Siaran yang kami tonton menerusi Kelantan tv di internet ini teramat lah menarik hati di mana saya begitu terpegun dan merasa diri begitu kerdil bilamana melihat adik yang berilmu tinggi ini berhujah sepertimana orang yang sudah dewasa gayanya. Begitulah kebesaran Allah, sesuatu yang bagi pandangan mata kita agak mustahil adalah tidak mustahil bagi Allah untuk mempermudahkan dan memberi ilham kepada seorang kanak-kanak sekecil ini untuk terlibat dalam menyebarkan dakwah di mukabumi ini. Subahanallah!
Ceramah beliau di selitkan dengan beberapa rangkap lagu2 nasyid yang secara tak langsung memberi nasihat di samping menghiburkan di mana di antaranya ada satu yang sering berkumandang di radio iaitu lagu berjudul 'Jagalah Hati' yang membuat hati saya tertarik untuk mendapatkan liriknya bagi dimuatkan di dalam blog agar dapat diperhatikan maksudnya dengan lebih jelas.
"Perumpamaan menjaga hati samalah seperti menjaga sebuah padang yang luas", mengikut kata seorang tokoh ilmuwan. "Jika semak samun dan segala sampah-sarap tidak dibersihkan maka padang yang luas itu akan tinggal menjadi hutan belantara yang hanya akan menjadi tempat beristirehatnya haiwan-haiwan liar, hantu syaitan dan segala macam binatang merayap yang merbahaya. Hatta padang yang luas dan bersih sekalipun namun jika tanah-tanah orang lain yang bersebelahan penuh dengan semak-samun maka padang yang sedia bersih itu akan perlahan-lahan kembali menjadi semak-samun dan tetap didatangi oleh haiwan-haiwan liar dari tanah di sekelilingnya".
Begitulah ibaratnya kita di dalam menjaga hati ini di mana perlu sekali kita memastikan hati benar2 bersih dari segala sifat keji barulah kita InsyaAllah dapat istiqamah dalam beribadat serta akan berlapang dada menerima apa jua ujian dan cabaran mendatang. Malah kita juga mestilah bergaul di kalangan orang-orang yang berhati mulia, berilmu dan beramal soleh supaya kita turut sama mendapat manafaat dan kemuliaannya. Jika berkawan dengan orang-orang yang buruk akhlaknya dikhuatiri kita akan mudah terpengaruh oleh mana2 sifat negatif yang ada dalam dirinya. Seperti sabda Rasulallah saw di dalam satu hadis; "Perumpamaan berkawan dengan orang baik dan berkawan dengan orang jahat tak ubahnya seperti berkawan dengan penjual minyak wangi atau dengan tukang tiup api di bengkel tukang besi. Jika berkawan dengan penjual minyak wangi, adakalanya engkau terkena minyak wangi atau engkau membeli daripadanya atau setidak-tidaknya engkau dapat tercium bau harumnya. Dan jika berkawan dengan peniup api di bengkel tukang besi, adakalanya pakaianmu boleh terbakar atau setidak-tidaknya engkau tercium bau busuk."(HR Muslim)
Kata tokoh ilmuwan lagi, "Untuk mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat, kena lah kita menyimpan tekad di dalam hati iaitu setiap apa yang dilakukan di dunia ini adalah hanya untuk meraih syurga di akhirat nanti. Contohnya; "Aku bekerja hanya untuk mendapat syurga, aku memilih suami/isteri yang boleh membawa aku ke syurga, aku memilih kawan yang boleh membawa aku ke syurga, aku berbuat baik untuk dapatkan syurga dan pendek kata segala apa yang aku lakukan hanyalah untuk aku mendapat syurga nanti". Jika begitu tekadnya InsyaAllah kita akan menjauhi segala larangan Allah swt dan tidak akan berani melanggar perintahNya malah akan sentiasa cuba berada di jalan yang lurus dengan mengikut syariat Allah swt. Hidup di dunia ini hanyalah sementara ibarat kita masih di bangku sekolah rendah sahaja. Peringkat sekolah menengahnya ialah selepas meninggal dunia di mana kita berada di alam kubur nanti. Setelah itu kita ibaratnya akan sampai pula ke peringkat Universiti iaitu tahap di mana kita semua akan dibangkitkan di padang masyhar yang di sana nanti kita semua akan dihisab segala amal di dunia. Penghujungnya nanti hanya ada 2 ketentuan iaitu antara Syurga dan Neraka". Wallahu'alam.
SN-Jagalah Hati.mp... |
Jagalah Hati Jangan Kau Kotori
Jagalah Hati Lentera Hidup Ini
Jagalah Hati Jangan Kau Nodai
Jagalah Hati Cahaya Illahi
Bila Hati Kian Bersih
Fikiranpun Akan Jernih
Semangat Hidup Nan Gigih
Prestasi Mudah Diraih
Namun Bila Hati Keruh
Batin Selalu Gemuruh
Seakan Di Kejar Musuh
Dengan Allah Kian Jauh
Jagalah Hati Jangan Kau Kotori
Jagalah Hati Lentera Hidup Ini
Jagalah Hati Jangan Kau Nodai
Jagalah Hati Cahaya Illahi
Bila Hati Kian Suci
Tak Ada Yang Tersakiti
Peribadi Menawan Hati
Dirimu Disegani
Namun Bila Hati Busuk
Pikiran Jahat Merasuk
Akhlak Kian Terpuruk
Jadi Makhluk Terkutuk
Bila Hati Kian Lapang
Hidup Sempit Terasa Senang
Walau Kesulitan Datang
Dihadapi Dengan Tenang
Tapi Bila Hati Sempit
Segalanya Jadi Rumit
Terasa Terus Menghimpit
Lahir Batin Terasa Sakit
Bila Hati Kian Suci
Tak Ada Yang Tersakiti
Peribadi Menawan Hati
Dirimu Disegani
Namun Bila Hati Busuk
Pikiran Jahat Merasuk
Akhlak Kian Terburuk
Jadi Makhluk Terkutuk