CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
بسم الله الرحمن الرحيم
Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Kisah Abrahah dalam Surah Al-Fiil

"Jika ada sifat tawadduk, kita akan menang...."

Itu jawapan Shilah masa papa-nya ajukan soalan, "Apa point yang Shilah dapat dekat kuliah maghrib tadi? Sebut kat papa, satu!"

Alhamdulillah, terkesan hati dengar majlis ilmu di Masjid As-Salam malam tadi. Kuliah maghrib telah disampaikan oleh yang berbahagia Ustaz Fauzi Al-Yamani yang menyampaikan kuliah yang begitu menarik, berkisar tentang satu cerita yang terkandung dalam al-Quran. *syukur alhamdulillah, hati begitu teruja kerana pihak masjid baru-baru ini telah letakkan speaker baru di ruang solat wanita, jadi suara Imam dan para penceramah jemputan dapat didengar dengan amat jelas berbanding sebelum ini, alhamdulillah*

Kami para audion mendengar dengan penuh minat bilamana ustaz menceritakan kisah Abrahah yang telah Allah sebutkan didalam al-Quran di 105 Surah Al-Fiil.


SURAH AL-FIIL

[1]
Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
[2]
Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?
[3]
Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, -
[4]
Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, -
[5]
Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.
_____________________

Sedutan cerita Abrahah dari penceritaan ustaz:

Tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW disebut sebagai tahun Gajah kerana pada tahun itu telah datang pasukan tentera bergajah menyerang Kota Mekah. Selepas terjadinya peristiwa tersebut, junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabiul-Awal tahun Gajah.

Tentera bergajah diketuai oleh Abrahah yang berasal dari Habasyah(Ethiopia). Abrahah sangat ditakuti oleh orang-orang Arab disebabkan kebengisan beliau. Beliau mempunyai sifat yang sungguh angkuh. Disebabkan dengkinya dengan Kaabah, beliau telah membina satu gereja yang begitu tinggi di Yaman yang dinamakan Qullais. Keinginan beliau tidak lain hanya ingin menarik perhatian manusia supaya beralih pergi ke Yaman.

Abrahah berharap Qullais dapat mengalahkan pengaruh Kaabah yang menjadi tumpuan di waktu itu. Seorang di antara kabilah Bani Fuqaim tidak dapat menahan amarahnya terhadap Abrahah. Dia telah mengambil langkah memakan julap. Secara diam-diam dia kemudiannya masuk ke dalam Qullais lalu membuang air besar di dalamnya dan mengotori bahagian penting bangunan itu dengan najis. Ketika Abrahah mendengar peristiwa itu dia menjadi amat marah di mana perasaan dendamnya terhadap Kaabah jadi semakin menebal. Abrahah lalu bersumpah akan menghancurkan Kaabah.

Beliau terus menyiapkan sebuah pasukan besar dengan membawa ratusan ekor gajah lalu berangkat sendiri memimpin pasukannya menuju ke Mekah. Sepanjang laluan ke Mekah, Abrahah telah bertindak memusnahkankan setiap perkampungan yang ditempuhi. Seluruh masyarakat Arab jadi takut dan cuba melarikan diri dari terserempak dengan laluan Abrahah yang sedang mara ke Kota Mekah. Jelas betapa jahatnya Abrahah ketika itu.

Ada soalan yang timbul:
"Kenapa Abrahah bawa gajah, bukan bawa kuda untuk serang Kota Mekah?"
Jawapannya, Abrahah ini jenis orang yang bersikap takabbur dan angkuh. Beliau ingin tunjukkan kepada masyarakat Arab tentang konon betapa kuat dan hebatnya beliau.

Apabila sampai ke satu tempat di luar kota Mekah, ketika beliau sedang berehat disuruhnya beberapa orang pergi ke Kota Mekah untuk memberitahu penduduk Mekah akan kemaraan mereka ke sana. Tapi sebahagian dari orang2 tersebut tidak mendengar kata sebaliknya bila sampai di Mekah telah mencuri dan merompak harta orang-orang Mekah termasuklah kambing kepunyaan Abdul Mutalib salah seorang darinya.

Abdul Mutalib lalu pergi berjumpa Abrahah untuk meminta dipulangkan kembali kambingnya. Sebaliknya Abrahah dengan bongkaknya telah bertanya balik apakah Abdul Mutalib tidak merasa gerun dan takut terhadap keinginannya yang akan cuba membinasakan kaabah. Abdul Mutalib menjawab, "...kambing itu memang kepunyaanku tetapi Kaabah itu ada tuannya... Pemiliknya ialah Allah..." Jelas menunjukkan betapa kuatnya hati Abdul Mutalib yang berani mengatakan ini kepada Abrahah yang terkenal bengis.

Abrahah dengan angkuhnya lalu meneruskan misi menyerang kota Mekah dengan tentera bergajahnya. Dia merasakan dia lah yang paling kuat tetapi Allah telah mengatakan pada orang yang baca surah Al-Fiil:

Allah telah datangkan kepada mereka burung2 yang berpuak-puak. Kalau kita fikir logik, tentu lah Allah akan hantar haiwan yang lebih besar dari gajah sebagai contoh: Dinasour umpamanya...

Sebaliknya Allah utuskan berpuak2 burung untuk tewaskan tentera bergajah. Ini pengajaran terhadap sifat bongkak Abrahah bila Allah hantar burung-burung untuk tewaskan gajah yang bersaiz besar.
Jelas bahawa barangsiapa yang tawadduk, maka dia akan ditinggikan oleh Allah, sebaliknya barangsiapa yang merasa dirinya takabbur, maka mereka akan direndahkan oleh Allah Taala.

Setiap burung itu membawa tiga biji batu. Dibalingnya ke atas mereka batu2 itu yang berasal dari neraka. Burung itupun semestinya bukan sebarang jenis burung. Tidak ada seorangpun yang tersisa dari buruan burung-burung tersebut. Apabila dilontar batu pada tentera bergajah maka menjadilah mereka seperti daun2 yang dimakan ulat.

Pengajaran dari cerita Abrahah:
  • Apabila Allah hendak letakkan kemuliaan pada sesuatu kaum maka akan diangkatkan-Nya azab dari kampung/kaum tersebut.
  • Orang yang bertawadduk di atas mukabumi ini, maka mereka tidak akan kalah tetapi akan sentiasa menang....InsyaAllah



___________________
Ustaz selitkan selingan cerita tentang dua orang hambaAllah yang satunya berbangsa Arab dan seorang lagi orang Indonesia, untuk menjelaskan lagi sifat tawadduk ini.

Dikatakan di satu ketika... Tiba-tiba seorang Arab telah menepuk kepala seorang Indon. Orang Indon merasa sangat marah lalu menumbuk dengan kuat pipi kiri orang Arab tadi. Orang Arab yang sedang kesakitan merasa hairan, lalu beliau bertanya:

Orang Arab: Mengapa tuan kelihatannya begitu marah? Saya tepuk kepala tadi sebab ianya memang adat kami dalam berkawan.. tepuk-tepuk kepala tanda mesra dalam berkawan...

Orang Indon: Ohh, dalam adat saya, pantang orang tepuk tepuk kepala semacam itu.

Orang Arab: Oh iya ke.... kalau begitu, memang salah saya lah yang tidak tahu adat tuan. Jadi pukullah pipi saya yang sebelah kanan pula.. sebab memang saya yang salah...maafkanlah saya.....

Orang Indon jadi terpampan tidak terkata mendengar penjelasan serta permintaan dari orang Arab. Beliau jadi sangat insaf dan menyedari beliau juga salah dalam hal itu.. kejadian itu hanya merupakan salah faham antara mereka, ke dua2nya tidak tahu akan adat masing2. Maka orang Indon dengan rasa malu dengan perbuatannya terus meminta maaf dari orang Arab dan amat menyesal akan perbuatannya.

