Ilmu Yang Bermanafaat

Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulallah saw. bersabda:
"Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah amalnya melainkan daripada tiga sumber sahaja, iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil kemanfa'atan daripadanya dan anak yang soleh yang akan mendoakan untuknya". (HR Muslim)


Bila merenungkan hadis di atas, saya lantas teringat satu sesi tazkirah yang saya dengar semasa di dapur melalui kaset yang disampaikan oleh yang berbahagia Tok Guru. Antara kata-kata beliau..

"...
jangan ingat bila kita rasa mempunyai ilmu yang sedikit sahaja maka kita langsung mengabaikan tanggungjawab menyampaikan balik ilmu tersebut. Jika ilmu sesudu, sampaikanlah yang sesudu itu, jika sesenduk sampaikanlah sebanyak sesenduk itu dan seterusnya jika banyak dari itu teruslah menyampaikan selagi mampu. Tidak mengapa jika hanya mempunyai ilmu yang sedikit dengan syarat kita tidak jemu dan terus menuntut ilmu lalu ilmu itu kita sampaikan pula kepada keluarga maupun sahabat supaya ianya berkembang. Selebihnya serahkan sahaja kepada orang yang banyak ilmu atau ilmuwan islam yang lain untuk menyampaikannya dengan lebih banyak dan terperinci. Bercakap pasal agama ini atau dengan kata lain berdakwah sesama kawan/sahabat jangan 'bellit' (berkisar) di atas surau/masjid sahaja. Berdakwah perlu dilakukan di mana sahaja tidak terhad hanya di tempat ibadat sahaja"....

Saya suka dengar kuliah yang disampaikan Tok Guru kerana bagi saya ia bersifat objektif dan jelas. Gaya bahasa beliau mudah dan senang difahami jalan cerita/pengajaran yang disampaikan. Sebab itu lah saya suka memanafaatkan masa saya di dapur dengan sesekali mendengar kuliah yang disampaikan Tok Guru. Ia berfungsi sebagai halwa telinga dan pengisian ruhani walaupun di ketika yang sama tangan saya sibuk membentuk donat atau 'mengelim' karipap. Tok Guru yang berpandangan jauh sesekali menyelitkan ucapan yang kelakar dan mencuit hati bilamana beliau memberikan contoh2 yang relevan dengan isi kuliah.

Kebetulan semasa pulang ke Kelantan cuti bulan 5 tempohari saya sempat mengajak suami singgah ke kedai buku Jaafar Rawas on the way keluar dari bandar Kota Bharu untuk pulang ke kL. Dalam waktu yang terbatas kerana matahari pun dah mula tinggi sedangkan kami masih belum memulakan perjalanan, saya dan anak yang sulung bergegas mengejar masa memilih kaset Tok Guru bagi menambah koleksi kaset yang sedia ada di rumah.

Akhirnya dapatlah saya membeli 5 kaset bertajuk 'Akidah Islamiyah dan Asasnya' dari siri 14 hingga 18. Walau pun ada alternatif untuk saya mendengar kuliah mingguan beliau di Dewan Dzulkifli/Dataran Ilmu menerusi Kelantan tv di internet namun saya tetap mengambil langkah tambahan untuk cuba mendapatkan seberapa banyak ilmu yang disampaikan beliau. Apa yang saya harapkan, semoga Tok Guru sentiasa dikurniakan Allah swt kesihatan yang baik agar dapat terus menyumbangkan ilmu yang bermanafaat yang penuh keberkatan itu..Insyaallah.