CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
بسم الله الرحمن الرحيم

Serasikah Kita Dengan Suami?


"Cabaran utama kita ialah suami kita..."

...teringat kata2 seorang teman baik saya satu ketika dulu. Betul tu, sebab suami adalah orang yang paling dekat dengan kita dalam meniti hidup berumahtangga. Setiap tindak-tanduknya sering mendapat perhatian kita, tindakbalas dan reaksi kita.... Nak tergelak pun cepat, nak marah lagiiiii la cepat...hehe... Bese la tu.... :)


Tertarik hati nak kongsi e-mail yang dapat kejap tadi pasal persefahaman kita dengan suami....serasikan kita dengan suami? ...apa2 pun timakasih buat yang menulis artikel ini...timakasih juga buat yang forward kan nya pula pada saya....moga sama2 mendapat manafaat... :)


SUATU PERJALANAN

“Tanggungjawab suami selain memberi nafkah dan mencari rezeki, jangan
lupa bimbing anak dan isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih faham, jangan cepat menuding jari. Duduk berbincang dan cari kata sepakat. Tiada bumi tak ditimpa hujan.” Teringat pesan ayah di suatu petang... “Ayah dulu bila arwah mak mula bising bersuara, ayah tak balas dengan kata-kata. Ayah keluar hidupkan motor, pergi ke Behrang cari mee goreng mamak. Bila sampai saja di rumah, ayah hulur pada arwah Mak, muka yang tadi masam terus tersenyum riang. Suami kena tahu kesukaan isteri, supaya mudah memujuk hati,” ayah menambah berkongsi pengalaman selama 41 tahun bersama arwah Mak.

Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia
merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.

SILAP ISTERI

Kesilapan isteri bermula apabila melupakan kebaikan suami kerana benci
dengan sikapnya yang tidak menyenangkan hati. Silap menjadi dosa andai keistimewaan suami orang yang sering dibicara. Keburukan suami dijaja, atas alasan minta nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya kalau semua orang bercerita. Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud: “Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka”Seorang wanita lalu bangun bertanya, “Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?”Rasulullah SAW menjawab, “Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu kedalam neraka: 1. Kamu banyak mengutuk atau menyumpah 2. Kamu kufurkan kebaikan suami.” Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah kata. Suami yang tak tahu menahu, terus buat biasa. Muka isteri semakin kelat, hilang serinya. Menahan ego diri, ingin dipujuk dengan kata cinta, namun tidak berbicara dan bersemuka. Suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah siapa agaknya, bila masing-masing memendam rasa. Kasih mula bertukar marah. Marah marak menyala benci.

YANG LEBIH, YANG KURANG

“Awak beruntung ye, dapat suami yang memahami. Tak seperti saya.
Hari-hari menjeruk rasa,” luah seorang teman yang baru beroleh cahaya mata. “Suami saya juga ada kurangnya. Tapi kelebihannya lebih banyak untuk saya perkatakan. Saya pun isteri yang ada salah dan silap,” jawab saya supaya dia buka mata. “Ada suami yang tak pandai urusan rumah tangga, namun dia bijak berjenaka, meriah suasana.. Ada suami yang jarang menghadiahkan bunga, tapi selalu membelanja anak dan isteri dengan makanan istimewa. Dan ramai juga suami yang tidak reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah bertoleransi bila diminta bantu sini dan sana . Ketepikan kekurangannya dan ambil kelebihan. Pasti awak juga akan rasa bertuah beroleh suami seperti dia.” pujuk saya lagi. Moga-moga dia berubah hati. Kembali ‘memandang tinggi’ kehadiran seorang suami.

ENGKAU TERBAIK UNTUKKU

“Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang
keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi.” Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dari Illahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan. Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi. Pandang wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, “Terima kasih, suamiku.. Engkau terbaik untuk diri ini.”

Mencari dan terus mencari cinta Illahi.

Saling berpesan-pesan kpd kebaikan..

The only real mistake is the one from which we learn nothing...”


8 comments:

Ummufarhan said...

salam,

terima kasih kak kerana berkongsi..sangatttttt bermanfaat untuk saya:) makin sayang pula pada cik abe tu..hihi

fzi said...

Wsalam ummufarhan...
Itu la, akak pas baca e-mail tu, senyum2 sorang diri..terus c&p masuk blog... boley la ulang2 baca time 'ssetuk angin' tuh...hihi

sot said...

Teringat pesan seorang ustaz, katanya:
1. Isteri kita itu adalah yang terbaik untuk kita
2. Suami kita itu adalah yang terbaik untuk kita
3. Mungkin bukan yang terbaik untuk orang lain
4. Tapi dialah yang terbaik untuk kita.
5. Maka korek dan galilah kebaikan itu dan tonjolkanlah kebaikan itu biar jelas kelihatan.
6. Jangan pula di kambus kebaikan itu hingga tidak kelihatan lagi, takut yang nampak cuma keburukan.

Banyakkan kita bersyukur pada Illahi. Bukankah jodoh pertemuan itu di tentukan oleh Nya? Isteri adalah amanah Allah untuk seorang suami dan begitulah sebaliknya. Sama2 lah kita menjaga amanah Allah ini dan jauhkan dari pecah amanah. Amiin.

fzi said...

Papa thx... :D

kesimpulannya, jangan kita sengaja nak cari pasal kan pa...minimumkan tindakan nak besar2kan perkara2 kecik...bawak bertenang selalu.. :)

Anonymous said...

salam Fzi,

Orang selalu kata

"Rumput laman orang kita selalu nampak hijau, tapi rumput laman kita selalu nampak kering."

Dah nampak kering siramlah selalu. He he

Sebenarnya kita kenalah belajar bersyukur dan menerima suami kita seadanya dia. Kan ker dulu kita yang pilih dia.

Suami kita mungkin kurang disana berbanding dengan suami orang, tapi suami kita lebih disini berbanding dengan suami orang tu.

Jadi bandinglah yang positif, jangan nampak yang negatif saja. Tiap kali hati rasa nak marah, peluklah suami erat2 dan tanamkan dalam hati inilah suami aku dunia dah akhirat.

lagi satu bukan senang nak dapat suami sekarang ni tau!!. Di luar sana ramai yang menunggu. Makin tua, kalau poket kembang, bila-bila saham naik.

fzi said...

Wsalam kak ani...
Betul tu, memang iya kak ani...
Pokok pangkalnya kena selalu bersyukur...dan hargai sidia ..Orang yang selalu bersyukur InsyaAllah Allah akan tambahkan lagi nikmat.... Moga Allah sentiasa tambahkan rasa kasih antara kita suami-isteri, ilhamkan kita untuk selalu berbaik sangka terhadap suami, kurniakan kita kesihatan yang berpanjangan agar kita boleh terus berbakti antara satu sama lain hingga ke akhir hayat...aminn

Anonymous said...

kak fzi, sy rasa serasi sgt dgn asben wpun kami ada background yg brbeza..

:)

fzi said...

Intan...
Alhamdulillah...itulah yang kita harapkan dalam melayari bahtera r/tangga...bahagia akan datang sendiri bila kita sentiasa positif dalam kehidupan...dia mahupun kita saling memberi dan menerima seadanya...
akak doakan intan seisi sekeluarga bahagia selamanya dan dalam rahmat Allah sentiasa...aminn