Kesimpulan: Jika ada sifat tawadduk atau rendah hati, InsyaAllah kita akan selalu menang dan berada di kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
Wallahu'alam.


Jangan bertangguh untuk Taubat

Alhamdulillah, papa usahakan balik ofis awal semalam sebab nak realisasikan plan kami untuk ke Kuliah Maghrib di masjid.. Rugi rasanya jika tidak dapat hadir di majlis ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Zahidi yang sebagaimana kebiasaan kami gelarkan dengan nama ustaz penawar bagi hati...

"Jangan bertangguh untuk bertaubat....", kata ustaz masa mula membicarakan perihal Taubat berpandukan Kitab Penawar Bagi Hati malam tadi. Saya ambik port baik punya, bersandar kat tiang besar, duduk bersebelahan pula dengan Makcik Kay yang sama2 tekun mendengar... alhamdulillah.


...Kata ustaz...

Yang nak terima taubat kita adalah Allah, jadi kenalah kita bersihkan hati sebelum bertaubat. Nak bersih hati, ibadah kita pada Allah kenalah ikhlas. Zahir ibadah, batin pun ibadah.... Kulit ibadah, isi pun mesti ibadah . Ikhlaskan semata2 untuk Allah. InsyaAllah hasilnya manis. tak rasa susah , takde berat untuk kita melakukannya. Sebab di hati tiada lain selain dari Allah. Contoh: Walaupun hujan lebat, kereta buat hal, tetap usahakan datang ke masjid untuk hadir di majlis ilmu. Tak rasa membebankan, tak rasa ianya satu masalah.

Orang yang kasih pada ibadah, waktu nak lelapkan mata pun masih teringat ada sesuatu yang belum selesai. Teringat Quran belum baca. Lantas terus bangun dan baca Quran 2 m/surat.
Bila selesai baca sehelai tu, rasa manis. Bila terjaga di tengah malam pula, bukan sekadar terbangun untuk ke bilik air tapi rupa2nya ada hikmah lain, terbuka hati untuk dirikan solat tahajjud 2 rakaat... alhamdulillah rasa manis dalam ibadah...

Taubat mesti tiap2 malam. Bukan sebulan sekali, bukan setahun sekali. Bila dah taubat:

  • yang suka mengumpat, sepatutnya jadi kurang mengumpat atau yang lebih baik.. berhentilah...
  • yang tak tutup aurat, tutuplah aurat
  • yang zalim, berhenti berbuat zalim
Bila kita bertaubat, kita mintak pada Allah dengan sungguh2, dalam masa yang sama harus yakin Allah terima taubat kita. Banyakkan yakin Allah terima permohonan kita. Kekalkan sifat seorang hamba yang sentiasa mintak doa pada Allah. Semasa kaya pun mintak, semasa miskin pun mintak. Semasa sihat pun mintak, semasa sakit pun mintak. Bila kita sakit, kita mohon Allah sihatkan kita... bila sihat, mintak berkat pada sihat. Jadi waktu sihat, waktu kaya,,, kita tak lupa Allah.

Jangan kita bertangguh untuk bertaubat dalam ertikata lain bersegeralah sebelum terlambat. Jangan kita rasa kita muda lagi, masih belum tua. Mati tidak mengenal usia. Orang yang bertahun2 sakit ada yang masih kekal hidup sebaliknya orang yang tengah sihat boleh saja tiba2 dijemput pulang ke sana.

Nikmat kesihatan jangan disia-sia. Ada orang yang kaya tapi menderita sakit, tak dapat makan macam2 makanan oleh sebab sakitnya itu sedangkan orang yang tak kaya tapi Allah kurniakan kesihatan yang baik, dapat pula makan macam2 makanan. Jadi banyakkan bersyukur, jangan nanti.... jangan tunggu untuk bertaubat pada Allah terhadap dosa2 yang telah kita lakukan. Jika bertangguh, dikhuatiri tak sempat bertaubat. Kita tak tahu bila, di mana dan bagaimana kita di kesudahan umur kita... *Moga Allah kurniakan kesudahan yang baik...aminnn*

Baca Quran jangan bertangguh. Bacalah dengan bersungguh2. Bersegera kita membacanya agar Quran nanti dapat memberi cahaya untuk kita di dalam kubur. Alam barzarkh gelap. Oleh itu baca Quran sekarang supaya nanti ada cahaya, ada lampu buat kita... maka InsyaAllah jadi lapang kubur, cerah kubur...

Jangan menunggu, jangan tangguh2.... bertaubat, berhenti buat dosa, berazam tak buat lagi dan menyesal sungguh2 dengan perbuatan dosa yang dilakukan. Istighfar sekerap mungkin. Ilmu menyuluh diri masing2, ilmu memelihara diri kita....


Wallahu'alam.

***info fzi: Bagi yang ingin mendengar contoh tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Zahidi, jemput klik audio yang saya telah saya uploadkan di bawah bersekali dengan beberapa audio pilihan...t.kasih

Bersihkan Hati dengan Zikir

Meredah hujan kami malam kelmarin menuju ke masjid. Hati saya mahu pun suami teruja untuk duduk di majlis ilmu yang dibawa oleh Ustaz Zahidi... yang dikenali ramai sebagai ustaz yang menyampaikan kuliah dari Kitab Tasawuf - Penawar Bagi Hati.

Terdengar suara ustaz minta semua merujuk pada m/s 64... dalam pada itu helaian kertas yang termuat 5 rangkaian zikir diedarkan buat audion yang hadir.


~ Sebahagian dari isi tazkirah ~

...Banyakkanlah bersyukur dengan pelbagai nikmat Allah termasuk
  • nikmat umur
  • nikmat iman dan Islam
  • nikmat rezeki
  • nikmat sihat tubuh badan
  • nikmat ibadah *yang merupakan anugerah Allah bagi hamba yang dikehendaki-Nya*
Sama2 kita lakukan ibadah, bersihkan hati. Sesiapa yang ada ibadah maka dia akan beroleh kemuliaan di sisi Allah, di dunia apalagi di akhirat.

Amalkanlah zikir... zikir atau wirid adalah ditentukan. Wirid adalah satu benda yang jadi amalan. Ianya harus tetap. Bukan sekejap buat, sekejap tak buat. Jadi tentukan supaya 'tertentu' kita oleh Allah sebagai hamba-Nya. Biar tentu ibadah kita.

Bersihkanlah hati kita dengan zikir yang tetap. Jangan biarkan hati kita mati...
  • Hati dikatakan mati, bila buat dosa tak rasa apa2, tak rasa bersalah. Jadilah hati yang hidup... di mana hati selalu dalam keadaan jaga, kalau buat dosa akan terasa.
  • Dosa itu akan menghambat kita ke Neraka. Jangan lupa pada dosa kita, kalu tersilap makan hak orang atau terambil hak orang, mesti berusaha cari orangnya dan mintak halal.
  • Berdoa pada Allah mesti lah dengan sungguh2... doa kita biar benar2 mengharap pada Allah dan kena yakin Allah terima.
  • Makanan yang masuk dalam badan kita, pastikan bersumber dari yang halal. Bersyukur dengan nikmat makanan yang bukan semua orang dapat menikmati makanan yang enak sepertimana yang kita makan. Muhasabah diri... ramai yang tidak bernasib baik, susah untuk dapat makan... Orang susah bila bangun tidur akan tertanya2..."Apa... nak makan hari ni..." Berbeza dengan orang senang bila bangun tidur akan bertanya, "Nak makan apa pagi ni...sebut je.."

Wallahu'alam.


***Jemput baca n3 Kuliah Subuh yang juga disampaikan oleh Ustaz Zahidi...di SINI


Hati jangan dibiarkan lalai...

Alhamdulillah kembali sambung pelajaran tentang hati di Surau al-Bayan semalam. Setiap bulan di minggu pertama, Ustaz Amran akan memberi perincian menggunakan kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman karangan Imam Habib Abdullah Haddad. Terimakasih ustaz.... didoakan agar Allah sentiasa memberkati ustaz sekeluarga... aminnn..
Boleh flashback citer yang lalu dalam n3 'Hati jangan dibiarkan keras' *sila klik di SINI*.

