CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
بسم الله الرحمن الرحيم

Sebelum Terlambat

Hari ini 16 Syaaban, maka telah berlalunya nisfu syaaban semalam yang merupakan malam paling mustajabnya berdoa, malam pengampunan dan rahmat sebagaimana hadis Nabi saw;

Dari Abi Musa Al-Asyari bahawasanya Rasulallah saw bersabda: Sesungguhnya rahmat Allah swt datang pada malam nisfu syaaban lalu Dia mengampunkan kesalahan kesemua makhluknya melainkan orang musyrik atau orang yang bermusuhan. (HR Ibnu Majah)

Bulan Syaaban datang hanya sekali dalam setahun dan selepas ini kita akan bertemu pula dengan bulan Ramadhan bulan yang mulia. Mesej terutamanya buat diriku sendiri, suami dan anak2 marilah lah kita sering mengulang-ulangkan tekad di hati untuk sentiasa bermuhasabah, memperbaiki diri dan tingkatkan amal untuk kita sama2 cuba dapatkan redha Allah swt.

Berkata Iman Ghazali rahimullah di dalam kitabnya Al-Bidayah: "Hendaklah anda sentiasa renungkan umurmu yang pendek itu, meskipun anda rasa boleh hidup selama 100 tahun, jika dibandingkan dengan tempat tinggalmu di negeri akhirat yang kekal sepanjang masa.

Renungkan juga betapa susah-payah dan hinanya anda ketika mengejar dunia, sebulankah atau setahunkah, dengan harapan agar anda boleh hidup senang-lenang selama 20 tahun misalnya.

Tetapi mengapa tidak anda menanggung susah sedikit masa ketika hidup di dunia., agar anda merasakan kerehatannya di akhirat kelak sepanjang abad.

Oleh itu hendaklah anda tidak memanjangkan harapan untuk hidup lama di dunia, sehingga anda merasa dirimu berat untuk beramal. Malah hendaklah anda mengira-ngira bahawa maut itu sudah hampir tiba dan bisikkan ke dalam dirimu: Biarlah aku menanggung susah hari ini, kerana mungkin aku akan mati malam nanti! Kalau tidak malam ini, mungkin esok! Sebab maut itu tidak akan meregut nyawaku pada masa yang tertentu atau pada keadaan yang tertentu atau pada umur yang tertentu.

Maut itu akan tiba dan tidak ditentukan masanya.

Maka lebih baiklah aku bersedia untuknya daripada menyediakan diri untuk dunia. Aku mengerti bahawa hidupku di dunia ini hanya sementara saja dan mungkin saja sisa dari hidupku itu hanya untuk menyedut 1 nafas saja ataupun hanya tinggal 1 hari saja".

Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulallah saw bersabda: "Bersegeralah kamu melakukan amalan kebaikan sebelum menemui 7 perkara. Kamu sebenarnya tidak menanti melainkan tibanya

  1. kefakiran yang melalaikan
  2. atau kekayaan yang menyebabkan kezaliman

  3. atau sakit yang merosakkan

  4. atau usia tua yang menggagapkan percakapan

  5. atau kematian yang melenyapkan segala sesuatu

  6. atau tibanya Dajjal, maka ia adalah sejahat-jahat makhluk ghaib yang dinantikan

  7. atau tibanya hari kiamat, maka hari kiamat itu adalah lebih dahsyat dan lebih pahit lagi". (HR Tirmizi)


Maka... bersegeralah kita sebelum terlambat.
Wallahua'lam.