi sebagai halwa telinga dan pengisian ruhani walaupun di ketika yang sama tangan saya sibuk membentuk donat atau 'mengelim' karipap. Tok Guru yang berpandangan jauh sesekali menyelitkan ucapan yang kelakar dan mencuit hati bilamana beliau memberikan contoh2 yang relevan dengan isi kuliah.

Kebetulan semasa pulang ke Kelantan cuti bulan 5 tempohari saya sempat mengajak suami singgah ke kedai buku Jaafar Rawas on the way keluar dari bandar Kota Bharu untuk pulang ke kL. Dalam waktu yang terbatas kerana matahari pun dah mula tinggi sedangkan kami masih belum memulakan perjalanan, saya dan anak yang sulung bergegas mengejar masa memilih kaset Tok Guru bagi menambah koleksi kaset yang sedia ada di rumah.

Akhirnya dapatlah saya membeli 5 kaset bertajuk 'Akidah Islamiyah dan Asasnya' dari siri 14 hingga 18. Walau pun ada alternatif untuk saya mendengar kuliah mingguan beliau di Dewan Dzulkifli/Dataran Ilmu menerusi Kelantan tv di internet namun saya tetap mengambil langkah tambahan untuk cuba mendapatkan seberapa banyak ilmu yang disampaikan beliau. Apa yang saya harapkan, semoga Tok Guru sentiasa dikurniakan Allah swt kesihatan yang baik agar dapat terus menyumbangkan ilmu yang bermanafaat yang penuh keberkatan itu..Insyaallah.