Semalam ustaz sambung tentang hati yang lalai pula. Hati kita jangan lah dibiarkan lalai.

Allah telah berfirman kepada RasulNya SAW:
"Ingatlah Tuhan di dalam hatimu dalam keadaan rendah hati dan takut, dan bukan dengan suara keras di waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang lalai." (Al-A'raf 205)

Allah telah melarang Rasul-Nya supaya tidak menjadi orang yang lalai , sebagaimana Dia melarang juga supaya tidak mentaati orang-orang yang lalai itu atau mengikut jejak langkah mereka.


Allah berfirman lagi yang bermaksud:
"Dan janganlah engkau turuti kaum yang Kami(Allah) lalaikan hatinya dari mengingati Kami. Lalu ia tunduk kepada hawanafsunya, maka menjadilah urusannya itu sesia belaka (tidak berguna)." (Al-Kahf: 28)


Seseorang itu dikira lalai:
  • apabila dia membaca Al-Quran atau mendengarnya, tetapi tidak merenungkan maknanya atau mendalami maksudnya, tidak menurut perintah dan larangannya, tiada menurut nasihat dan teguran yang terkandung di dalam ayat-ayatnya. Hukumnya sama terhadap Hadis Rasulullah SAW.
  • apabila tidak mengingati mati dan tidak memandang berat tentang soal2 yang bakal berlaku sesudah mati. Semua dipandang ringan, tiada perasaan takut terhadap hari pembalasan.
  • apabila tidak selalu mendampingi para alim ulama yang akan mengingatkannya akan Allah dan agamanya. Para alim ulama juga akan menyedarkannya tentang hari-harinya yang berbaki, nikmat Allah yang sedang dikecapi di samping janji2 Allah serta ancamanNya. Jika sekiranya ada antara mereka tiada lagi, boleh lah kita merujuk kepada buku2 dan kitab2 yang mereka tinggalkan sebagai rujukan.

Kesimpulannya:
  1. jangan kita jadi orang yang lalai
  2. jangan ikut orang yang lalai
Apa jua urusan kalau tak bertepatan dengan kehendak Allah dan RasulNya, maka urusan itu hanya sia-sia sahaja. Kita berjaya mengaji sebanyak dua tiga surah sehari namun jika tak ambik berat untuk memahami apa yang Allah sampaikan melalui ayat-ayat-Nya itu, maka kita termasuk dalam orang-orang yang lalai.

Bila mendengar berita kematian, harus ingat yang kita juga akan menyusul mereka, cepat atau lambat sahaja. Harus bermuhasabah diri, selidik betul2 apakah kita dekat dengan Allah, dekat dengan sunnah Rasulallah SAW. Di samping itu kena pastikan kita selalu berdamping dengan orang-orang alim kerana kalau selalu ikut orang alim, InsyaAllah kita akan sering diberi nasihat dan akan sentiasa pula diperingatkan...maka InsyaAllah boleh mengelakkan kita dari jatuh LALAI.

Wallahu'alam.

_______________________

Alhamdulillah, ramai yang sukakan muffin yang saya bawak semalam. Khusus buat kengkawan kelas yang tanya resepinya, jemput tengok resepi Best Ever Muffin tu dekat SINI... :)

Jangan Bazirkan Usia

Alhamdulillah selamat menghadirkan diri di majlis ilmu petang semalam. Selepas raya kurban, ini lah kali pertama saya kembali ke kelas di Surau Al-Bayan...

Ustaz semalam menyambung tafsir Surah Al-Kahfi ayat 79 yang menghuraikan jawapan yang dijawab oleh Nabi Khidir a.s. bagi menjawab persoalan yang menjadi kemusykilan Nabi Musa a.s. Penerangan ustaz alhamdulillah memberi lebih kefahaman buat diri ini dalam cuba memahami penceritaan dalam Surah Al-Kahfi kerana sebelum ini saya pernah mengikuti kelas tafsir Surah Al-Kahfi yang dibawa oleh Ustazah Jamilah beberapa tahun lepas.

Ustaz macam biasa menyelitkan tazkirah dalam menghubungkaitkan jalan cerita dengan perkara2 semasa yang kita lalui dalam kehidupan seharian.

Dalam hidup sehari-hari, eloklah kita manafaatkan usia kita dengan sebaik-baiknya. Jangan dibazirkan usia kita. Isikanlah luang2 waktu dengan banyak membuat perkara2 kebaikan, tinggalkan perkara sia-sia. Solatlah di awal waktu. Jangan nak tunggu habis dulu satu2 siaran tV yang kita tonton, baru nak bangun pegi solat sedangkan waktu dah nak habis, contoh tinggal 15 minit lagi. Boleh nak tengok tV tapi biarlah kita yang menguasai dia, bukan dia yang menguasai kita.

Oleh itu kalau tengok tV, apabila masuk waktu eloklah terus tutup tV dan pergi Solat.

Sabar itu perlu dalam hidup. Sabar adalah ciri2 orang beriman tetapi ada 3 jenis perkara yang kita tak boleh sabar dalam hidup ini iaitu;
  • bila terdengar laungan azan mengajak kita solat... maka mesti terus bangun, tinggalkan semua kerja duniawi.
  • jika buat dosa, tak boleh sabar atau bertangguh untuk minta maaf pada Allah. Mesti segera mohon ampun pada Allah.
  • kalau ada kematian, tak payah bersabar nak tunggu lama-lama... harus segera dikebumikan jenazah.

Kata ustaz lagi, dalam usia kita (yang agak2 dalam usia saya sekarang ni), sepatutnya dah selesai khatam macam2 kitab dah...contoh dah selamat khatam contohnya kitab Riyadhus Shalihin, Kitab Sirah Nabi SAW dan lain2 kitab lagi. Walaupun belum terlewat kalau baru nak mula, tapi usia yang berlalu macam kira dah membazir *di saat dan ketika itu, saya diam2 berazam untuk cuba lipat-gandakan usaha, harap2 belum terlewat... :)*

Jangan bazirkan usia dengan berlebih2an dalam hiburan. Banyakkanlah mengisi masa dengan mengaji serta pasang cd/kaset orang2 ngaji di rumah kita ...sekurang2nya telinga kita mendengar seterusnya memberi laluan ayat2 al-quran meresap masuk ke dalam hati kita...Subhanallah..

Jangan mengeluh bila kita ditimpa sakit/demam/selsema sekalipun *di saat ustaz berkata demikian, saya kebetulan tengah lap hidung dengan saputangan... selsema... :)* , itu tandanya Allah sayangkan kita, maka haruslah redha. Allah tak akan tetapkan sesuatu perkara melainkan Allah tahu itu baik bagiNya. Apa2 yang Allah tetapkan untuk kita dalam kehidupan ini, itu adalah untuk kebaikan kita sebagai peringatan untuk kita bermuhasabah diri..

....sebagaimana firman Allah:

"Kamu diwajibkan berperang(untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.
Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
(Surah al-Baqarah 216)


Berbalik tentang usia.... berdoalah mohon Allah kurniakan keberkatan dalam umur kita.... agar sisa-sisa umur kita terpenuhi dengan segala macam kebaikan sehingga lah kita sampai ke detik terakhir usia.


Wallahu'alam.


Hati jangan dibiarkan keras....

Nak kongsi apa yang dapat dari kelas di Surau Al-Bayan petang semalam.

Ustaz Amran kembali sambung hurai tentang hati yang keras berpandukan kitab "Nasihat Agama dan Wasiat Iman tulisan Imam Habib Abdullah Haddad.


Kata ustaz....

Jangan bersifat keras hati dan kasar sebab ke dua2 sifat ini akan mematikan hati. Orang yang keras hati ialah bilamana orang lain bagi nasihat, dia tak nak dengar. Sebarang nasihat tidak beri kesan pada hatinya, tak terasa apa2 terhadap kesusahan orang lain, tak rasa kasihan dan pilu bila dengar berita yang sedih mahupun mengecewakan....

Hati kita jangan dibiarkan keras... beberapa contoh hati yang keras:
  • kalau nampak kucing yang selalu datang kacau kita kat dapur, terus siram air. Dalam hati dah tahu, kucing tak suka air, jadi kita pun siram air. Nak pukul, tak sampai hati dan takut dikira terlalu menganiaya pula...
  • hati tak terasa hiba bila tengok kesusahan orang lain.... contoh bila tengok ada yang berlindung di atas pokok semasa musibah melanda, kita hanya sekadar berkata..."Oh banjir rupanya kat sana..." Kita tak de perasaan dan tak rasa apa2 bila tengok kepayahan orang yang sedang berada dalam keadaan itu. Hati tak rasa hiba....
  • bila terdengar oleh kita ayat2 quran yang menyebut tentang azab api neraka... hati tak tersentuh dan tak rasa takut/gerun bila dengar peringatan2 Allah... *nauzubillah... moga Allah lindungi kita dari sifat yang begini...*

Ustaz jelaskan satu hadis yang dinyatakan dalam kitab tersebut.... Sabda Rasulallah SAW, "Empat perkara mejadi tanda kejahatan, iaitu: Hati yang keras, mata yang beku, sentiasa berkira-kira dan panjang harapan."

Awasilah diri kita dari 4 perkara yang merbahaya itu!
  1. hati yang keras
  2. mata yang beku... contoh bila tengok orang buat kebaikan, tetap tak mampu cairkan hati untuk dapat melihat akan kebaikan itu... tak kisah pun...
  3. berkira-kira @ boleh disebut bakhil... contoh: marah bila jiran sidai kain termasuk dalam sempadan rumah kita. Ataupun: Tanam pokok buah, tapi bila berbuah tak bagi2kan sama pada jiran2... jiran pakat2 tengok je buah rambutan/mangga yang bergayut2 kat laman kita. Harus diingat, jika kita tanam pokok... walaupun kita dah tak ada masa ianya berbuah, kita tetap medapat pahala sedekah setiap kali ada burung2 yang datang memakan buah tersebut, setiapkali ada yang petik makan hatta mencuri buah tersebut sekalipun. Jika kita dapat sampai ke tahap hati yang sebegitu, InsyaAllah kita akan jadi manusia yang sering buat kebaikan.
  4. panjang harapan/banyak angan2.... contoh: rumah dah selesa, tapi masih duk panjang angan2 nak besarkan lagi seluas-luasnya. Angan2 kadangkala boleh menyebabkan kita menjadi hambaAllah yang tidak tahu bersyukur dan boleh akibatkan pembaziran. Tutuplah angan2 dengan keimanan...fikirkan lah ada lagi orang lain yang lebih tidak bernasib baik dari kita... Jangan terlalu panjang harapan dan terlalu berangan2 sehingga kita lupa pada mati yang boleh menjemput kita bila2 masa saja. Tak kira walaupun usia kita masih muda dan belum pun sampai 40 tahun, itu tak bermakna lambat lagi mati. Ibaratnya: Kita naik bas untuk satu perjalanan... kita orang yang paling lambat naik tapi bila dah sampai ke satu perhentian tertentu, kita yang turun dulu.....

Wallahu'alam...


Tazkirah Ramadhan 5

Ustaz yang dijemput pada malam itu bernama Ustaz Raihan.

Antara yang menarik untuk dikongsi bersama, ustaz ada menyebut perihal Al-Quran.  Al-Quran merupakan hidayah buat kita.   Ia merupakan Sign Board atau pun petunjuk untuk kita memilih jalan mana yang hendak dituju.  Contoh: Nak pegi ke satu2 tempat tu banyak sign-board yang tolong tunjukkan arah.  Bila dah ada sign-board namun kita buat tak peduli malah ikut je jalan yang tak komfem betul, maka tak sampailah kita ke tempat yang dituju, tak jumpa kita dengan tempat yang dicari. Sesat jadinya.  Jadi kena ikut sign-board, ikut laluan yang betul agar dapat sampai ke destinasi dengan selamat.

Begitulah perumpamaanya dengan al-Quran dalam hidup kita.  Al-Quran adalah petunjuk untuk kita dapat sampai ke kampung akhirat dengan selamat.  Anak2 jika tak diajar al-quran, hatinya akan keras.  Pelembut hati adalah al-Quran.  Maka jangan sesekali ditinggalkan.  Jangan sampai di satu ketika anak2 kita tak tahu nak baca apa bilamana kita sedang sakit. Mesti ajar anak2 kita biar tahu membaca Yaasin contohnya untuk dibacakan kepada kita.

Ustaz ada menyelitkan nasihat berunsur jenaka yang membuat kami hampir tergelak mendengarnya iaitu... Jangan sampai anak2 bila dah tak berilmu akan sampai di satu tahap sanggup menelefon ke stesen radio dan berkata..."Saya tujukan lagu ini pada ke dua arwah ibu-bapa saya yang telah meninggal dunia...."
Dan yang lebih parah lagi bila ada yang pegi menanyakan  "Ma Robbu Ka?? kepada kita di saat2 kita sedang sakit....  OHHH


Wallahu'alam


Tazkirah Ramadhan 4

"Kita menjadi hamba kepada Allah
Lakukanlah amal kebajikan
Jangan kita ditipu dengan kesihatan diri kita kerana kematian tidak tentu... tidak mengira samada kita tengah sihat ataupun sedang sakit, samada kita di usia tua atau muda...."

Itu kata2 penutup ustaz Fauzi yang terus terngiang-ngiang di telinga sewaktu dalam perjalanan pulang dari solat terawih malam itu.

Dalam slot tazkirah Ramadhan malam ke 4 itu, ustaz telah mengingatkan tentang besarnya dosa Syirik.  Dosa di mana ada sebilangan manusia yang mencari Tuhan yang lain.  Walau syirik yang kecil sekalipun, kita tak akan dapat ganjaran pahala di sisi Allah walaupun kita banyak berbuat amal kebaikan, sekalipun dia bersembahyang, berpuasa dsb.  Bebaskanlah diri kita dari dosa syirik.  Benar2 kita yakin pada Allah SWT, mesti berserah diri hanya pada Allah SWT.

Syed Kutub ada menyatakan:
"Yang buta itu bukanlah mata tetapi yang buta itu adalah mata hati." 
Bila buta mata hati kita maka kita akan mati rasa, mati hati , mati perasaan, tak terasa apa2 takkala mendengar/membaca ayat-ayat Allah.

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, paling kurang kita bacalah al-quran kerana pada hari akhirat nanti dia akan tolong kita.  Yang pertama kena baca kemudian yang kedua kena lah cuba hafal.  Untuk pelihara diri kita agar dekat dengan al-quran, hendaklah kita:
  • pelihara mata kita - hindari dari memandang perkara yang mungkar
  • pelihara hati kita - sentiasa ikhlas, suci hati
  • menjaga makanan - biar apa yang masuk ke dalam perut kita bersumber dari makanan yang halal
Jangan biarkan diri kita jauh dari al-quran bilamana kita:
  • tak baca
  • tak faham
  • tak beramal
  • tak jadikan ia sebagai amalan rutin dalam kehidupan

Wallahu'alam




---------------------

Tazkirah Ramadhan 3

Alhamdulillah.... tazkirah Ramadhan malam tadi berjalan seperti biasa,  Kali ini Ustaz Ali Omar yang di jemput untuk mengisi slot tazkirah untuk malam ke 3 Ramadhan.

Ustaz memulakan tazkirah dengan menyampaikan petikan doa yang ditinggalkan oleh Rasulallah SAW yang berbunyi:

"Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rejab, berkatilah kami dalam bulan Syaaban dan sampaikanlah kami ke dalam bulan Ramadhan..."

Bersyukurlah kerana kita dapat bertemu lagi dengan bulan Ramadhan.  Banyak cahaya kebaikan bila diri berada di bulan Ramadhan.  Sama2 kita ambik manafaat dari berbagai kebaikan di bulan ini.  Majlis ilmu banyak di sana-sini dan malam2 banyak dipenuhi dengan jiwa yang berzikir. 

Bila datang ke masjid ustaz syorkan agar kita bawak buku nota dan pen untuk catit berbagai manafaat yang dapat dari majlis ilmu   Bukan sekadar mendengar tapi eloklah diambil catatan supaya kita tak mudah lupa.  Sesungguhnya sebagai manusia biasa kita tak boleh nak ingat semua perkara.  Mungkin boleh ingat sekejap, tetapi tak lama...apalagi banyak perkara yang ada dalam fikiran kita.  Oleh itu, tegas ustaz, "ambil lah catatan untuk beroleh lebih kefahaman ilmu."

Ustaz memberi contoh para penghafal al-quran dan hadis yang begitu teliti dalam menjaga pemakanan mereka, tujuan untuk senang nak hafal dan mudah nak ingat.  Sedangkan kita orang2 awam yang tidak kisah untuk makan bermacam2 jenis makanan *kari tak kari, tempoyak dll*, lagi lah tak berapa senang nak ingat lama2 apa yang didengar/pelajari.... 


********
Ustaz membacakan serta menghuraikan beberapa hadis yang berkaitan dengan kegembiraan kita bertemu Ramadhan termasuklah:
  •  Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keridhaan Allah, maka diampunkanlah untuk dosa-dosanya yang terdahulu"   (Muttafaq'alaih)
  •  Dari Abu Hurairah r.a pula bahawasanya Rasulallah SAW bersabda:  "Apabila bulan Ramadhan telah datang, Maka dibukakan pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan."   (Muttafaw'alaih)
  • "Setiap amal perbuatan anak Adam - yakni manusia itu, yang berupa kebaikan akan dilipatgandakan pahalanya dengan sepuluh kalinya sehingga tujuhratus kali lipatnya." Allah Taala berfirman:  "Melainkan puasa, kerana sesungguhnya puasa itu adalah untukku dan Aku akan memberikan balasannya.   Orang yang berpuasa itu meninggalkan kesyahwatannya, juga makanannya semata-mata kerana ketaatannya pada perintahKu.  Seseorang yang berpuasa itu mempunyai dua macam kegembiraan, sekali kegembiraan di waktu berbukanya dan sekali lagi kegembiraan di waktu menemui Tuhannya.  Niscaya bau  mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi"   (Riwayat Muslim)

Di akhir bicara, ustaz mengajak agar kita semua cuba semampunya buang mana2  sifat yang tidak baik yang bersarang selama ini.  Bersihkan jiwa bersempena dengan Ramadhan bulan yang berkat ini, bersama2 kita kembali pada Allah Taala.  Kalau dulu dan selama ini kita suka mengata orang, suka mengumpat, bercakap perkara yang sia-sia dsb maka perlahan2 sama2 kita cuba buang semua sifat mazmumah itu.....

Wallahu'alam.

Tazkirah Ramadhan 2


Alhamdulillah, sama seperti malam pertama Solat Terawih, keadaan di masjid agak begitu sesak. Oh, ramai sungguh yang hadir...alhamdulillah.

Kali ini solat terawih 8 rakaat kami ikut di selangi di tengahnya dengan tazkirah yang kalau tak silap saya nama penceramah yang diperkenalkan oleh tuan pengerusi ialah Ustaz Shamsuddin dari Kuala Kubu Bharu.


Ustaz mengajak kami sama2 bermuhasabah diri. Tanya diri kita, sudah di tahap mana iman dan amal kita. Diperingatkan juga tentang perkara ibadah di mana ustaz tegaskan cara nak buat ibadah harus berpandukan pada:

  1. Al-Quran yang didatangkan oleh Allah SWT
  2. Sunnah Rasulallah SAW
kemudian selepas itu, barulah kita melihat kepada
  • atsar para sahabat radiallah
  • para tabi'i rahimullah
  • para ulamak yang muktabar
Wajib untuk kita semua menuntut ilmu dalam usaha cuba memahami apa yang dibaca/pelajari. Contoh, untuk nak faham 1 ayat al-quran, kena ada ulamak yang datang syarah, untuk nak faham satu hadis kena ada ulamak mensyarahkan berpandukan kitab. InsyaAllah baru kita akan dapat pemahaman yang betul dan tepat tentang isi Al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Menuntut ilmu hendaklah disertakan dengan rasa tulus-ikhlas dan dilakukan semata-mata kerana Allah. Sesudah berilmu hendaklah mengerahkan diri untuk beramal dengan ilmu yang dituntut. Setelah itu bertindak menyampaikan/mengajarkannya pula kepada orang lain dengan tujuan mencari redha Allah Taala serta beroleh ganjaran pahala di hari akhirat nanti.



Wallahu'alam.



Firman Allah:


"Katakanlah: Tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada berilmu pengetahuan." (Az-Zumar:9)


Tazkirah Ramadhan 1

Alhamdulillah, malam tadi solat sunat terawih di Masjid As-Salam diselangi dengan slot tazkirah selama setengah jam. Tuan Nazir masjid bertindak sebagai penceramah yang mula-mula membuka tirai tazkirah di bulan Ramadhan. Alhamdulillah. Ustaz Abu Bakar Yan memulai tazkirah dengan petikan ayat al-quran dari Surah Al-Baqarah ayat 183 yang berbunyi:


Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.....


Ustaz huraikan....
Terdapat 3 golongan orang yang berpuasa:

  1. golongan puasa orang awam - Puasa golongan ini hanya menahan diri dari makan dan minum serta perkara2 lain yang boleh membatalkan puasa.
  2. puasa khusus - selain dari bepuasa (1), turut berpuasa pancaindera seperti lidah, mata, telinga, tangan dan kaki.Lidah berpuasa dari menuturkan kata2 yang buruk dan sia-sia, mata berpuasa dari melihat sesuatu yang mungkar, telinga berpuasa dari mendengar umpatan, fitnah dan hiburan yang melarakan, tangan berpuasa dari berbuat perkara yang tidak wajar seterusnya kaki berpuasa dari menginjak ke tempat maksiat atau yang boleh menjurus ke arahnya.
  3. khusus dalam khusus - bukan setakat berpuasa (1) dan (2), malah turut berpuasa 'hati', maksudnya berpuasa dari segala keinginan yang buruk-buruk. Ia adalah puasa tahap tertinggi, yang di miliki oleh para ambiya' di mana puasa bukan setakat anggota pacaindera malah hati turut berpuasa. Hati di jaga dari lintasan maksiat. Apa yang ada ialah kebajikan dan zikrullah menuju tahap takwa.
Janganlah kita hanya termasuk dalam golongan yang pertama kerana puasa orang awam ibaratnya macam puasa kanak2 sahaja. Tak sabar dan tertunggu2 waktu untuk berbuka, bila masuk waktu saja terus makan dan minum sampai tersadai kekenyangan. Tanamkan azam dalam diri kita agar sekurang-kurangnya kita mampu tersenarai dalam golongan ke dua iaitu puasa khusus yang ikut berpuasa anggota pancaindera....InsyaAllah


Imam Al-Ghazali menggariskan, untuk berusaha tersenarai dalam golongan puasa khusus:

  1. perlu tundukkan pandangan. Jaga mata kita dari melihat perkara yang tidak sepatutnya kerana bila kita keluar dari rumah, berbagai pemandangan yang menanti. Bila di dalam rumah pula, berbagai program tv yang mencuri pandangan mata kita.
  2. memelihara lidah kita. Ini yang ramai antara kita tewas. Tak kira lelaki dan wanita, sama sahaja. Kita mengata, mengumpat, mencari aib orang, mencari kelemahan orang dsb. Sebaiknya kita gantikan penggunaan lidah kita dengan perbanyakkan zikir, perbanyakkan baca quran kerana ganjaran baca quran di bulan Ramadhan lagi besar pahalanya...InsyaAllah.
  3. memelihara telinga kita dari perkara2 yang diharamkan. Hindarkanlah mendengar segala kata2 yang buruk dan sia-sia.
  4. memelihara tangan, kaki dan anggota yang lain dari segala yang tidak baik.
  5. jangan berlebih2an atau dalam ertikata lain, jangan membazir.
  6. himpunkan rasa takut dan berharap pada Allah. Biar kita rasa takut dan risau Allah nanti tak terima ibadah dan amalan kita. Bila timbul perasaan semacam itu kita akan cuba buat yang terbaik, bukan hanya sambil lewa sahaja. Kita berharap sangat Allah terima amalan kita...aminnn

Perkara2 yang boleh sebabkan puasa kita tak berkualiti:

  1. persediaan kita - contohnya orang yang nak masuk lumba lari mesti lah buat latihan terlebih dahulu sebelum masuk acara 100m. Tak boleh lah terus masuk pertandingan macam tu saja. Sama dengan kita berpuasa di bulan Ramadhan ini, kita sepatutnya sudah ada persediaan di dua bulan sebelumnya iaitu di bulan Rejab dan Syaaban. Kita dah berlatih puasa sunat dan perbanyakkan amalan sebelum melangkah masuk ke bulan Ramadhan. Maknanya sudah bersedia sepenuhnya mental dan fizikal untuk buat solat terawih, bertaddarus, solat malam dsb di bulan Ramadhan.
  2. tak faham tujuan kita berpuasa - Sebagaimana yang disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 183, tujuan kita berpuasa adalah untuk mencapai tahap Takwa di sisi Allah. Jangan puasa kita jadi puasa adat semata2. Hanya menjadikan puasa ibu-bapa kita dan orang2 di sekeliling kita sahaja sebagai contoh teladan bagi kita. Kita mesti cari contoh puasa orang2 soleh yang boleh menjadi ikutan, contoh yang paling sempurna ialah puasa Nabi SAW dan para sahabat. Bawa dan serapkan ke dalam kehidupan untuk kualiti puasa kita.
Ustaz memberi satu peringatan di akhir bicara semasa menerangkan program masjid yang InsyaAllah akan padat dengan majlis ilmu sepanjang Ramadhan ini:

Ilmu itu penting. Dengan ilmulah
kita dapat bezakan yang mana baik yang mana buruk,
yang mana halal yang mana haram...


Wallahu'alam.

Zikir Pagi Dan Petang


Alhamdulillah... pagi tadi sempat dengar tazkirah ustaz hj zahazan melalui rancangan Tafsir Al-Quran di radio Ikim. Masa on radio, rancangan dah half-way ke udara tapi alhamdulillah ada satu mesej ustaz yang ingin saya kongsikan dengan kawan2, bagi yang tak sempat mendengar.

Kata ustaz, eloklah kita sentiasa amalkan mana2 zikir yang termampu buat. Contoh zikir pagi petang dan zikir selepas solat, yang bersumber dari buku kecil susunan Dr Abdul Basit Haji Abdul Rahman*lantas saya terus teringat kebetulan baru je dapat hadiah buku kecil tersebut dari jiran kami yang buat kenduri aqiqah Ahad lalu...alhamdulillah*

Kata ustaz lagi , sangat elok jika dapat kita istiqamah amalkan zikir2 tersebut kerana ia sebenarnya hanya mengambil sekejap je dari masa kita. Tak sampai pun 10 minit, InsyaAllah. Diri kita mempunyai roh. Jangan sampai kita terlupa akan hakikat itu di mana roh sebagaimana jasad juga memerlukan makanan.

Zikir ibarat air yang dapat memberi minuman kepada roh kita. Jangan kita asyik mengutamakan keperluan jasad seperti contohnya asyik sibuk mencari formula atau ubat hanya untuk kuruskan badan, untuk cantikkan kulit, untuk hilangkan lemak dan sebagainya. Sebaliknya kena usaha juga untuk lebih utamakan pemakanan dan ubat untuk kesihatan roh kita...


Wallahu'alam.


***link berkaitan zikir pagi petang:
Credit untuk laman web INI dan INI

Majlis Ilmu Majlis Peringatan


Alhamdulillah, hari ini tergerak hati untuk hadir ke kelas di Surau Al-Bayan. Dah beberapa minggu bercuti, tak tahu lah atas sebab apa sebenarnya... biasalah, macam2 alasan yang nak dijadikan sebab... ouhhh

Ustaz hari ini sambung tafsir ayat 60 - 65 Surah al-Kahfi. Dah banyak sesi rupanya saya terlepas kelas tafsir tu...rugi sangat rasa..


Dalam pada ustaz menerangkan tafsir ayat2 al-Kahfi, ustaz selitkan sama pesanan2 yang berbunyi:

  • belajarlah.... pergilah ke majlis ilmu kerana majlis ilmu adalah majlis peringatan... dapat memperingatkan apa2 yang kita terlupa, terleka dan segaligus dapat tambahkan ilmu ke dalam diri kita
  • kita menjadi zalim kepada diri sendiri bila contohnya ada orang alim datang sebaliknya kita tidak hadir untuk mencari sinar dari orang alim tersebut.
  • berusahalah untuk berjumpa dengan orang alim dan carilah sinar daripada beliau yang datang.
  • jangan kita memilih tok guru mana. Kalau dengar ada mana2 ahli ilmu nak datang ke tempat kita, jangan kita hanya berminat nak pegi bila yang datangnya tok guru yang ada nama. Yang biasa2 atau yang kurang dikenali, kita tolak. Seeloknya, asal saja beliau datang untuk bagitau perkara kebaikan, maka pergilah...hadirlah....
  • tiapkali kita hendak ke majlis ilmu, biasanya yang paling dekat dengan kita adalah Syaitan. Syaitan sentiasa ada walau dalam keadaan kita cuba berbuat baik apatah lagi dalam keadaan kita berbuat perkara yang jahat. Maka, kuatkanlah hati melawan kehendak Syaitan yang menghasut tak bagi pergi...
  • kita mungkin selalu cuba berbuat baik tapi adakalanya amalan atau ibadah kita tidak bertepatan dengan syariat. Oleh itu kena hati2, jangan sampai amalan kita bercanggah dengan sunnah Rasulallah SAW lalu ianya menjadi perkara bidaah pula. Berwaspada terhadap hadis daif(lemah) dan hadis maudu'(palsu).
  • makanya perlu diingat, untuk nak buat ibadah kena ada:-
  1. Ikhlas - contoh nak solat kena ikhlas, nak puasa kena ikhlas, buat umrah dsb
  2. Benar - maksudnya apa yang kita buat biarlah bertepatan dengan apa yang dilakukan oleh Rasulallah SAW
  3. Ibadah itu hendaklah berpegang kepada tali Allah yakni berlandaskan al-Quran dan Sunnah
  • bila tiga2 ciri tersebut dipenuhi, InsyaAllah terbukalah ruang untuk kita lebih dekat dengan Allah. Banyakkanlah amalan zikrullah *zikir hasbi-rabbi contohnya amat baik untuk diamalkan* dan sentiasalah bersifat redha dengan apa yang kita ada...sentiasa bersyukur...

Wallahu'alam.

Beramai-ramai ke Forum Israk Mikraj


Petang semalam, saya siapkan makan malam awal sikit dari biasa. Dah plan dengan papa untuk ke Majlis Forum Israk Mikraj di masjid. Berkobar semangat bila dengar forum tersebut akan dipengerusikan oleh Ustaz Ridhuan Md Nor dan akan turut disertai oleh tokoh ilmuan Ustaz Dasuki sebagai salah seorang ahli forum.

Sampai2 di masjid, orang dah ramai. Dalam sesak2 cari parking, alhamdulillah ada pun terselit satu parking kosong untuk kami... :)....syukurlah...

Bila melangkah masuk ke ruang solat wanita, nampak kengkawan termasuklah Laila, Dr, Ti Pusat Zakat, Kiah, Zu dan beberapa orang lagi dah siap2 mengambil tempat... Intai2 cari makcik Kay, tak nampak pulak duduk belah mana. Ada tu, dalam ramai-ramai.


"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. " (Surah Al-Israa' 1)


Ustaz Dasuki membacakan ayat tersebut sebagai intro sebelum menyambung ucapan beliau berkaitan dengan Israk Mikraj. Sambil menceritakan sepintas lalu perihal peristiwa tersebut, ustaz mengingatkan agar kita semua hendaklah cuba merenung serta menghayati peristiwa perjalanan yang telah dilalui oleh Rasulallah SAW itu.


Ucaplah syukur kerana Allah telah memanjangkan umur kita hingga dibolehkan kita masuk ke dalam bulan Rejab seterusnya InsyaAllah bulan Syaaban selepas ini. Ini adalah kerana kedua-dua bulan ini adalah dua bulan persiapan untuk kita semua sebelum kita melangkah masuk ke bulan Ramadhan...InsyaAllah.


Ramadhan adalah bulan berkat, bulan untuk melahirkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Di bulan tersebut kita diwajibkan berpuasa penuh sebulan dan disunatkan melipatgandakan semua amal soleh. Justru, dua bulan terawal ini seeloknya kita membuat latihan... dalam kata lain, kena lakukan warm-up
terlebih dulu, contoh:
  • bagi yang selama ini tak berapa rajin baca Quran, kena lah rajin,
  • yang kurang menderma cubalah mula menderma,
  • bersedekah,
  • berpuasa sunat
  • melakukan solat sunat
  • dengar kuliah agama,
  • datang ke surau/masjid dan sebagainya.
Kita jangan setakat percaya, tetapi harus yakin, niatkan dalam hati seterusnya lakukan semampu mungkin melalui perlaksanaan amal.

Kata ustaz lagi...

Kena baiki diri....solat lah di awal waktu dan jaga aurat. Jangan kita berterusan berkelahi sesama sendiri. Orang mukmin adalah bersaudara di antara satu sama lain. Kita kena cari jalan untuk damai. Nak damai, kenalah balik pada Al-Quran dan As-Sunnah. Baru boleh bina kekuatan orang Islam. Manafaatkan sepenuhnya keberadaan kita dalam bulan Rejab - Syaaban seterusnya menanti kedatangan bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan...


Wallahu'alam.

**nota: Jemput tengok n3 'Perihal TAQWA' *sila klik di SINI* yang turut menjelaskan perkara berkaitan. Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Amran bertempat di Surau Al-Bayan.


Surah Yaasin



Malam tadi sebagaimana biasa saya mengambil jalan pintas lalu ikut masjid untuk balik lepas hantar anak ke kelas malam.

Saya biarkan tingkap kereta terbuka agar dapat dengar sepintas lalu, suara ustaz yang setiap malam berkumandang sampaikan kuliah maghrib. Ohh rupanya malam tadi ada majlis baca Yaasin. Nampak dari cahaya yang terang di masjid, boleh tahan juga ramai jemaah yang hadir. Terkilan pulak rasa sebab dalam seminggu dua ni saya tak singgah masjid pun lepas hantar anak...dah terlepas banyak peluang ke majlis ilmu... ouhhh

Bila dengar suara ustaz meminpin bacaan Yaasin malam tadi, teringat saya pada pesanan salah-seorang ustaz dalam kuliah maghrib yang kami sempat pegi satu malam tu.

"Bacalah yaasin dengan hati yang hidup... . Untuk hidupkan hati, kenalah faham apa yang dibaca. Kita bacalah 1000 kali sekalipun tapi kalau tak faham apa yang dibaca, hati kita jadi kurang hidup. Oleh itu cubalah untuk faham apa yang dibaca...

Contoh bila kita baca ayat 51

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَإِذَا هُم مِّنَ الْأَجْدَاثِ إِلَى رَبِّهِمْ يَنسِلُونَ
yang bermaksud:

Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.

...kalau tak faham maksud, kita tak akan rasa apa2 tiapkali kita sampai pada ayat tersebut. Sebaliknya jika kita faham maksud, InsyaAllah hati akan bergetar dan akan timbul rasa takut bila kita dengar/baca ayat yang menyebut tentang hari pembalasan itu. ini akan tambahkan lagi rasa taqwa kita pada Allah..."



... timbul semangat untuk lebihkan usaha memahami ayat2 quran yang dibaca...
Sama2 hidupkan hati....

Mendirikan Sembahyang


Syukurlah kerana kita masih diberikan nikmat, diberi kembali nafas, selepas diangkat sebentar nyawa kita setelah di matikan pada malam tadi. Pagi ini kita kembali boleh keluar bekerja, keluar menuntut ilmu dan sebagainya.

Syukurlah kerana dihiaskan kehidupan dengan rumah... tempat untuk berteduh, diberi nikmat punya kenderaan serta berbagai nikmat lain seperti rumahtangga dan kasih sayang. Nikmat yang paling berharga ialah nikmat Iman dan Islam. Tanpa nikmat Iman kita akan berani keluar rumah dengan tidak menutup aurat secara sempurna. Dan bagi kaum lelaki pula, jika tiada nikmat Iman maka mereka contohnya tanpa segan silu akan berseluar pendek bila berada di khalayak ramai.

Oleh itu hargailah nikmat itu dan hendaklah kita sedar bahawa kesedaran terhadap perkara2 sedemikian adalah hidayah Allah buat kita. Maka zahirkanlah rasa syukur kita ke hadrat Allah swt.
Bersyukurlah kerana kesyukuran ini akan mendorong kita untuk lebih hampir pada Allah. Cara untuk kita lebih hampir kepada Allah ialah kenalah tingkatkan amal. Semoga amal kita hari ini lebih baik dari kelmarin...aminn.

S
esi kuliah maghrib di masjid malam tadi disampaikan oleh Ustaz Wan yang merupakan salah-seorang dari ustaz yang saya kerap hadir di kelas beliau satu ketika dulu. Dulu selalu ikut kelas ustaz bagi pengajian Fekah di Surau Muhajirin. Alhamdulillah semalam ustaz ulang menghuraikan perihal perkara2 yang berkaitan dengan ibadah mendirikan Solat.

Ibadah datang dari Allah. Oleh itu kena buat ibadah mengikut syarat. Contohnya sebelum memulai solat mesti di sempurnakan wudhuk terlebih dahulu, menjaga syarat sah solat, kusyuk dalam solat serta jauhi dari sikap was-was. Sikap was-was atau 'rasa tak sedap hati' adalah datang dari syaitan. Oleh itu cuba singkirkan rasa was-was dalam proses kita mendirikan sembahyang.


Syarat Sah wudhuk

  1. menggunakan air mutlak(air yang suci dan menyucikan) Contoh: air hujan, air laut, sungai, perigi, mata air dan embun
  2. mengalirnya air atas anggota, walaupun 1 atau 2 titis, kena mengalir
  3. tidak ada di atas anggota tadi sesuatu yang boleh mengubah air sehingga memudaratkan air, contohnya kayu cendana yang mengeluarkan warna kuning, air bedak, gincu dan sebagainya.
  4. tidak ada di atas anggota tadi penghalang untuk sampainya air pada kulit contohnya: tahi lalat buatan, lilin, cat kuku, dakwat yang pekat, chewing gum dan sebagainya.
  5. bagi mereka yang sentiasa buang air/mengalami istihadah: apabila masuk waktu solat barulah ambik wuduk. Sama dengan tayammum. Kalau ambil awal-awal, tidak sah. Selepas ambil wuduk kena terus solat, tidak boleh pergi buat aktiviti lain contohnya memasak/bersembang. Syaratnya kena basuh, ikat terlebih dulu untuk satu fardhu dan berapa sunat pun boleh, tapi untuk fardhu lain kena buka, basuh dan ikat balik.

    **info:
    Setiapkali keluar dari bilik air, Rasulallah saw sentiasa berwuduk, sentiasa suci, tiada hadas kecil. Sebelum mengambil wuduk, Rasulallah saw menggosok gigi terlebih dahulu(bersugi).
    Pentingnya menggosok gigi ini sehingga Rasulallah saw ada bersabda; Kalau tidak memberatkan umatku, mahu saja aku mewajibkan umatku bersugi setiap kali hendak menunaikan solat.
    Menggosok gigi adalah sunat Muakkad.

Syarat Sah Solat

  1. perlu dilakukan dalam waktunya(tidak sah solat kalau belum waktu/diluar waktu)
  2. perlu seseorang itu suci terlebih dahulu. Kalau berhadas besar kena mandi wajib dulu. Allah tidak akan menerima sembahyang tanpa bersuci dari hadas kecil dan besar.
  3. seseorang yang sembahyang perlu dirinya, tempat sembahyang dan pakaiannya suci.
  4. perlu menutup aurat.
  5. perlu mengadap kiblat.

Kata ustaz, di dalam azan ada ucapan yang bermaksud 'marilah sembahyang' dan 'marilah menuju kejayaan'. Kejayaan tidak akan dapat kita perolehi jika kita tidak kusyuk dalam solat. Solat adalah satu latihan khusus buat kita dalam memberi tumpuan terhadap sesuatu pekerjaan. Oleh itu jika kita berjaya kusyuk dalam solat, InsyaAllah akan kusyuklah kita di dalam melakukan pekerjaan kita lain-lainnya.



Rahsia Kusyuk Solat

  • bersedia untuk solat
  • tamaninah, bukan tergesa-gesa
  • faham ayat-ayat yang dibaca
  • potong bacaan, maksudnya membaca bukan dengan 1 atau 2 nafas
  • baca dengan tartil, tidak terlampau laju
  • kena tahu/yakin Allah jawab permohonan kita dalam solat
  • meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri, kemudian letakkan kedua-dua tangan ke dada
  • melihat di tempat sujud
  • perlu berdoa dalam solat(panjangkan doa yang kita masukkan dalam sujud terakhir)
  • membuang segala benda yang menyerabutkan di tempat kita solat
  • elakkan memakai pakaian yang bewarna-warni dan berconteng dengan berbagai gambar dan tulisan yang boleh mengganggu tumpuan orang lain solat
  • jangan ada makanan terhidang untuk kita makan sedangkan dalam masa yang sama kita hendak solat. Oleh itu makanlah dulu untuk elakkan kita dari teringat-ingat akan hidangan itu. Jika hati lapang dan tidak memikirkan makanan, boleh lah solat dulu.
  • jangan kita solat bilamana kita menahan buang air besar/kecil. Selesaikan dulu.

Syarat yang betul
digabungkan dengan rukun yang betul digabungkan dengan kusyuk ketika solat akan hasilkan solat yang sempurna. Sebagai kesimpulannya solat hendaklah dijaga kerana solat itu merupakan tiang agama. Barangsiapa yang kusyuk dan menjaga tertib2nya serta keperibadian dalam solat akan mewujudkan solat yang sempurna. Ingatlah bahawa urusan sembahyang adalah perkara yang pertama akan ditanya oleh Allah swt di akhirat kelak.

Wallahu'alam.

Surah Al-Asr... Demi Masa

Assalamualaikum....

Alhamdulillah tadinya saya berpeluang mengikut suami dan anak bujang ke Surau Al-Faizeen berhampiran rumah kami untuk sesi Kuliah Maghrib. Termenung takkala mendengar isi tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz NurSalam di susuli dengan dua murid beliau iaitu adik Umar Al-Farouk dan adik Fatimah Az-Zahraa. Kedua2 murid ustaz yang didatangkan khas dari seberang itu masing2nya berusia dalam linkungan 10 - 12 tahun tetapi miracle bagi saya bila melihat kefasihan kedua-dua adik ini berbicara... gaya persis seorang dewasa yang begitu fasih dan pintar sekali berpidato...Subhanallah....


Ingin dikongsi sedutan ucapan ustaz yang terus melekat di fikiran....


....sesungguhnya manusia ini terdiri dari 2 golongan iaitu satu golongan yang rugi dan satu lagi yang beruntung. Janganlah kita menjadi orang-orang yang rugi contohnya bilamana kita meletakkan kemewahan dan darjat terus-terusan di hati kita. Tidak ke mana semua itu. Kemewahan kita tidak boleh ikut masuk ke dalam kubur, usai saja kita meninggalkan dunia ini. Kereta mahal yang kita beli tidak mampu mengekor kita selepas kita mati.

Bukan harta dan wang ringgit yang akan dibawa tetapi amal seseorang itu yang akan diambil-kira. Hati yang bersih, itu yang paling utama. Kalau hati kita sakit, seluruh badan kita akan turut menjadi sakit. Sebaliknya kalau hati kita bersih, yang lain-lain akan ikut bersih.

Janganlah kita merasa diri kita sudah penuh tetapi sebenarnya masih kosong...jangan nampak penuh tapi sebenarnya tidak berisi.....


Berusahalah agar kita termasuk dalam golongan orang-orang yang beruntung. Bagaimana untuk menjadi orang yang beruntung itu? Secara asasnya kita tidak perlu memandang terlalu jauh, hanya melihat dan beri penuh pengertian terhadap Surah Al-Asr yang bermaksud Demi masa.... Surah ini mengajak kita memahami erti yang 5 sebelum datangnya yang 5.....

  • masa sihat sebelum sakit
  • masa muda sebelum tua
  • masa kaya sebelum miskin
  • masa lapang sebelum sempit
  • masa hidup sebelum mati
Sering2 lah kita bangun untuk solat Tahajjud. Kerana solat Tahajjud itu penawar segala penyakit. Jika kita menderita oleh sesuatu penyakit, amalkan lah solat Tahajjud 40 malam secara berterusan dan tanpa henti sebagai salah-satu ikhtiar kita. InsyaAllah dengan izin Allah akan sembuh penyakit, itu pun kalau solat baik, mengikut adab2nya dan kita ikhlas semata2 hanya kerana Allah.

Diceritakan ada seorang tua yang usianya 87 tahun datang ke masjid. Badannya masih tegap dan nampak sihat, bunyi suaranya sedap bila mengaji Quran dan mata pula tidak kabur bilamana membaca ayat2 di lembaran al-Quran. Bila ditanya, rupa2nya jarak rumahnya dengan masjid lebih-kurang 1 batu jauhnya. Ditanya lagi. "Datang naik apa?" Maka dijawabnya, "Pakcik sudah biasa jalan2 sendiri, tidak ada masalah, dekat saja..." Dan bila ditanya lagi, "Apa rahsianya pakcik, matanya masih terang dan tidak kabur?" Beliau hanya menjawab, "Ohh pakcik tak tengok TV.... TV itu punca segala maksiat...."

Ohh...
Sama-sama kita renung-renungkan.....InsyaAllah.

Surah Al-‘Asr (سورة العصر) adalah surat ke-103 dari al-Quran. Surah ini tergolong surah Makkiyah dan terdiri atas 3 ayat. Kata Al 'Ashr bererti waktu/masa dan diambil dari ayat pertama surat ini.
Isi surat mengabarkan bahawa sesungguhnya semua manusia itu berada dalam keadaan kerugian kecuali dia termasuk mereka yang selalu beramal soleh, saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran.

Terjemahan ayat

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  1. وَالْعَصْرِ Demi masa.
  2. إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,
  3. إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.